Bila kita berdiskusi soal ilmu yang hilang, pastinya ramai akan menyentuh dan mengangkat kisah Bayt Al-Hikmah di Baghdad dan Perpustakaan Iskandariah. Satu kisah yang jarang dikongsi ialah tentang kisah tragis buku dan manuskrip Timbuktu. Ia merupakan kisah perjuangan tegar sesebuah bangsa mengekalkan dan mengangkat tradisi keilmuan di Afrika.
Sebagai latarbelakang, Timbuktu pada abad ke-15 dan ke-16 merupakan satu kawasan di bawah Kerajaan Mali yang menjadi pusat tumpuan para pedagang. Timbuktu merupakan persimpangan jalan antara pedagang yang membawa garam dari seberang Sahara dan juga emas dari pedalaman Afrika.
Seperti kebiasaan persimpangan jalan untuk pertukaran barang dagangan, ilmu dan idea juga bertukar-tukar. Itulah yang berlaku di Ionia, itulah yang berlaku di Iskandariah dan itulah yang berlaku di Baghdad. Begitulah umrah dunia keilmuan zaman silam – maka hasil lumrah itu Timbuktu juga menerima kesan yang sama.
Kekayaan itu mendorong pemerintah Mali untuk membina akademia dan menarik para sarjana ke Timbuktu. Timbuktu itu akhirnya menjadi bandar Universiti – kehidupan dan budaya keilmuan mekar di rumah-rumah dan dalam kalangan penduduk. Pada tahun 1468, Kerajaan Mali ditakluk oleh pemerintah Songhai. Bangunan dibakar manakala para sarjana pula dibunuh. Ini menandakan titik permulaan kepada kisah tragis manuskrip Timbuktu.
Namun, mungkinlah rezeki Timbuktu, pemerintah kedua Kerajaan Songhai mula mengangkat kembali tradisi keilmuan. Inilah boleh disebut sebagai Zaman Keemasan bagi tradisi keilmuan Timbuktu. Buku dan manuskrip rancak ditulis meliputi ilmu Islam, ilmu sekular dan falsafah. Malah dalam perpustakaan Timbuktu, tradisi falsafah Yunani yang jauh merentas benua juga boleh dikesan.
Cendekiawan dan sarjana bebas bercakap dan mencabar idea-idea secara terbuka. Budaya intelektual membangun pesat. Buku dan manuskrip rancak ditulis dalam Bahasa Arab, memandangkan majoriti penduduk Timbuktu ialah Muslim. Penulisan dalam bahasa local, walau bagaimanapun, tidak diabaikan oleh para sarjana.
Malangnya, Zaman Keemasan itu tidak bertahan lama. Pada 1591, Maghribi pula hadir menakluk Timbuktu. Sekali lagi para sarjana dibunuh dan manuskrip di perpustakaan mereka dirampas.
Menelurusi arus masa, pada pertengahan abad ke 19, para jihadis sufi pula menakluk Timbuktu dan membakar buku-buku ilmu sekular. Koleksi manuskrip dan buku-buku itu sememangnya bertentangan dengan idea pegangan jihadis sufi. Contohnya ialah penulisan yang membudayakan muzik dan juga nukilan tentang seks. Menurut pengkaji manuskrip-manuskrip itu, Joshua Hammer, ilmu yang dihasilkan Timbuktu unik kerana ia menunjukkan sisi lain dalam tradisi intelektual dan ilmuan Islam.
Kehadiran Perancis pada hujung abad ke-19 sebagai kuasa kolonial juga lebih membatasi penyambungan tradisi ilmu di Timbuktu. Bahasa Perancis dijadikan bahasa rasmi di Timbuktu. Generasi baharu yang lahir tidak lagi dapat menghadam manuskrip yang kebanyakkannya ditulis dalam Bahasa Arab.
Namun, budaya intelektual itu tidak sepenuhnya mati. Pembacaan dan perbincangan manuskrip itu dibawa ke ruang bawah tanah (bukan secara literal) melalui keluarga-keluarga di sana. Inilah kekuatan tradisi pemikiran yang sungguh unik. Seperti yang disebut, pada Zaman Keemasan Timbuktu, seluruh kota menjadi bandar Universiti. Buku menjadi harta paling berharga yang boleh dimiliki. Oleh kerana itu, sebuah keluarga akan menyimpan ratusan ke ribuan manuskrip dan diwariskan kepada anak-anak.
Terlalu berharga buku dan manuskrip ini, penduduk Timbuktu berusaha menanam dan menyorokkan buku-buku ini di padang pasir dan gua-gua. Risaunya mereka jika harta mereka itu dirosakkan penjajah yang hadir. Ratusan tahun sudah harta itu dijaga dalam kkeluarga masing-masing.
Pada penghujung abad ke-20, hadirnya Abdel Kadir Haidara yang bangkit menjadi penyelamat kepada ilmu, buku dan manuskrip Timbuktu yang berharga.
Beliau merantau ke seluruh Mali sejak tahun 1980 hingga ke tahun 2000 untuk mengumpul manuskrip ini. Itu bukanlah satu tugas yang mudah. Abdel Kadir perlu berusaha meyakinkan keluarga yang sudah memegang sesuatu manuskrip selama ratusan tahun — harta pusaka mereka — untuk menyerahkan ia ke perpustakaan yang dijaga beliau.
Abdel Kadir juga menghabiskan masa merantau ke padang pasir dan gua-gua untuk mengumpul kembali tulisan-tulisan agung tersebut. Setakat 2012, beliau sudah mengumpul lebih kurang 377,000 manuskrip.
Namun serangan Jihadis yang tercetus pada 2012 sekali lagi menghumban nasib harta berharga ini ke lembah ketidakpastian. Abdel Kadir terpaksa menghantar semua buku ini ke Bamako kerana beliau risau para Jihadis akan mengapa-apakan buku tersebut — seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Abdel Kadir menyusun operasi untuk menyelamatkan manuskrip ini. Semua diletakkan dalam kotak-kotak, digerakkan oleh keldai atau kenderaan lain pada waktu malam. Ini pengorbanan yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan ilmu yang bertarikh sejauh abad ke-11 ini.
Mengapa penting sangat semua manuskrip ini?
Disebabkan oleh kesan kolonialisme dan idea orientalisme, kita sering dimomokkan dengan tanggapan bahawa masyarakat Afrika itu gasar sifatnya dan tidak wujud langsung tradisi keilmuan. Mereka dianggap lebih rendah darjatnya berbanding penjajah berkulit putih, maka disebutkan bahawa masyarakat Afrika tiada kekuatan intelektual.
Manuskrip Timbuktu ini membuktikan sebaliknya. Tatkala Eropah dilanda Zaman Gelap, Timbuktu dan Afrika mekar dengan keilmuan. Tamadun besar ini jelas bukanlah lebih rendah berbanding tamadun lain. Manuskrip ini lebih dari sekadar ilmunya — ia bukti tradisi intelektual. Manuskrip ini mendobrak naratif orientalisme dan eurosentrisme dalam dunia keilmuan.
Abdel Kadir Haidara, wira intelektual kita, sehingga sekarang masih lagi menyelia dan mengawasi manuskrip itu di Bamako. Walaupun ratusan ribu manuskrip berjaya diselamatkan, namun tragiknya juga ratusan ribu telah dimusnahkan oleh penjajah dan penjaja perang.
Aliff Naif Mohd Fizam pelajar falsafah yang masih menyimpan keinginan kembara masa melalui laci meja Nobita. Rindu bermain kad Politiko di kedai mamak seperti sebelum PKP
Foto: Brent Stirton / Getty Images
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.