Tahun 2021 adalah tahun yang paling mencabar buat anak-anak sekolah kita.
Tahun sebelumnya, anak-anak kita ‘hilang pembelajaran’ hampir enam bulan ketika sekolah ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada Januari 2021, Untuk Malaysia yang ditubuhkan untuk fokus pendidikan anak-anak pasca-pandemik menerima sekitar 1500 permohonan ‘murid cicir’. Permohonan ini dibuat oleh ibu bapa, abang & kakak serta saudara mara kepada anak-anak yang ‘masih belum boleh membaca lancar’ pada umur 7 hingga 12 tahun.
Pada Mac 2021, Untuk Malaysia memulakan kelas mingguan #KitaBaca sebagai sebahagian dari kempen ‘Selamatkan Murid Cicir’, sebuah kelas membantu anak-anak kategori cicir ini belajar membaca menggunakan teknik ‘Read Aloud’ & ‘Story Scribble’ yang dikembangkan oleh pengasas KinderKaizen, Dr Putri Afzan Maria.
Hampir 350 anak-anak dari umur 7 hingga 12 mengikuti kelas ini dengan hampir 150 sukarelawan ‘Changemaker’ mengajar di seluruh negara termasuk di Felda Chuping, Perlis, Kuala Muda, Kedah serta Gerik di Perak. Untuk Malaysia melaksanakan sehingga 3 sesi latihan pada Mac 2021 kepada semua sukarelawan untuk memastikan hanya Changemaker terlatih sahaja yang akan turun mengajar anak-anak.
Malangnya pada Mei 2021 negara kita sekali lagi melaksanakan PKP sehingga Oktober 2021. Disebalik kekangan itu, kelas #KitaBaca terus berjalan dengan sebahagiannya berjalan dalam talian.
‘Hilang Pembelajaran’ & Keciciran
Unesco, Unicef & World Bank dalam laporan terbaru yang diterbitkan secara bersama pada Disember 2021 menjelaskan dua jenis ‘kehilangan pembelajaran’ dalam konteks pandemik Covid-19 iaitu ‘forgetting’ dan ‘forgone’. ‘Forgetting’ bermakna kehilangan apa yang telah dipelajari dan ‘forgone’ pula bermakna pembelajaran yang tidak dapat dilaksanakan kerana sekolah ditutup.
Kehilangan pembelajaran yang berlaku akibat penutupan sekolah seterusnya akan melebarkan pula ‘learning gaps’ atau jurang pembelajaran. Kehilangan pembelajaran yang terlalu lama ini juga akan memberi kesan buruk kepada anak-anak kerana akan mengganggu trajektori pembelajaran mereka. Menurut laporan Unesco, Unicef & World Bank, anak-anak yang kehilangan pembelajaran dan tiada pemulihan diusahakan, pembelajaran di masa depan akan berjalan dengan lebih perlahan.
Ini bermakna, semakin lama anak-anak kita tidak ke sekolah semakin besar potensi mereka untuk kehilangan pembelajaran. Bahkan jika tiada usaha pemulihan dijalankan setelah sekolah dibuka, pembelajaran anak-anak ini akan berjalan dengan lebih perlahan diakibatkan oleh dua faktor ‘forgetting’ & ‘forgone’. Ini semua seterusnya akan melebarkan lagi jurang pembelajaran, dengan anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah yang tidak mendapat manfaat dari pembelajaran jarak jauh atau pembelajaran dalam talian akan terus tercicir berbanding anak-anak dari keluarga berpendapatan tinggi.
Hilang Pendapatan Sepanjang Hidup
Berdasarkan trajektori pembelajaran pasca-Covid, Unesco, Unicef & World Bank kemudiannya dapat melihat trajektori magnitud kehilangan pembelajaran yang bakal berlaku di masa depan.
Keputusannya tidak menyenangkan sama sekali.
Generasi yang terlibat dengan hampir tujuh bulan penutupan sekolah pada tahun 2020 berdepan dengan kehilangan pendapatan sebanyak USD 10 trilion hingga USD 16 trilion. Penutupan sekolah yang melibatkan sebanyak 1.6 bilion anak-anak di 188 negara dengan purata sekolah ditutup selama 121 hari sejak Februari 2020 hingga Ogos 2021.
Dalam bahasa yang lebih mudah, generasi yang terlibat dengan penutupan sekolah atau kehilangan pembelajaran ini semuanya berpotensi kehilangan pendapatan seumur hidup sebanyak USD 25,000 atau RM 104,412 pada kedudukan kewangan hari ini.
Ini berlaku kerana pelbagai sebab dan antara sebab utamanya adalah kerana anak-anak yang kehilangan pembelajaran ini di akhirnya tidak dapat menggarap kemahiran-kemahiran yang diperlukan dan menyebabkan akhirnya mereka sama ada tercicir dari sistem pembelajaran ataupun hilang daripada radar pendidikan nasional. Generasi ini akhirnya terpaksa bekerja dengan gaji dan upah yang lebih rendah kerana tidak memiliki kemahiran yang lebih baik.
Banjir & Jurang Pendidikan
Sebelum pandemik, kadar keciciran untuk sekolah rendah adalah sekitar julat 0.1% hingga 0.3% manakala untuk sekolah menengah pula adalah sekitar 1.1% hingga 1.5%. Ini bermakna setiap tahun, sekitar 20,000 hingga 40,000 anak-anak sekolah kita cicir dari sistem pendidikan sama ada mereka tidak menyambung pendidikan ke Tingkatan Satu dari Tahun 6 atau mereka tidak menyambung pelajaran ke Tingkatan 4 dari Tingkatan 3.
Ini semua berlaku sebelum pandemik melanda.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya menjangkakan jumlah keciciran akibat pandemik Covid-19 meningkat sekali ganda hingga dua kali ganda kerana sehingga kini, tidak ada kajian yang dapat membuktikan pembelajaran jarak jauh atau pembelajaran dalam talian adalah berkesan untuk generasi pandemik ini.
Dalam ketidaktentuan kita semua menghadapi kesan berganda akibat penutupan sekolah serta kehilangan pembelajaran ini, kemudiannya banjir melanda beberapa negeri pada 18 Disember 2021. Puluhan ribu penduduk terjejas, rumah-rumah tenggelam hingga ke bumbung, keluarga bukan sahaja kerosakan barangan rumah bahkan bahan pembelajaran seperti buku dan komputer riba juga semuanya hanyut.
Sekali lagi anak-anak berpendapatan rendah paling terjejas kerana kebanyakan lokasi banjir ini melibatkan kawasan perumahan flat dan rumah teres atau juga dipanggil sebagai rumah-rumah-murah. Di beberapa lokasi Pusat Pemindahan Segera (PPS) di Shah Alam, Dengkil, Kota Warisan & Cyberjaya, Untuk Malaysia menjalankan program Storytelling untuk membantu menceriakan emosi anak-anak mangsa banjir ini dan saya sempat bertanya mengenai pekerjaan ibu bapa anak-anak mangsa banjir ini. Ramai anak-anak menyatakan ibu bapa mereka sama ada bekerja di kilang, berniaga kecilan, pekerja kebersihan ataupun kerani kecil sahaja.
Untuk anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah, yang langsung tidak mendapat manfaat dari sistem pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran dalam talian, banjir memburukkan lagi keadaan yang sudah getir.
Kini mereka hilang buku, hilang meja dan kerusi bahkan mungkin hilang semua bukti kejayaan yang berjaya mereka kecapi sepanjang persekolahan sebelum ini seperti sijil dan medal sukan. Ini semua boleh meruntuhkan emosi dan motivasi mereka untuk meneruskan pembelajaran di masa depan. Dalam masa yang sama mereka juga terdedah dengan bahaya kerana keluarga mereka iaitu ibu dan bapa mereka kini tertekan dengan situasi pasca banjir iaitu beban kewangan untuk membaiki kereta, motor mahupun menggantikan perabot rumah yang rosak.
Anak-anak ini semua terdedah dengan bahaya emosi manusia dewasa seperti penderaan dan tekanan mental. Pihak KPM harus segera mencari jalan untuk memastikan sokongan psiko-sosial segera digerakkan kepada anak-anak mangsa banjir ini.
Berbalik kepada program ‘Selamatkan Murid Cicir’ Untuk Malaysia, sehingga Disember 2021 sekitar 35 anak-anak telah berjaya menamatkan kelas untuk bergraduasi di sebalik banyaknya kekangan untuk melaksanakan kelas seperti PKP.
Kini lebih dari 200 anak-anak masih terlibat dengan kelas tersebut walau kebanyak mereka mempunyai pelbagai masalah kritikal seperti ‘speech delay’ dan pelbagai masalah pembelajaran yang lain.
Adakah tahun 2022 akan menjadi lebih baik?
Berdasarkan jangkaan senario dan trajektori yang dibina oleh Unesco, Unicef & World Bank, anak-anak kita semua adalah generasi yang terkesan dengan kehilangan pembelajaran dan potensi kemiskinan pembelajaran semakin besar untuk tahun mendatang.
Kesan pandemik-Covid mungkin akan menjadi luka dengan torehan yang paling dalam buat generasi ini; sebahagiannya akan memberi kesan untuk sepanjang hidup mereka nanti.
ZF Zamir adalah penulis buku Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang & kini menerajui gerakan pendidikan’Untuk Malaysia’.
Tulisan ini telah diterbitkan buat kali pertama menerusi portal berita The Malaysian Insight.
Foto: Bernama
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.