Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat

Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat

Waadat

Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu susunan asal Tun Seri Lanang versi selenggaraan A. Samad Ahmad mencatatkan satu bab bertajuk “Bersurupah Berteguh Janji”. Di dalam bab ini tercatat waadat atau perjanjian di antara Nila Utama Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun. 

Ada khilaf yang menyatakan bahawa Sang Sapurba Taramberi Tri Buana yang sebenarnya berwaadat dengan Demang Lebar Daun dan bukannya Nila Utama, namun ia bukanlah masalah. Sementelahan mereka adalah adik-beradik yang sama-sama dikatakan muncul di Bukit Siguntang.

Waadat ini dicanang sebagai ‘Kontrak Sosial’ yang menggariskan hak antara raja dan (hamba) rakyatnya. Raja harus berlaku adil terhadap rakyat dan rakyat harus setia kepada Raja. Waadat ini adakala dibandingkan dengan Magna Carta Libertatum atau lazimnya dikenali sebagai Magna Carta di dalam sejarah Inggeris yang menjamin hak, kebebasan serta keterikatan rakyat dan raja terhadap undang-undang.

Walaupun waadat tersebut lebih kurang seusia Magna Carta, namun tiada cebisan dokumen asli sebagai bukti empirikal. Mungkin ia cuma perjanjian lisan. Namun ia tercatat di dalam sumber sejarah sekunder seperti Sulalatus Salatin. Sebagai perbandingan, Magna Carta yang berlaku pada tahun 1215 Masihi pula masih mempunyai dokumen-dokumen bertulis sebagai bukti dan sumber sejarah yang utama.

Tun Sri Lanang pula cuma menyusun dan mencatatkan peristiwa tersebut sekitar penghujung abad ke enam belas dan awal abad ke tujuh belas sedangkan peristiwa waadat itu dikatakan berlaku kira 300 tahun lebih awal.

Di dalam waadat tersebut terkandung ucapan Demang Lebar Daun“…Seperkara lagi, perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi."

Pada ayat ini tercatat perkataan “hukum syarak” walaupun jelas kisah Bukit Siguntang dipengaruhi elemen agama Hindu, ini kejanggalan. Jika diambil kira faktor garis masa, pada abad ke 13 dan 14 pengaruh Hindu masih kuat di Nusantara. Pengaruh Islam cuma kukuh di Nusantara menjelang abad ke 16 walaupun telah dikesan di Nusantara pada abad-abad sebelumnya. 

Bahkan Parameswara (juga dicatatkan sebagai Prameswara dan Permaisura) yang membuka Melaka itu juga dikatakan beragama Hindu pada asalnya. Sedangkan Parameswara adalah keturunan daripada Raja-raja yang menjelma di Bukit Siguntang itu.

Sama ada sahih atau tidak waadat itu, ia diterima oleh masyarakat Melayu umumnya sebagai garis panduan ringkas dan asas kontrak sosial di antara raja dan rakyat. Waadat tersebut tidak boleh ditolak mentah-mentah, tetapi ia juga tidak boleh diterima bulat-bulat – umumnya setiap tamadun ada peraturan dan perjanjian tersendiri di antara rakyat dan pemerintahnya, dan waadat tersebut dipegang oleh masyarakat Melayu.

Walaupun wujud pertikaian tentang kesahihan pengkisahan Sulalatus Salatin, namun secara garis masa dan beberapa perkara yang dicatatkan adalah tepat secara umumnya. Misalnya kisah kemunculan leluhur Raja-Raja Melayu di Bukit Siguntang, ianya selari dengan kejatuhan empayar (Melayu) Srivijaya dan transisi kepada Melayu di Malayapura dan seterusnya Melaka. Ia juga menandakan kemalapan era Hindu-Animisme dan awal kebangkitan Islam secara meluas di Nusantara.

Daulat

Daripada waadat inilah konsep kedaulatan Raja-raja Melayu untuk memerintah secara absah bermula bagi menggantikan konsep Dewa-Raja. Kedaulatan adalah istilah pinjaman dari Bahasa Arab yang bermaksud kerajaan, kekuasaan ataupun pemerintahan.

Daulat ini juga diterjemahkan sebagai Duli. Saya tidak menolak maksud Duli ialah debu, namun saya berpegang pendapat bahawa Duli lebih cenderung bermaksud Daulat. Duli Yang Mahu Mulia bermaksud Daulat yang dianugerahkan oleh Allah. Ini selari dengan ayat 26 surah Ali Imran yang bermaksud “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.”

Di dalam konsep monarki Melayu bermaksud Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’ – ungkapan ini tercatat di dalam Perkara 11(b) Bahagian 2 Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Ia bermakna Kedaulatan akan kekal dan diwariskan apabila seseorang Raja itu mangkat ataupun turun takhta.

Konsep Waadat, daulat dan kontrak sosial ini terus berlangsung di Alam Melayu selama ratusan tahun sehinggalah dimasyhurkan Undang-undang Tubuh Negeri Johor pada 1895 dan diikuti Undang-undang Tubuh Bagi Diri Kerajaan Terengganu 1911. Ini merupakan satu saat penting dalam sejarah masyarakat Melayu. Ia cetusan awal konsep Raja Berpelembagaan di Nusantara.

Raja-raja Melayu sebelum ini telah memerintah berdasarkan undang-undang jika dirujuk Hukum Kanun Melaka, Undang-undang 99 Perak dan sebagainya. Namun Undang-undang Tubuh Negeri menyatakan secara terperinci tentang kedaulatan, prerogatif serta sistem pewarisan Monarki, tanggungjawab pemimpin dan hak rakyat. 

Pewarisan kedaulatan raja misalnya tidak lagi hanya bergantung kepada pewarisan ’regalia’ ataupun alat kebesaran sebagai petanda sebaliknya perlembagaan telah menentukan. Ini adalah manifestasi kepada konsep kontrak sosial, keadilan dan perjanjian antara raja dan rakyat yang selama ini cuma tertulis di dalam Sulalatus Salatin. 

Selama ratusan tahun Raja-raja Melayu bertakhta dan berdaulat di Negeri-negeri Melayu (baca Malaya, bukannya ‘Malay Lands’) dengan waadat yang membuatkan rakyat taat. Namun daulat ini berakhir apabila British yang mulanya datang ke negeri-negeri Melayu sebagai ‘penasihat’ dan ‘penaung’ akhirnya menjajah dengan penubuhan Malayan Union. Kedaulatan serta keseluruhan kuasa raja-raja untuk memerintah negeri telah dirampas melainkan di dalam perihal Agama Islam sahaja. 

Semasa berlangsungnya Perang Dunia Kedua, British dan Amerika Syarikat telah menandatangani Piagam Atlantik pada tahun 1941. Salah satu perkara yang ditegaskan di dalam piagam tersebut ialah mereka memberi kuasa urus tadbir sendiri (‘self-governance’) ataupun kemerdekaan (jika ianya diminta) kepada wilayah-wilayah yang dinaungi atau dijajahi mereka.

Sejurus tamat Perang Dunia Kedua, British bercadang untuk menubuhkan Malayan Union yang menggabungkan kesemua Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat (kecuali Singapura). British pada asalnya seumpama berhasrat untuk mengurniakan pentadbiran sendiri kepada Tanah Melayu sebagai negara kesatuan dan bukannya persekutuan. 

Sistem negara kesatuan sangat berbeza daripada negara persekutuan kerana ia menghilangkan kedaulatan pemerintah dan negeri-negeri yang telah digabungkan. Kuasa perundangan akan berpusat di peringkat negara semata-mata.

Oleh kerana kedaulatan pemerintah dan negeri telah dirampas, ini bermakna status Negeri-negeri Melayu di bawah Malayan Union berubah daripada negeri-negeri naungan kepada negara Jajahan Mahkota British. Apabila raja dan negeri hilang kedaulatan maka subjek (baca: rakyat) asal raja kini setaraf dengan penduduk-penduduk yang lain.

Kerajaan British telah menugaskan (Sir) Harold Alfred MacMichael untuk menjayakan misi mendapatkan persetujuan sembilan orang Raja-raja Melayu bagi menubuhkan Malayan Union. Sama ada secara paksa atau rela, Raja-raja Melayu tatkala itu telah menyerahkan kedaulatan mereka kecuali dalam perihal agama. 

Maka bertakhtalah Raja-raja Melayu tatkala itu tanpa kuasa politik dan kedaulatan kerana kedaulatan penuh dipegang oleh British sebagai penjajah. Lalu pada 1 April 1946 tertubuhlah Malayan Union. Maka tamatlah waadat dan daulat!

Keramat Rakyat

Namun masih ada suara rakyat, suara yang keramat. Rakyat ketika itu bangkit menolak Malayan Union. Raja-raja juga sangat terpengaruh dengan kebangkitan rakyat. Ugutan MacMichael memaksa mereka untuk bersetuju dengan Malayan Union dibongkar. Suara rakyat ini turut disokong sendiri oleh bekas-bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu seperti Frank Swettenham, Frederick Weld, Cecil Clementi dan beberapa orang lagi. 

Rakyat ketika itu cakna dan terpengaruh dengan perkembangan dunia luar yang mula menentang kolonialisme termasuklah British. Indonesia telah merdeka. Negara-negara Arab juga telah banyak yang mencapai kemerdekaan tatkala itu. Ini sangat mempengaruhi nurani rakyat Tanah Melayu.

Saya sengaja tidak menyebutkan nama mana-mana partai politik disini. Bukan kerana saya mahu menafikan usaha mereka, namun suara penentangan terhadap kolonialisme ini bermula daripada nurani dan kecerahan akal rakyat itu sendiri lalu ianya digembleng oleh organisasi-organisasi tertentu termasuklah partai-partai politik.

Tidak sampai dua tahun, Malayan Union pun tumbang pada 31 Januari 1948 dan terbentuklah Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya). Daripada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu inilah jalan kemerdekaan semakin terbuka luas.

Tidak salah juga rasanya kita bincangkan di sini, apakah Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895 dan Undang-undang Tubuh Bagi Diri Kerajaan Terengganu 1911 masih absah kerana Malayan Union pernah merampas kedaulatan negeri dan raja? Isu ini pernah menjadi perdebatan umum yang hangat di kalangan kerabat, politisi, sarjana dan rakyat.

Secara zahirnya ada sarjana yang berpandangan bahawa Undang-undang Tubuh negeri Johor dan Terengganu tidak pernah terbatal kerana Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu sifatnya tidak menandakan permulaan status kedaulatan negeri-negeri Melayu sebaliknya ia mengabsahkan sesuatu yang telah sedia ada. Ini juga bermaksud bahawa Malayan Union tidak diiktiraf dan Undang-undang Tubuh kedua-dua negeri tersebut kekal wujud. Ia absah di sudut pandang undang-undang selagi ia tidak bercanggah dan tidak ‘ultra vires’ terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Namun hakikatnya rakyatlah yang telah berjasa besar dalam usaha mengembalikan kekuasaan dan kedaulatan kesemua negeri dan raja. Jika tidak kerana rakyat, kemungkinan besar Tanah Melayu akan menggunakan sistem negara berpusat berkonsepkan republik. Jasa besar rakyat dan suara keramat mereka adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan.

Dengan tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu, kedaulatan dan kuasa raja dan negeri telah dikembalikan. Suara keramat rakyat telah menyelamatkan raja-raja mereka. Namun penekanan terhadap konsep waadat dan daulat raja-raja telah berubah. Walaupun pengenalan awal terhadap konsep Raja Berpelembagaan telah diperkenalkan sebelumnya, namun sistem demokrasi yang mengangkat suara keramat rakyat masih tiada.

Oleh itu menjelang kemerdekaan Tanah Melayu, sistem demokrasi telah diangkat dan konsep Raja Berpelembagaan telah diperkukuhkan lagi. Raja-raja kekal berdaulat namun perlembagaan mengikat dan rakyat berhak untuk menentukan pentadbiran kerajaan pilihan mereka sendiri.

Inilah waadat moden diantara raja dan rakyat. Daulat bukanlah kesaktian melainkan suatu pertanggungjawaban. Suara keramat rakyat juga bukanlah tahyul atau bidaah yang diada-adakan, sebaliknya ia berdasarkan Karamah (kemuliaan) Bani Adam yang tercatat di dalam Surah Al Israa ayat 70 “Walaqad karramna bani Adam”.

I rest my case.

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

Foto hiasan ihsan Wikimedia / Public Domain

Share this Post: