Diskriminasi, stereotaip, dan prejudis - tiga perkara berbeza tetapi boleh berlaku dalam satu situasi yang sama. Ketiga-tiga perkara ini berasaskan ‘aura’ dan emosi negatif dalam konteks yang berbeza.
Persepsi tentang prejudis dan ketidaksamaan ini subjektif; bergantung kepada mangsa ataupun orang yang melakukan prejudis. Sebagai contoh, orang kulit hitam di Amerika Syarikat (AS) akan lebih melihat ke dalam isu berkaitan prejudis berbanding orang kulit putih, tentu sekali kerana orang kulit hitam di AS merupakan mangsa prejudis. Mangsa yang mengalami situasi prejudis lebih terkesan dan merasakan bahawa prejudis adalah isu yang besar berbanding kumpulan yang tidak terkesan dengan isu prejudis.
Diskriminasi pula adalah tingkah laku yang berbeza dan kebiasaannya negatif, dengan ditujukan kepada individu dalam sesebuah kumpulan atau komuniti. Diskriminasi ini boleh berlaku secara terang-terangan mahupun tidak, dan lazim juga ia tanpa sedar dilihat seolah wajar dan biasa oleh masyarakat sekeliling. Sebagai contoh, diskriminasi ke atas golongan bujang meskipun meskipun dalam situasi yang tidak menjejaskan orang sekeliling.
Masyarakat sekeliling terlalu menganggap bahawa perkahwinan melengkapi hidup seseorang dalam mengecapi kebahagiaan, oleh itu orang bujang secara tidak langsung menjadi mangsa diskriminasi, sering dilayan negatif oleh orang sekelilingnya, dan sering pula dikaitkan dengan perkara-perkara negatif. Orang bujang misalnya dikaitkan dengan perasaan tidak gembira dan kesunyian meskipun individu bujang tersebut bahagia menjalani kehidupannya. Orang bujang juga sering dikatakan tidak matang meskipun mereka menjalani hidup normal yang sama sahaja seperti orang yang sudah berumahtangga.
Golongan bujang juga kadang kala mendapat faedah yang kurang berbanding orang yang telah berkeluarga. Misalnya, orang bujan mungkin tidak menikmati diskaun yang sama seperti yang diterima oleh golongan berkeluarga meskipun mereka membeli makan di gerai yang sama. Namun begitu, golongan bujang ini kadangkala tidak nampak secara jelas bahawa mereka sedang menghadapi diskriminasi oleh orang sekeliling dan menganggapnya sebagai perkara biasa dan wajar.
Seterusnya, stereotaip pula membawa erti kepercayaan atau pandangan yang dibina terhadap sesebuah kumpulan sosial kerana mempunyai sesuatu ciri yang sama. Masyarakat yang memiliki pandangan secara stereotaip ini seolah-olah mempunyai skema yang menjadi panduan dalam menilai seseorang individu atau kumpulan masyarakat yang lain. Stereotaip yang paling ketara ialah stereotaip jantina dan kaum.
Stereotaip boleh berlaku dalam beberapa konteks berbeza seperti aktiviti kegemaran, ciri, rupa paras fizikal, budaya, bahasa, dan tingkah laku. Masyarakat akan menilai seseorang individu mengikut stereotaip yang sedia ada. Sebagai contoh, masyarakat mempunyai stereotaip bahawa wanita itu harus mempunyai ciri-ciri seperti sopan, lemah lembut, gemar menjahit dan ayu.
Jika terdapat wanita yang kurang mahupun tidak mempunyai ciri-ciri seperti dalam skema yang ditetapkan masyarakat tadi, wanita tersebut akan mendapat cemuhan atau dipandang serong. Sedangkan, kurang atau tidak mempunyai ciri wanita mengikut stereotaip masyarakat seperti tadi itu tidak sedikit pun mengubah hakikat individu itu sebagai perempuan, namun, masyarakat tetap merasakan bahawa perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana telah bercanggah dengan skema penilaian mereka terhadap wanita.
Individu yang mempunyai ciri bertentangan dengan stereotaip sedia ada dikenali sebagai ‘subjenis’ atau subtype. Stereotaip ini sukar diubah melainkan individu itu mula melibatkan diri dan menjadi ahli dalam kumpulan individu lain yang mempunyai ciri seperti dikehendaki oleh stereotaip.
Prejudis selalunya melibatkan tindak balas emosi negatif terhadap seseorang individu mahupun kumpulan. Emosi negatif ini timbul kerana tidak menyukai seseorang yang berlainan dari beberapa aspek seperti kepercayaan agama, etnik, berat badan mahupun jantina. Prejudis yang wujud dalam kalangan masyarakat kita boleh berlaku secara ekstrim sekiranya tidak dikawal.
Kita pasti pernah melihat prejudis berlaku meskipun kita tidak melakukan prejudis tersebut. Kita juga akan lebih peka dan risau sekiranya orang yang mengalami prejudis tersebut merupakan seseorang yang berkaitan dengan kita. Kenalan yang mengalami prejudis sering dianggap sebagai mangsa walhal individu yang tidak kita kenali belum tentu akan dianggap sebagai mangsa meskipun individu tersebut mengalami perkara yang sama seperti kenalan kita.
Terdapat beberapa kaedah yang dapat mengurangkan prejudis terhadap seseorang agar mangsa tidak berasa tertekan dengan emosi negatif yang ditujukan kepada mereka. Orang yang melakukan prejudis dapat mengurangkan emosi prejudisnya dengan melihat diri sebagai dari kumpulan yang sama dengan orang yang bertentangan dengannya. Individu yang berada di dalam kumpulan atau kategori yang sama akan mengurangkan ketidaksamaan sekaligus dapat mengurangkan rasa prejudis terhadap orang tersebut.
Selain itu, orang yang sering prejudis boleh belajar mengurangkan kebergantungan kepada stereotaip dengan menolak skema dalam menilai seseorang. Stereotaip terhadap seseorang yang dikurangkan akan sekaligus mengurangkan prejudis kerana menganggap bahawa semua orang sama dan tidak diklasifikasikan melalui sebarang skema.
Kesimpulannya, prejudis, diskriminasi dan stereotaip merupakan perkara yang tidak sihat sekiranya dilakukan mahupun menerima perbuatan tersebut. Ketiga-tiga perkara ini hanya membawa keburukan berbanding kebaikan dan mengukuhkan lagi bahawa ketiga-tiga perkara ini hendaklah sekerasnya dielakkan daripada berlaku. Hidup yang lebih sihat dibentuk daripada usaha dan amalan yang sihat dan positif oleh diri sendiri mahupun orang sekeliling.
Nurasyiqin Khidir Neoh adalah seorang pemegang Ijazah Sarjana Sains Gunaan (Kimia Analisis) dari Universiti Sains Malaysia.
Foto hiasan ihsan Elliot Erwitt, sumber Reddit
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.