Ada sebuah drama swasta yang baru selesai saya tonton di TV3. Tajuknya Cinta Sekali Lagi. Bukan kelaziman buat saya untuk menonton drama seperti ini, apatah lagi bersiarannya itu pada waktu Maghrib. Jadi, lebih mudah untuk saya tonton secara online, sekurang-kurangnya tak perlu melayan iklan.
Sebenarnya, punca saya ikut menonton pun adalah selepas disuruh isteri saya; katanya drama ini menarik, kerana pembawaan cerita watak Amani lakonan Hannah Delisha yang cuba merampas abang iparnya sendiri untuk dijadikan suami. Caranya, memfitnah kakaknya sendiri sehingga diceraikan.
Sebagai seorang yang selalu menulis dan memerhatikan soal-soal berkaitan perkahwinan dan sudut syara'nya, saya turut terbaca beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh netizen, khususnya mengenai soal memendekkan masa eddah seorang bekas isteri.
Ada yang tanya, apakah perlu suami itu untuk menunggu habis eddah isteri, baru melangsungkan nikah atau kahwin dengan wanita lain? Bukankah sudah sah bercerai, jadi boleh sahaja langsung berkahwin dengan wanita lain, bukan?
Apa lagi jika menunggu eddah bekas isteri yang sedang hamil, bukankah lama tempohnya - perlu menunggu bekas isteri itu bersalin pula dahulu jika baru dua bulan sahaja tempoh mengandung?
Terpanggil untuk menjawab sedikit sebanyak persoalan-persolan netizen ini, saya ulas sedikit. Dalam sudut perkahwinan Islam, ada tiga keadaan si suami perlu menunggu habisnya tempoh eddah isterinya.
Antaranya adalah, yang pertama, apabila seseorang lelaki yang berpoligami, menceraikan salah seorang daripada isterinya iaitu yang keempat, dan ingin berkahwin dengan isteri yang kelima. Dalam hal ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu sehingga tamatnya tempoh eddah isterinya yang diceraikan tersebut.
Situasi kedua adalah apabila seseorang lelaki itu telah menceraikan isterinya dengan talak tiga. Dalam keadaan ini, sekiranya lelaki tersebut ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka dia hendaklah menunggu sehingga isterinya berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suaminya yang baru, bercerai dan tamat iddah dengan suami yang baru dikahwininya tersebut. Situasi inilah yang juga menimbulkan satu lagi permasalahan dalam masyarakat iaitu yang dipanggil 'cina buta'.
Situasi ketiga pula adalah apabila seseorang lelaki yang telah pun bercerai dengan isterinya dan ingin mengahwini perempuan yang mahram dengan bekas isterinya seperti saudara perempuan kepada bekas isteri, ibu saudara kepada bekas isteri, anak saudara kepada bekas isteri dan lain-lain. Dalam situasi ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu tempoh eddah isterinya berakhir terlebih dahulu.
Daripada ketiga-tiga keadaan ini, maka terjawablah sedikit sebanyak persoalan tentang situasi yang berlaku dalam drama tersebut iaitu lelaki yang hendak mengahwini saudara perempuan bekas isterinya, perlu selesaikan eddah bekas isterinya terlebih dahulu.
Bagi lelaki yang mahu berkahwin dengan wanita lain dalam tempoh eddah isteri, mereka perlu memohon kebenaran poligami di Mahkamah Syariah. Cuma situasi ini tidak terguna pakai ke atas lelaki yang mahu mengahwini saudara perempuan bekas isterinya. Haram hukumnya dalam Islam.
Jadi, betullah tindakan Fahad yang menunggu habisnya eddah Amanda untuk kahwin dengan Amani. Cuma, yang tak bagusnya adalah tindakan Amani menolak kakaknya Amanda secara sengaja sehingga jatuh keguguran sewaktu mengandung tersebut. Maka, tamatlah tempoh eddah yang dilalui Amanda. Bijak tapi kejam. Hebat penulis skrip.
Satu fakta yang boleh saya kongsikan juga, di dalam Islam, tidak boleh dikumpulkan adik dan kakak dengan seorang suami secara serentak. Namun, pada zaman dahulu, Nabi Yaakub a.s adalah Nabi yang dibenarkan Allah melalui syariat ketika itu untuk berkahwin kakak dan adik serentak.
Nabi Yaakub a.s dikahwinkan bapa saudaranya dengan anak perempuan sulung bernama Laiyah terlebih dahulu dan kemudian berkahwin dengan Rahil yang cantik iaitu ibu kepada Nabi Yusuf a.s.
Tapi ingat, syariat pada ketika itu tidak terguna pakai atas kita. Hanya pada waktu Nabi Yaakub a.s itu sahaja yang dibenarkan untuk kahwin kakak dan adik sekaligus tanpa menceraikan salah satunya.
Begitulah lebih kurang yang dapat saya ulas daripada apa yang saya kutip dari drama swasta tersebut. Siapa yang tonton drama ni? Ada yang geram juga? Mintak pandangan anda boleh?
Fahmi Ramli adalah seorang peguam Syarie yang bertapak di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan perundangan Syariah dan merupakan Timbalan Setiausaha PGSM Kedah. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #syarieavengers
Foto ihsan Hot FM
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.