Corak-corak politik yang kita sedia maklum bersifat dinamik – sentiasa berubah-ubah dan tidak statik. Para politikus tanpa segan dan silu akan mengambil pelbagai inisiatif bagi mengekalkan diri di kerusi empuk kekuasan. Moraliti dan ‘virtue’ itu bukan lagi menjadi saranan sepertimana yang dianjurkan filsuf-filsuf dahulu kala. Terlalu idealis katanya dunia yang aman dan baik-baik. Ini dunia para realis, haruslah bersifat pragmatik sekalipun nilai murni digadaikan.
Sejak setengah dekad yang lalu, terdapat sejenis pendekatan yang semakin kerap digunakan oleh politikus; populisme. Pemerintahan Donald Trump di Amerika Syarikat menyemarakkan lagi perbincangan tentang populisme ini. Antara sebab utamanya adalah bagaimana Trump membentuk polarisasi yang sangat jelas di negaranya. Sarjana juga semakin rancak melakukan kajian ke atas fenomena ini. Sudah tentu ini bukanlah fenomena baru abad ke-21 – sejak 1950an lagi ia dibahaskan – namun kejadian terkini memerlukan kajian dan pengamatan baharu.
Mengamati bagaimana para sarjana memberi label kepada para populis, aku merasakan terma ini digunakan dengan sangat longgar, tanpa melalui pendekatan para sarjana. Sarjana sebenarnya sangat berhati-hati dalam menyatakan ciri populisme dan populis. Tidak dinafikan, aturan dunia akademik itu sudah tentu lebih tegar berbanding aturan sosial dan tidak boleh digunakan sewenangnya di alam politik. Namun, dengan mengabaikan sepenuhnya pula ciri-ciri populis, dan kalau dinyatakan dalam konteks yang sangat longgar dan pengamatan yang sempit, akan membuatkan kita berlaku tidak adil kepada para fenomena ini, sekaligus menonjolkan lagi polarisasi dalam masyarakat dalam bentuk kefahaman songsang.
Dalam membincangkan tentang populisme, sesetengan sarjana akan mengambil tiga pendekatan dalam kajian mereka; pendekaran empiris, pendekatan kesejarahan dan pembacaan simptomatik.
Pendekatan Empiris
Pendekatan empiris ialah pendekatan yang meletakkan definisi-definisi yang bersifat positivis dan cuba mencirikan populis dan populisme secara jelas. Pendekatan ini melihat kepada kes-kes populisme yang menjadi fenomena di kalangan pemimpin dan politikus, dan menyatakan apa ciri-ciri pemimpin dan gaya yang dibawa dalam corak politik mereka.
Meletakkan definisi ini memang menjadi kebiasaan para pemikir – ia akan memudahkan pemerhatian dan mencari poin yang dikaji mereka sendiri. Sekadar melihat poin A, B dan C yang wujud dalam fenomena politik dan kepimpinan, mereka boleh mengenal pasti bahawa fenomena itu ialah populisme.
Namun, sentiasa akan ada limitasi dalam memberi atribut yang khas untuk populis. Limitasi tersebut adalah hasil dari pemerhatian yang tidak berlandaskan suatu teras konseptual yang terkadang menjadikan ciri-ciri populis itu sekadar penyataan yang bersifat intuitif dan bukan analitikal. Sekiranya atribut yang diberikan tidak jelas dan bersifat membezakan (distinguishing), kita akhirnya akan menyamaratakan mereka yang ikhlas berjuang untuk rakyat dan para populis, akhirnya akan membawa kepada generalisasi dan ketidakadilan dalam meletakkan label. Dan dalam kebanyakan masa, pendekatan ini lebih bersifat intuitif berbanding analitikal.
Begitu juga halnya apabila dalam fenomena populisme, terdapat poin baru atau yang berbeza dari pengamatan kajian. Apakah atribut khas itu akan dijadikan kes pengecualian? Sekiranya begitu, hampir semua kes ada pengkhususan ini. Ketidakmampuan untuk mewujudkan generalisasi akan membantutkan usaha memahami populisme, atau mana-mana kejadian sosial.
Pendekatan Kesejarahan
Pendekatan ini akan meletakkan populisme dalam konteks khas dalam susur galur sejarah, dan kesinambungan proses sejarah. Secara tipikal, populisme akan dikaitkan dengan politik di Amerika Latin pada 1930-an dan krisis ekonomi yang berlaku di benua tersebut sehingga tahun 1960-an. Atribut populisme ini sudah tentu diberikan kepada politikus Amerika Latin pada waktu tersebut seperti Juan Domingo Perón di Argentina, Getúlio Dornelles Vargas di Brazil dan Lázaro Cárdenas del Río di Mexico. Pendekatan ini bersifat terhad kerana ruang perbincangan termaktub kepada konteks geografi, konteks masa dan juga nama-nama pemimpin yang terlibat.
Malah, pendekatan ini juga tidak boleh digunakan untuk menjelaskan populisme dalam politik yang berlaku di tempoh masa lain di kawasan yang berbeza. Bagaimana pendekatan kesejarahan mampu menjelaskan populisme yang diamalkan Donald Trump di Amerika Syarikat sehingga berlaku perpecahan dalam masyarakat negaranya. Bagaimana pula dengan populisme Nigel Farage di United Kingdom yang akhirnya membawa kepada Brexit? Pendekatan ini sudah tentu sangat sesuai untuk menganalisa perubahan politik di Amerika Latin kerana ia bersikap analitikal dan pemerhatian yang mendalam, namun wujud limitasi untuk mengkaji populisme secara keseluruhan.
Pembacaan Simptomatik
Pembacaan Simptomatik ini menggabungkan sesetengah ciri dalam pendekatan Empirisis dan Kesejarahan. Namun, ditambah dengan konsep asas analisis, iaitu peranan “rakyat” sebagai aktor politik. Pendekatan ini melihat populisme sebagai satu bentuk perlawanan sosial dan anti-status quo dan membahagikan masyarakat kepada dua; “the people” dan “the other”.
Kedua-dua pihak dilihat sebagai konstruk politik yang dimudahkan. Mengapa konstruk politik? Kewujudan “the people” dan “the other” adalah percubaan untuk mewujudkan perlawanan sosial lalu memudahkan struktur politik yang sebenarnya sangat kompleks. Sedangkan, politik wujud hasil interaksi pelbagai pihak, ideologi, budaya, agama, sejarah dan kesinambungannya. Para populis dilihat cuba mewujudkan pertembungan supaya mereka dilihat sebagai pejuang untuk “the people”. Dengan menjadikan mereka wira untuk “the people”, mereka memisahkan masyarakat kepada dua kumpulan yang mudah dikawal. Pemisahan ini bersifat homogenus dan hanya bertujuan untuk memudahkan politik populis dan tidaklah mencerminkan perihal sebenar tentang sesebuah masyarakat.
Namun siapa yang dimaksudkan dengan “the people” itu adalah dalam konteks terhad. Bukan semua rakyat sesebuah negara dibawah seliaan dan pimpinan politikus dianggap sebagai “the people”. Politikus bersikap selektif kerana mereka hanya akan memilih kumpulan yang sesuai dengan agenda mereka untuk memberi justikasi kepada tindak-tanduk mereka.Menurut seorang sarjana dan pengkaji fenomena populisme Bernama Cas Mudde, populisme adalah sejenis idelogi “nipis” yang mengharapkan ideologi yang sudah sedia ada seperti nasionalisme atau komunisme bagi menyokong prinsip populisme. Oleh tu, wujudnya populisme sayap kanan dan populisme sayap kiri. Bagi populis sayap kanan, “the people” itu menolak golongan minoriti, imigran dan golongan rentan. Perjuangan mereka berkisarkan kumpulan majoriti sesebuah negara.
Bagi sayap kiri pula, mereka mengasingkan “the people” dari kalangan proletariat dan golongan pekerja atau kelas menengah daripada “the other”, iaitu para kapitalis dan golongan pemerintah elit dalam masyarakat.
Sekalipun pandangan Mudde dipegang ramai pemikir, namun ia juga tidak lari dari kritikan. Menyatakan bahawa populisme itu sebagai ideologi yang bersifat “nipis” (thin ideology, untuk menggunakan terma Mudde) ialah untuk memberikan definisi khusus. Ini membawa kita, sekali lagi, kepada kelemahan pendekatan empiris yang mengabaikan asas teori. Ideologi itu secara amnya dilengkapi dengan kehalusan intelektual. Terma Mudde memperlihatkan bahawa populisme itu satu ideologi, tapi tanpa kekuatan intelektual dan mempunyai define khusus.
Disebabkan itu, pemikir seperti Ernesto Laclau lebih memilih untuk melihat populisme sebagai praktis politik. Lebih lanjut, kita akan bincangkan di penulisan yang lain.
Namun, harus diingatkan bahawa populisme adalah ruang yang sentiasa didebatkan. Tanpa definisi yang jelas dan positivis, juga tanpa pendekatan analitikal berteraskan makna konseptual, kita tidak akan mampu menunding siapa antara politikus kita yang bersikap populis. Malah, ciri populis paling nyata iaitu “berjuang demi rakyat” sudah menjadi slogan dan retorik umum dalam dunia politik. Mengamati fenomena ini juga akan membantu kita memahami idea politik identiti yang semakin menapak dalam masyarakat global.
Aliff Naif Mohd Fizam pelajar falsafah yang masih menyimpan keinginan kembara masa melalui laci meja Nobita. Rindu bermain kad Politiko di kedai mamak seperti sebelum PKP
Foto: AFP
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.