Prolog
Nama Allah tidak muncul secara tiba-tiba di dalam Al-Quran. Ia bukan satu istilah yang baru tatkala wahyu turun kepada Nabi Muhammad S.A.W. Masyarakat Mekah yang sebelumnya menyembah berhala sudah tahu siapa itu Allah. Bahkan bukan masyarakat Mekah sahaja, boleh dikatakan hampir seluruh kawasan Asia Barat ketika itu (jika menggunakan perkataan geografi moden) mengenali istilah Allah.
Di dalam Surah Yusuf ayat dua dinyatakan (yang bermaskud) “Sesungguhnya Kami menurunkan Quran berbahasa Arab, agar kamu mengerti”. Secara umum di sini kita tahu bahawa setiap perkataan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad itu di dalam Bahasa Arab agar ia mudah difahami oleh Baginda dan masyarakat yang didakwahinya. Maka begitu juga Tuhan memperkenalkan dirinya sebagai Allah – Rabb (maha pencipta) dan Ilah (yang selayaknya disembah atau diibadahi) – dalam Bahasa Arab agar mudah difahami.
Bahasa adalah medium atau wahana dalam komunikasi manusia yang sudah tertentu terkait dengan budaya dan sifatnya akan terus berkembang. Contohnya istilah surat khabar di dalam Bahasa Indonesia yang disebut sebagai koran yang bermaksud bacaan. Ya, sudah tentulah ia adalah perkembangan daripada variasi perkataan Quran yang secara asliahnya bermaksud bacaan. Sudah tentu perkataan Quran berakar daripada perkataan ‘Iqra’.
Sejarah dan Evolusi Penggunaan Istilah Allah
Maka perkataan atau nama Allah itu sebelum menjadi istilah Allah, ia juga berkembang dalam pengertian bahasa dan budaya manusia. Di sini bukan hasrat saya dan kita semua untuk membicarakan persoalan zat, kewujudan atau keberadaan Allah. Ini bukan perbincangan soal yang focus akidah atau teologi, kita bicara soal bahasa dan istilah dan bagaimana ia berkembang dalam peradaban. Malah perkembangan setiap agama juga amat terkait dengan bahasa dan istilah kerana ia dianuti oleh manusia.
Kita tahu Tuhan adalah Tuhan walau apapun namanya. Sebelum wujud hamba ciptaanNya dan alam semesta, apakah Yang Maha Esa itu sudahpun memperkenalkan DiriNya sebagai Allah? Oh ya bukan ini persoalan yang mahu kita bicarakan, maafkan saya.
Catatan paling awal yang didapati iaitu sekitar 2000 tahun sebelum masihi, telah muncul di Tanah Kanaan istilah ‘El’ untuk memaksudkan Tuhan. Sekarang ini Kanaan adalah kawasan sekitar negara Palestin, Syria dan Lubnan. Jika diukur dengan garis masa secara agama, 2000 tahun sebelum masihi ini bersesuaian dengan tarikh zaman Nabi Ibrahim bagi para pengkaji kitab, malah baginda sememangya dicatat pernah berdakwah di sana.
Istilah itu berkembang. Di dalam Bahasa Aramaik sebutannya menjadi Eloh atau Elaha. Di dalam Al-Kitab (Taurat dan Injil) ia tercatat sebagai Eli dan Elohi. Lalu ia sampai ke sekitar ke wilayah Hijaz (tempat terletak Mekah dan Madinah) dan dicatat sebagai Ilaah. Nama Allah itu asalnya dikatakan varian daripada nama Al-Ilaah (the God).
Masyarakat Jahiliyah Ketika itu mengatakan bahawa Al-Ilaah mempunyai anak-anak perempuan iaitu Al-Lat, Al-Manat dan Al-Uzza. Mereka mempersekutukanNya. Begitu juga di belahan lain Asia Barat. Di Ugarit misalnya, mereka juga mempersekutkan Al-Ilaah, cuma bezanya Al-Lat itu dikatakan sebagai isteri kepada Al-Ilaah dan bukannya anak.
Jika kita memahami bahawa Al-Quran itu seperti yang dipertegaskan di dalam Surah Yusuf ayat dua, diturunkan di dalam Bahasa Arab untuk masyarakat Arab ketika itu mudah faham, yang sudah tentunya mereka juga adalah manusia – maka ianya mudah. Maksud nama Allah itu umumnya bermaksud Tuhan dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja dan semua manusia tanpa mengira agama.
Cuma Islam datang untuk menafikan sekutuan Allah – menidakkan Al-Lat, Al-Uzza, Al-Manat, berhala, atau apa-apa sahaja perkara dan manusia yang cuba disekutukan dengan Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Islam tidak datang untuk menghalang manusia bagi menggunakan nama Tuhan mereka.
Kalimah
Sengaja sebelum ini saya menggunakan ‘perkataan’ dan ‘istilah’. Sekarang sampai masanya kita berbicara soal ‘kalimah’ pula. Kalimah (atau kalimat) ini sudah tentu mempunyai kaitan teologi dan agama. Kalimah ini terkandung nilai sakral dan kudus – kalimah syahadah misalnya – ia bukan sekadar istilah biasa.
Oleh itu ada yang menyatakan bahawa oleh kerana Tuhan memperkenalkan diriNya sebagai Allah di dalam Al-Quran, maka ia menjadi kalimah yang suci. Malah eksklusif buat umat Islam kendati sebelumnya tadi kita bicara tentang inklusifnya istilah Allah.
Merenung kembali surah Al-An’am ayat 102-103 ada dinyatakan (yang bermaksud) “Itulah Allah, Tuhan (Rabb) kamu; tidak ada Tuhan (Ilah) selain Dia. Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah (ibadahilah) Dia, dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu. Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala penglihatan itu dan Dialah Yang Mahahalus lagi Mahamengetahui.”
Maka di sini ada pihak menganggap bahawa kalimah Allah itu suci, sesuci Allah itu sendiri yang tidak dapat dilihat dengan mata dan tidak mampu ditakrifkan oleh akal manusia. Namun saya secara peribadi cenderung dengan pendapat bahawa nama Allah itu bersifat inklusif, bukannya ekslusif.
Allah cuma menegaskan kepada manusia supaya jangan mempersekutukannya dan betapa sucinya Dia. Tidak logik pada saya jika kita mengatakan bahawa Tuhan orang Islam ialah Allah dan Tuhan orang Kristian ialah Eli atau Elohi – sedangkan maksudnya ialah sama.
Islam dan Sanskrit
Mungkin ada baiknya polemik ini diterangkan dalam Bahasa Melayu itu sendiri, mungkin ianya lebih mudah untuk difahami. Zaman awal penyebaran Islam dahulu di Nusantara dahulu, nama Dewata Mulia Raya (tercatat dalam Batu Bersurat yang ditemui di Kuala Berang, Terengganu) yang bermaksud Tuhan Sekalian Alam digunakan bagi memaksudkan Allah yang boleh dikonotasikan sebagai ‘Rabb al-‘Alamin’.
Malah perkataan Tuhan itu sendiri didakwa akibat dari kesilapan terjemahan oleh seorang orang Belanda (semasa zaman kolonial di wilayah Hindia Timur [Indonesia]) sekitar abad ke 17. Dikatakan orang Belanda terbabit mahu memaksudkan perkataan ‘tuan’ (lord) kepada Isa al-Masih (Jesus) tetapi tersilap dengan mengeja perkataan ‘Tuhan’.
Saya tidak tahu sama ada dakwaan ini benar atau tidak. Tetapi perkataan Tuhan sebelumnya memang tidak pernah wujud di dalam kamus masyarakat nusantara kerana leluhur kita suatu masa dahulu menggunakan perkataan Dewa (atau Dewata) dan Hyang bagi menggambarkan Tuhan. Sudah tentulah perkataan tersebut berasal daripada istilah Sanskrit dan amat terkait dengan ajaran Hindu-Buddha.
Namun istilah Tuhan kemudiannya diterima pakai kerana ia lebih mudah difahami. Tuan menunjukkan kekuasaan. Jika benar bahawa orang Kristian Belanda yang mencipta istilah Tuhan berdasarkan perkataan Bahasa Melayu iaitu ‘tuan’, maka ada wajarnya kita berterima kasih kepada beliau.
Islam di Nusantara dan orang Melayu sehingga kini masih masih meminjam kalimah (saya menggunakan istilah kalimah kerana ia terkait dengan keagamaan) Hindu-Buddha (dari Bahasa Sanskrit) seperti Bidadari (vidhyadhari – perawan cantik yang mendiami swargaloka), syurga (swarga, swargloka – tempat balasan bagi orang baik), neraka (naraka – tempat balasan bagi pendosa), dosa (dvesa – kebencian, yang dihindarkan), pahala (phala – buah atau ganjaran bagi kebaikan), sembahyang (gabungan perkataan sembah dan Hyang – Hyang ialah entiti ghaib yang berkuasa) sabda (kata-kata), puasa dan banyak lagi.
Bayangkan jika terdapat kekangan bagi umat Islam zaman awal (ataupun kini) daripada menggunakan semua perkataan-perkataan itu. Orang Hindu-Buddha tidak pernah menuntut semua istilah tersebut. Ini soal bahasa dan istilah sama ada – terminologi, etimologi atau leksikologi. Jika semua perkara harus dibicarakan secara akidah, maka dakwah jadi tidak indah, sehingga banyak perkataan yang perlu kita ubah.
Bukan maksud saya dan semua kita untuk ikut campur keputusan mahkamah. Tetapi cukup-cukuplah agama dipolitikkan. Jika akal kita cukup sejahtera dan tercerahkan, hal ini tidak akan sampai ke tangga mahkamah sekalipun.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Erol Gunduz / 500px
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.