Kursani
“Hei! Kersani mengalirlah dikau”
Pasti ramai yang pernah mendengar lagu Mentera Semerah Padi nyanyian Dato’ M. Nasir. Membangkitkan semangat kan?
Perkataan kersani atau kursani yang dinyatakan di dalam lirik tersebut terkenal dalam mitos masyarakat Melayu dan Nusantara. Ia adalah unsur besi yang dimasukkan ke dalam badan (Nabi) Adam semasa penciptaannya. Kursani yang dimanterakan ini dikatakan dapat menguatkan diri malah kononnya mampu menjadi kebal di dalam ilmu persilatan Melayu.
Saya tidak mahu bercerita tentang ilmu mistik, mantera atau sebagainya. Sebaliknya cuma mahu menceritakan tentang perbezaan antara logam, besi dan keluli secara umum dan penggunaan istilah tersebut di dalam Bahasa Melayu kerana ia sering tertukar ganti. Malah begitu juga di dalam Bahasa Inggeris – metal, iron, dan steel.
Tetapi tidak dapat tidak, pembicaraan soal logam, besi dan keluli sukar untuk dipisahkan daripada agama, sains, kemajuan, kebudayaan dan mitos. Sebelum berbangkit polemik, izinkan saya jelaskan. Saya tahu tiada dikotomi antara agama Islam dan sains – namun saya membuat pembahagian antara agama dan sains cuma untuk memudahkan pemahaman.
Besi Diturunkan
Di dalam Al-Quran terdapat satu surah yang dinamakan ‘Al-Hadid’ yang bermaksud besi. Di dalam ayat 25 surah tersebut ada dinyatakan “wa anzalna hadida” yang bermaksud “Dan Kami turunkan besi”. Ia seolah-olah petunjuk bahawa besi diturunkan ke bumi dan bukannya berasal dari bumi.
Kajian saintifik sememangnya menyatakan bahawa besi bukanlah elemen asal bumi. Ia terkandung di dalam meteorit yang jatuh ke bumi. Meteorit ini terhasil daripada letusan bintang-bintang yang dikenali sebagai supernova. Meteorit inilah yang mengandungi bijih besi yang membolehkan besi terhasil.
Besi yang paling keras di dalam mitos dan psike (psyche – ataupun minda dan jiwa) Melayu dan etnik Nusantara ialah besi kursani. Dikatakan bahawa istilah kursani dinasabkan daripada perkataan Khurasan, iaitu satu tempat yang kini lokasinya meliputi sebahagian daripada Iran, Turkmenistan dan Afghanistan. Dikatakan pada zaman dahulu daerah Khurasan terkenal dengan penghasilan senjata besi yang ampuh.
Malah di dalam tafsir kitab Bible di Indonesia – Jeremia 15:12 – ada tercatat “Apakah ada besi yang dapat memecahkan besi dari utara, iaitu besi kersani?”. Walaupun Bible pelbagai versi Bahasa Inggeris menyatakan ia (besi dari utara) sebagai gangsa (bronze) atau keluli (steel), namun di dalam logik masyarakat Nusantara atau Melayu, besi yang paling keras itu dinamakan sebagai besi kursani.
Magic Iron
Jika Captain America di dalam siri filem Avengers mempunyai perisai (merangkap senjata) hebat daripada logam vibranium, maka pendekar-pendekar melayu dan nusantara sering bersenjatakan keris yang dicampur pembuatannya dengan magic iron atau besi kursani. Besi yang berasal dari meteorit ini dikatakan adalah logam yang terbaik bagi membuat keris. Kepercayaan tentang besi meteorit sebagai magic iron turut wujud dalam masyarakat Tibet dan Thai yang ianya mampu menghasilkan senjata kudus dan supernatural.
Pembuatnya keris pula digelar sebagai ‘pandai besi’ bagi masyarakat Melayu. Tetapi tukang besi atau ‘pandai besi’ bukan semata-mata boleh membuat keris, mereka mampu menempa pelbagai jenis barangan logam lagi.
Namun tidak semua besi meteorit ini dikatakan sebagai besi kursani. Cuma bijih besi dan dari meteorit di tempat-tempat tertentu sahaja dikatakan sebagai besi kursani. Dan besi kursani ini dikatakan sama dengan besi kursani yang terkandung di dalam jasad manusia.
Besi Dalam Tubuh
Seperti kata Nurbisa ataupun Loloq (nama sebenarnya [Allahyarham] Rosli Khamis) di dalam lirik Mantera Semerah Padi, besi kursani wujud di dalam tubuh “mengisi belikat punggungku”. Tapi pelik juga, dari mana datang mitos besi kursani di dalam badan ini? Sedangkan Al-Quran menyatakan Adam dicipta daripada unsur tanah.
Namun kajian sains menyatakan besi (iron) memang wujud di dalam badan manusia melalui pengambilan makanan yang mengandungi zat besi. Zat besi penting bagi hemoglobin yang terdapat di dalam sel darah merah. Sel darah merah ini berfungsi untuk membawa oksigen dari paru-paru (melalui jantung) kepada tisu manusia.
Walaupun jumlahnya sedikit, zat besi ini sangat penting bagi mengelakkan keadaan penyakit sistemik, yang mana sel darah merah tidak dapat berfungsi dengan baik. Ia menyebabkan anemia yang mengakibatkan sesak nafas, cepat letih dan sakit kepala walau hanya melakukan aktiviti ringan. Oleh itu dapat difahami zat besi dapat menguatkan tubuh badan manusia.
Zaman Besi
Terdapat rekod mengatakan manusia mula menghasilkan produk besi sekitar 2000 tahun sebelum masihi. Namun zaman kegemilangan besi dicapai sekitar 1000 tahun sebelum masihi di Kawasan Timur Tengah yang menandai permulaan Zaman Besi (Iron Age). Namun zaman besi berbeza-beza era permulaannya menurut tempat.
Di nusantara ada pendapat yang mengatakan penggunaan besi cuma meluas sekitar abad ke lima dan enam masihi. Ini terbukti melalui kesusasteraan nusantara yang mencatatkan tentang kewujudan senjata seperti keris yang diperbuat daripada besi. Namun ada dakwaan yang menyatakan penggunaan besi di alam melayu jauh lebih awal dengan penemuan tempat peleburan besi di sekitar Kedah Tua.
Di dalam Al-Quran dinyatakan Nabi Daud mampu melunakkan besi (ayat 10 Surah Saba’) sebagai mukjizat dan diberi ilmu oleh Allah untuk membuat baju perang ataupun zirah daripada besi (ayat 80 Surah Al-Anbiya’). Menurut ilmuwan Ahli Kitab dan ilmuwan Islam, Nabi Daud dikatakan hidup sekitar tahun 1000 sebelum masihi dan bersamaan dengan permulaan Zaman Besi.
Zaman besi bermula setelah jatuhnya Zaman Gangsa (Bronze Age). Untuk pengetahuan kita semua, gangsa dan besi adalah sejenis logam. Ini contoh perbezaan logam dan besi. Besi sebenarnya ialah sejenis logam (metal) tetapi bukan semua logam adalah besi.
Logam
Umumnya logam adalah bahan pepejal yang kebiasaannya keras, berkilat, boleh lentur serta mulur. Kebiasaannya juga logam boleh mengalirkan arus elektrik dan haba dengan baik. Namun tidak semua logam adalah sama dan ini menjadikan penggunaannya berbeza-beza.
Besi adalah sebahagian daripada keluarga besar logam. Sehingga hari ini terdapat lebih lapan puluh (atau lebih sembilan puluh) jenis logam yang telah dikenal pasti (ini tidak termasuk muzik bergenre metal ya).
Namun di dalam keluarga besar logam, bukan sahaja besi yang ‘diturunkan’ melalui meteorit akibat letusan supernova. Dikhabarkan bahawa beberapa jenis logam lain seperti nikel, kromium, kobalt, platinum, iridium, dan tungsten turut dikatakan berasal daripada meteorit yang terhempas ke bumi.
Malah ada teori yang mengatakan bahawa emas juga datang bersama meteorit. Ya, emas juga adalah logam.
Logam Paling Kuat
Jika logam vibranium (bahan utama perisai Captain America) dan logam aloi adamantium (bahan utama yang dijadikan rangka serta cakar Wolverine) dikatakan sebagai logam terhebat di alam fiksyen dan fantasi, namun apakah logam yang tekuat di alam realiti?
Sepuluh logam terkuat di dunia yang dapat dikenal pasti ialah (dimulai dengan yang paling kuat) tungsten, keluli (steel), kromium, titanium, besi (iron), vanadium, lutetium, zirkonium, osmium dan tantalum. Di dalam senarai tersebut cuma keluli adalah logam aloi ataupun campuran – akan kita bincangkan kemudian.
Walaupun tungsten dikatakan sebagai logam tekuat kerana cuma mencair pada tahap kepanasan 3422 darjah celsius dan berketahanan tegangan yang tinggi yakni 142,000 psi (pound per square inch), namun ia tidak dapat bertahan lebih ampuh berbanding keluli dan titanium jika terdapat impak yang kuat (daya tekanan secara tiba-tiba).
Oleh itu dalam penentuan kekuatan logam ini, ia agak sukar untuk ditentukan sesukar menentukan kekuatan di antara vibranium dan adamantium di dalam fiksyen Marvel (Maaf, bukan saya tak nak sebut mengenai fiksyen DC. Tetapi di dalam DC saya cuma tahu tentang Nth Metal dan tidak pasti apa bahan logam pembuatannya. Peminat siri DC jangan berkecil hati).
Rizab Logam Negara
Saya rasa pasti masih ramai ingat tentang gelaran ‘wakedah’ (seumpama parodi Wakanda, negara fiksyen Marvel yang kaya dengan vibranium) oleh ‘netizen’ apabila Menteri Besar Kedah mengumumkan bahawa elemen nadir bumi bernilai RM62 Bilion ditemui di Kedah. elemen nadir bumi ini sebenarnya ialah elemen logam (turut dikenali sebagai logam nadir bumi).
Ada diantara unsur logam nadir bumi ini yang mengandungi radioaktif dan ada yang bebas radioaktif. Di Kedah dinyatakan bahawa logam nadir bumi tersebut bebas radioaktif. Dalam isu Lynas pula, mereka memproses elemen nadir bumi yang beradioktif daripada Australia.
Menurut bekas Menteri air, tanah dan sumber asli, Xavier Jayakumar, Malaysia mempunyai rizab galian bernilai RM732 bilion yang belum diterokai. Ada diantara galian ini ialah elemen logam seperti bijih timah, bijih besi, mangan (manganese) dan emas.
Terpulanglah bagaimana kerajaan mahu meneroka rizab galian negara ini, tetapi keselematan dan kelestarian alam sekitar mestilah menjadi keutamaan.
Kegunaan Logam Masa Depan
Betul bahawa bukan semua logam atau elemen nadir bumi bersifat radioaktif dan ada yang boleh menjadi bahan utama untuk ‘green energy’. Seiring dengan teknologi, logam nadir bumi juga tidak bergantung kepada ‘kekuatan’ semata-mata. Tetapi ia amat penting dalam era teknologi masa kini dan masa depan.
Neodymium misalnya adalah bahan penting dalam penghasilan teknologi hijau seperti enjin kenderaan hibrid. Europium pula sangat penting dalam penghasilan skrin televisyen, komputer dan semua peranti yang boleh memaparkan visual.
Banyak lagi contoh penggunaan lain yang tidak dapat saya nyatakan di sini. Namun nyata, logam adalah bahan yang sangat penting untuk kegunaan dan kemajuan umat manusia sama ada untuk kejuruteraan ataupun untuk teknologi.
Keluli
Di dalam elemen kimia (chemical element) terdapat tiga pembahagian iaitu logam, bukan logam (nonmetals) dan metaloid (metalloid). Aloi bermaksud campuran logam sesama logam, logam dengan metaloid atau campuran logam dengan bukan logam. Keluli adalah aloi iaitu campuran atau sebatian diantara besi dan karbon (elemen bukan logam).
Walaupun Zaman Besi yang menjadi lambang kecemerlangan umat manusia telah lama berakhir, namun keluli yang leluhurnya daripada besi masih berperanan penting – semenjak bermula Revolusi Industri sehinggalah ke hari ini. Keluli adalah bahan yang sangat penting di dalam kerjuruteraan dan pembinaan. Malah penggunaan keluli dan seluruh keluarga logam nampaknya semakin penting.
Di dalam era kemajuan teknologi dan sains sekarang ini, nampaknya logam masih juga dapat mengekalkan sisi mistik dan mitosnya. Masih banyak misteri yang belum terungkai seperti kisah campuran pancalogam yakni campuran lima jenis logam. Pancalogam yang terkenal ialah besi kuning. Ia terkenal dalam ilmu kebatinan nusantara.
Selain itu wujud juga dakwaan seperti kehebatan keris yang menggunakan 17 jenis besi dalam pembuatannya. Dakwaan seperti itu perlu dikaji secara saintifik. Apakah 17 jenis itu ialah besi ataupun logam (kerana sepengetahuan saya jenis-jenis besi tidak sebanyak itu)?
Dari sudut lain, dengan memahami unsur-unsur logam secara saintifik juga, banyak teks-teks agama yang semakin difahami oleh manusia. Malah agama seperti Islam mengangkat teknologi pembinaan yang menggunakan besi dan logam oleh Zulkarnain di dalam Surah Al-Kahfi.
Berbalik kepada konteks asal penulisan saya, maka itulah perbezaan antara logam, besi dan keluli serta kegunaannya yang sangat bermanfaat kepada umat manusia. Saya tutup penulisan ini dengan petikan lagu Mantera Semerah Padi sekali lagi;
“Menjadi raksa, Mengisi belikat punggungku” (raksa itu apa pula ya?) – noktah –
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Suryo Ongko
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.