Hal ehwal orang Melayu merupakan topik yang tidak pernah basi di Malaysia. Baik dari segi politik, ekonomi mahupun sosial, kepentingan dan kehendak orang Melayu tidak dapat dipisahkan daripada persoalan-persoalan dasar dan identiti negara bangsa. Statistik terkini menunjukkan bahawa kaum Bumiputera merupakan kumpulan etnik yang terbanyak, iaitu seramai 69.8% daripada jumlah keseluruhan penduduk di Malaysia. Maka tidak hairanlah apabila badan-badan pemikir dan para penyelidik banyak menerbitkan kertas kajian yang bertumpukan kepada orang Melayu. Tambahan pula, bagi setiap parti politik di Malaysia yang ingin mempunyai peluang cerah untuk menang, menjaga sensitiviti dan kebajikan orang Melayu sudah menjadi satu kewajipan.
Baru-baru ini, badan penyelidik Ilham Centre telah menjalankan kajian tentang penerimaan orang Melayu-Muslim terhadap agenda reformasi institusi. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa orang Melayu-Muslim lebih mengutamakan isu kemiskinan dan kos sara hidup berbanding dengan reformasi institusi dan urus tadbir kerajaan. Ilham Centre bukanlah badan penyelidik pertama yang menjalankan kajian seperti ini. Pada tahun 2019, Institut Darul Ehsan dan Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development, Sunway University juga menjalankan satu Survei Nadi Melayu Muslim yang menunjukkan bahawa Melayu-Muslim lebih mementingkan isu periuk nasi (bread and butter) berbanding politik tinggi. Sebenarnya, survei dan kajian seperti ini penting untuk pembuat dasar membuat penilaian tentang aspek-aspek dasar yang perlu diberi keutamaan, selain berguna juga untuk badan pemikir membuat penyelidikan.
Justeru itu, tujuan makalah ini bukanlah untuk mempertikai metodologi mahupun kebolehpercayaan kedua-dua dapatan survei tersebut. Makalah ini juga tidak berniat untuk membuat analisis terperinci tentang keperluan dan kemahuan orang Melayu menurut mana-mana teori sosiologi atau psikologi. Sebaliknya, makalah ini ditulis untuk mempersoal pendapat sesetengah aktivis masyarakat sivil dan ahli politik bahawa orang Melayu hanya kisah tentang periuk nasi mereka dan tidak ambil peduli tentang reformasi institusi, maka memperjuangkan reformasi institusi tidak patut dijadikan keutamaan. Tambahan pula, ada sesetengah golongan yang merasakan bahawa reformasi institusi tidak mendatangkan apa-apa perubahan kepada hidup rakyat marhaen. Sudut pandang sebegini sebenarnya sangat bermasalah atas beberapa faktor. Faktor-faktor ini akan dikupas satu-persatu.
Pertama sekali, reformasi institusi dan periuk nasi tidak boleh dipisahkan dan dilihat secara berasingan. Banyak kajian telah menunjukkan bagaimana keruntuhan integriti dan penghakisan kemandirian institusi-institusi negara mempunyai hubungkait rapat dengan kehidupan rakyat terbanyak. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), rasuah yang berlaku dalam sektor hartanah misalnya, menyumbang kepada kenaikan kos pembinaan rumah yang akhirnya harus ditanggung oleh pembeli rumah yang merupakan rakyat Malaysia. Proses pengambilan pekerja asing dalam sektor hartanah juga melibatkan rasuah dan salahguna kuasa yang serius dan memberi kesan langsung terhadap penindasan dan penzaliman pekerja asing. Contoh lain pula ialah isu perkauman dalam kepolisan yang telah mengakibatkan penyeksaan dan kematian tahanan polis yang rata-rata daripada kaum India. Selain daripada itu, kita juga sering membaca tentang mangsa keganasan seksual dan rogol yang sering diragui, diperlekeh dan tidak diambil serius oleh pihak berkuasa. Antara sebab kejadian seperti ini berlaku dengan kerap ialah kerana institusi yang sepatutnya memainkan peranan sebagai penguatkuasa undang-undang, pengawal selia dan penyemak imbang tidak berfungsi dengan telus. Justeru, kebobrokan institusi mempunyai hubungkait yang sangat rapat dengan nyawa manusia, terutama sekali kepada yang kurang bernasib baik.
Kedua, kepercayaan bahawa orang Melayu tidak peduli tentang hal-hal reformasi institusi membawa konotasi negatif yang menyumbang kepada pengukuhan stereotaip tentang orang Melayu yang kononnya malas dan bodoh. Lagipun, sekiranya benar orang Melayu tidak peduli tentang reformasi institusi dan tadbir urus baik, bukankah tugas masyarakat sivil dan parti politik untuk menunjukkan bagaimana kehidupan seharian orang Melayu boleh ditambah baik dengan institusi yang mandiri dan sistem tadbir urus yang mapan? Tidak guna mengeluh tentang budaya politik Malaysia yang kurang berkisarkan tentang dasar dan lebih menjurus kepada keperibadian, kaum dan agama jika parti politik dan masyarakat sivil sendiri menyumbang kepada kedangkalan itu. Politik berasaskan dasar bukanlah sesuatu yang norma di Malaysia, dan mengubahnya adalah tanggungjawab yang mesti dipikul bersama.
Ketiga, wujud juga pertembungan di antara golongan yang mempercayai bahawa reformasi institusi wajib diperjuangkan walau apa sekalipun, dengan golongan yang merasakan bahawa isu periuk nasi lebih mendesak dan harus diutamakan. Biasanya, golongan yang memperjuangkan reformasi institusi ini dilabel sebagai ‘Bangsar bubble’, ‘elitis’, ‘kayangan’ dan berkiblatkan Barat kerana kononnya tidak empati dengan keadaan masyarakat marhaen yang lebih memerlukan bantuan kewangan, makanan dan peluang pekerjaan, terutamanya ketika wabak Covid-19 masih belum reda. Lazimnya, organisasi masyarakat sivil dan parti-parti pembangkang yang menjadi mangsa kritikan seperti ini, malah Pakatan Harapan sering dituduh tidak prihatin dengan sensitiviti Melayu-Muslim ketika memerintah. Maka wujud sesetengah parti politik di Malaysia yang bangga mendabik dada kerana merekalah yang paling memahami jiwa orang Melayu, yang paling tahu mengambil hati pengundi Melayu.
Hakikatnya, hujah-hujah simplistik seperti ‘orang Melayu tidak faham tentang kepentingan ketelusan dan kebertanggungjawaban’ merendah-rendahkan intelek dan kemandirian berfikir orang Melayu. Paling malang sekali, sentimen seperti inilah yang diguna pakai sebagai alasan untuk melengah-lengahkan reformasi institusi dan proses penyuburan demokrasi negara, semuanya atas nama ‘bekerja untuk rakyat’ dan ‘menjaga periuk nasi rakyat.’ Cogan kata seperti ini kemudiannya digunakan sebagai sentimen untuk menarik undi Melayu ketika kempen pilihan raya. Sepanjang pandemik Covid-19 melanda Malaysia dan meragut ribuan nyawa, sudah terang lagi bersuluh golongan mana yang sebenarnya tidak berempati dengan nasib rakyat yang kian melarat. Orang Melayu mampu berfikir dengan kritis dan menilai apa yang penting bagi mereka - pandangan yang reduktif dan menafikan keberadaan orang Melayu itu yang harus dihapuskan.
Persoalan yang kita semua perlu tanya ialah - adakah orang Melayu tidak kisah dengan reformasi institusi dan kesuburan demokrasi, atau selama ini mereka tidak diberi peluang untuk kisah?
Aira Azhari merupakan pengurus penyelidikan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), sebuah badan pemikir bebas yang terletak di Kuala Lumpur. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi mana-mana organisasi. Artikel ini telah diterbitkan kali pertama di laman https://ajardemokrasi.com/.
Foto: Berita Harian
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.