REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Tempat Baik dan Sebuah Troli [SPOILER ALERT]

REVIU FILEM HUJUNG MINGGU: Tempat Baik dan Sebuah Troli [SPOILER ALERT]

Bulan lepas terlintas di laman Netflix aku sebuah sitkom bertajuk The Good Place. Percayalah bila aku cakap yang sitkom ini sangat menarik. Aku susah untuk habiskan mana-mana siri – aku rasa tempoh untuk habiskan sebuah siri itu lama, lagi lama dari nak habiskan sebuah buku. Tapi bila aku tonton The Good Place, aku tertawan. Ideanya, temanya dan wacananya, semuanya sangat menarik. Jadi, aku ingat eloklah aku cerita kenapa aku rasakan sitkom ini memang syok untuk dilayan.

Untuk yang belum berkesempatan menonton, aku cuba ringkaskan tapi sebagai peringatan, tulisan aku ini akan mengandungi spoilers, jadi baca atas risiko sendiri.

The Good Place mengisahkan empat orang manusia; Eleanor, Chidi, Tahini dan Jason yang telah mati dan roh mereka dibawa ke The Good Place atau syurga. Mereka dijaga oleh Arkitek yang membina kawasan penempatan mereka di The Good Place tersebut yang bernama Michael. Malangnya, mereka sebenarnya bukanlah dimasukkan neraka, atau The Bad Place. Michael, sang Arkitek Syaitan, telah mereka bentuk kawasan penempatan itu seolah-olah The Good Place untuk menyeksa keempat-empat manusia tersebut. Berdasarkan siri tersebut, keempat-empat daripada mereka sememangnya layak ke The Bad Place kerana dosa masing-masing yang telah dilakukan atas muka bumi.

Eleanor, lakonan Kristen Bell, tahu bahawa beliau ialah orang yang jahat dan menyangka sistem telah salah dan memasukkan dia ke The Good Place. Untuk mengelakkan diri daripada ditangkap, Eleanor sedaya upaya belajar cara menjadi manusia yang lebih berakhlak dan gurunya ialah Chidi, iaitu seorang professor dalam falsafah moral. Ini yang pada aku menjadikan sitkom ini menarik – ia jelas nak membawa idea perbincangan falsafah moral dan etika jadi jalan ceritanya dibentuk seolah-olah kelas dan Chidi adalah guru kepada Eleanor dan sekalian penonton.

3 minggu aku menjadi murid Chidi dan aku merasakan topik falsafah moral ini sangat menarik. Penerangannya jelas, serta dalam bentuk yang menarik, terutamanya dalam satu episod bilamana Chidi membincangkan masalah troli. Merata-rata aku terbaca tentang masalah klasik ini tapi The Good Place juga la yang berjaya memberi penerangan dalam gaya yang sangat santai.

Dalam bentuk yang paling ringkas, masalah troli ini adalah tentang sebuah troli yang bergerak sangat laju atas satu landasan. Di pertengahan landasan ada lima orang yang diikat dan impak kelajuan troli tersebut akan membunuh kelima-lima orang tersebut. Kita, sebagai watak dalam eksperimen pemikiran ini, berada disebelah sebatang tuas yang akan mengubah landasan troli tersebut sekaligus menyelamatkan lima orang. Tetapi atas landasan kedua pula, ada seorang yang telah diikat. Bila tuas ditarik, kita mungkin selamatkan lima orang tetapi kita sedar bahawa kita memilih untuk membunuh seorang.

Ini persoalannya; bunuh seorang untuk selamatkan lima orang atau biarkan lima orang mati dan selamatkan seorang? Masalah klasik yang diperkenalkan Philippa Foot sejak 1967 ini sudah lama mengacau minda-minda pemikir moral, dan yang paling biasa dilihat ialah Utilitarianisme melawan Kantianisme.

Utilitarianisme diperkenalkan oleh Jeremy Bentham (1748 – 1832), seorang pemikir Inggeris atas usaha mereformasikan kehakiman di United Kingdom. Falsafah moral beliau boleh disimpulkan dalam satu ayat dari beliau sendiri “It is the greatest happiness of the greatest number that is the measure of right and wrong.” Mudahnya, kalau ramai yang gembira atau menerima manfaat dari kesan sesuatu perbuatan, maka itulah perbuatan yang bermoral. Utilitarianisme lebih memandang kepada kesan sesuatu pilihan berbanding motif pilihan itu sendiri. Secara logiknya, para Utilitarian sudah tentu akan memilih untuk menarik tuas kerana lima nyawa yang terselamat menjadi bukti bahawa pilihan mereka tepat.

Dalam hal ini, kita perlu ingat yang kita, secara sedar, telah memilih untuk membunuh seorang manusia. Aku selalu terfikir, siapa aku untuk buat pillihan siapa hidup dan siapa mati? Logiklah masalah troli ini sering dipanggil dilema moral. Namun, dalam puluhan pembaca artikel ini pasti akan ada yang terfikir, apa masalahnya? Bukankah selamatkan lima nyawa itu lebih baik? Namun adakah itu justifikasi untuk memilih untuk mengambil nyawa orang lain?

Dalam salah satu senario untuk masalah troli ini, ‘seorang’ yang terikat di landasan kedua itu adalah orang yang kita kenal. Mungkin saudara mara atau teman rapat. Kalau begitu senarionya, adakah kita masih akan memilih untuk menarik tuas? Atau adakah sekarang, pilihan menarik tuas adalah pilihan sukar kerana kita kenal siapa orang yang bakal mati? Adakah sekarang kita lebih rela biarkan lima nyawa melayang berbanding satu hanya kerana lima orang tersebut adalah orang yang tak dikenali? Apakah sekarang tiada nilai pada nyawa tersebut berbanding senario asal? Maaf, teremosi pula. Macam aku cakap, ini satu dilema dan sepertimana semua dilema, pasti akan ada pilihan yang sukar.

Kalau kita memilih untuk tidak menarik tuas atas dasar prinsip, atau kewajipan untuk diri, atau peraturan yang kita kenakan kepada diri – tahniah, anda didiagnosis sebagai seorang deontologis. Deontologis adalah mereka-mereka yang bertindak mengikut prinsip dan peraturan, sama ada dikenakan oleh diri sendiri atau hukum-hukum tuhan (atau para tuhan, terpulang). Etika deontologi yang paling terkenal ialah Kantianisme.

Kantianisme ini adalah dari buah fikiran dari filsuf agung Immanuel Kant (1724 – 1804) dalam kitab beliau Groundwork of the Metaphysic of Morals. Satu idea Kant yang paling melekat dalam Kantianisme ini ialah Imperatif Kategorikal. Tinggi sungguh jargon Kant, tapi aku cuba mudahkan. Menurut Kant dan idea deontologi beliau, umat manusia tidak dibenarkan langsung untuk memilih perbuatan yang salah, sekalipun dalam perkara yang menyelamatkan nyawa manusia kerana kita ada peraturan yang wajib kita patuh. Tiada satu pun alasan yang membenarkan kita untuk menyimpang dari peraturan dan prinsip moral yang wujud, sekalipun kesannya mungkin buruk. Kantianisme lebih berfokuskan kepada motif dan prinsip berbanding kesannya.

Bagaimana pula Kant menentukan apa yang prinsip apa bermoral dan yang tidak? Dalam Imperatif Kategorikal, salah satu formulanya ialah Universalizabiliti. Panjang perkataannya tapi pendek kata, sesuatu perbuatan adalah perbuatan yang bermoral adalah apabila perbuatan tersebut boleh dibuat oleh semua umat manusia dan diterima sosial. Kalau aku mencuri, aku kena bayangkan semua orang dibenarkan mencuri. Adakah itu dunia yang aman dan bermoral? Sudah tentu tidak.

Berbalik kepada masalah troli tadi, kalau diikutkan gaya para Kantian maka kita patut biarkan sahaja 5 orang tersebut mati. Itu adalah lebih baik daripada secara sedar kita memilih untuk membunuh seorang. Berfikir menggunakan formula Universalizibiliti, bagaimana kalau semua orang boleh membunuh seseorang untuk selamatkan orang lain? Adakah itu dunia yang kita nak tinggal bersama? Jawapannya boleh difikirkan sendiri.

Ini baru satu dari banyak lagi falsafah dan dilema moral yang dibincangkan dalam The Good Place. Kalau minat falsafah moral, minat sitkom yang lawak-lawak, minat perbincangan yang berat sedikit, aku sarankan sangat untuk tonton sitkom ini. Aku masih menanti musim ke-4 di Netflix Malaysia, katanya ada plot twist.

Tontonlah, moga-moga menggalakkan kita semua untuk lagi banyak berfikir soal moraliti. Dunia ini pun nampaknya makin bercelaru soal moral. Kita tonton siri Netflix, kita belajar, kemudian kita tengok dunia sebenar. Dunia ini seolah-olah simulakra dan simulasi.

Aliff Naif Mohd Fizam pelajar falsafah yang masih menyimpan keinginan kembara masa melalui laci meja Nobita. Rindu bermain kad Politiko di kedai mamak seperti sebelum PKP

Foto ihsan IMDb

Share this Post: