Setahun lebih sudah pelajar di Malaysia terkesan dampak pandemik yang menjajah seluruh pelosok tanah air kita. Universiti sudah menjalankan Pembelajaran Atas Talian sejak pertengahan 2020. Sekolah pula sekejap buka, sekejap tutup. Kita sering mendengar bahawa kaedah pembelajaran atas talian ini memberi kesan kepada mental para pelajar. Proses pembelajaran masih berlaku, jadi bagaimana sebenarnya mental pelajar kita terkesan hanya disebabkan kaedahnya berbeza? Ini permasalahan yang saya ingin bangkitkan – Keterasingan.
Keterasingan
Keterasingan (Alienation) merupakan satu konsep masalah psikososial yang sering dikaitkan dengan ragam pengeluaran kapitalisme. Namun, konsep permasalahan ini lebih meluas jika kita cerakin unsur-unsur yang wujud – subjek, objek, dan hubungan mereka. Dengan memahami unsur yang ada, kita dapat memahami juga bagaimana keterasingan memberi kesan kepada pelajar yang menghadapi pembelajaran atas talian.
Subjek itu sudah tentu merujuk kepada individu atau kelompok dalam perbincangan kita – pelajar dan siswa. Dalam mengenalpasti objek, kita perlu melihat kepada ruang yang didiami pelajar dala kaedah pembelajaran normal. Pelajar menuntut ilmu dalam ruang yang sama dengan guru; dalam suasana sekolah/kampus yang membangkitkan semangat untuk belajar; dan pengaruh dari subjek lain sekitarnya (rakan pelajar).
Keterasingan wujud apabila ada hubungan yang bermasalah antara subjek dan juga objek. Penting untuk kita nyatakan terma “hubungan yang bermasalah” ini. Pelajar yang belajar seruang dengan gurunya di kampus bersama rakan-rakannya tidak akan mengalami masalah keterasingan. Namun, bila diletakkan pelajar di ruang yang berbeza, seperti yang dihadapi mereka melalui pembelajaran atas talian, psikologi dan pengamatan mereka terhadap pembelajaran juga berubah.
Pembelajaran Atas Talian
Sebahagian dari kita mungkin melihat tiada beza antara belajar secara berdepan dan belajar atas talian kerana proses pembelajaran masih berlaku. Bagi kelompok ini, pembelajaran hanya dilihat sebagai satu bentuk penyuapan maklumat dari guru kepada pelajar. Pengamatan dangkal ini yang menyebabkan kita tidak dapat mengenalpasti punca kelesuan pelajar masa kini.
Sudah setahun lebih pelajar diasingkan dari ruang pembelajaran mereka. Suasana di rumah sudah pasti tidak sekondusif kampus walaupun pada zahirnya pelajar lebih fleksibel. Pelajar kini hanya duduk di depan laptop menanti pensyarah mengizinkan untuk masuk ke ruang pembelajaran virtual. Terkadangnya, tiada langsung kelas. Hanya digantikan dengan video rakaman atau bahan-bahan bacaan. Perbincangan sesama rakan juga tidak serancak dahulu, malah hampir sahaja tidak berlaku. Bagaimana ini boleh dikatakan sama saja seperti belajar dalam suasana normal?
Dicabutnya akar seorang pelajar dari tanah yang subur untuk pertumbuhannya. Bunga semangatnya dulu mekar, kini makin layu.
Masalah keterasingan pelajar ini bukan isu kecil dan remeh. Isu ini makin melarat dengan perjalanan waktu. Kesannya sudah mula dirasai sekarang – hilang semangat belajar, kemurungan, gelisah tentang pembelajaran, hubungan sosial yang kian merosot dan hilangya hubungan keilmuan dengan guru.
Dampak Pandemik
Sudah tentu saya memahami keperluan pembelajaran atas talian. Tetapi, kaedah seperti ini hanya perlu dijadikan sebagai kaedah sementara dan bukan berpanjangan hingga setahun lebih. Melihat bahawa keadaan ini berlanjutan sebegini pasti akan merosotkan lagi kesihatan mental pelajar dan mutu pendidikan sesebuah institusi.
Pembuat polisi dan badan eksekutif, terutamanya Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi seharusnya bersikap lebih proaktif dan membuka mata terhadap masalah ini. Setahun lebih sudah pelajar mengadu tanpa henti tentang kepenatan mereka, namun hanya disajikan dengan penyelesaian separuh masak. Contoh penyelesaian separuh masak adalah apabila Kementerian Pengajian Tinggi membenarkan pelajar pulang ke kampus bagi menggunakan fasiliti seperti Wi-Fi dan kemudahan lain. Namun, sedarkah Yang Berhormat Menteri bahawa ini hanya menyelesaikan masalah furuk dan bukan pokok?
Kita boleh lihat dalam sejumlah pelajar yang memilih untuk pulang ke kampus, mereka tiada masalah internet dan kemudahan lain. Pilihan mereka sebenarnya adalah untuk integrasikan kembali diri mereka dalam suasana pembelajaran. Walau bagaimanapun, jika semua unsur-unsur untuk membasmi keterasingan tidak dipenuhi, pelajar tetap akan merasa terasing sekalipun berada di kampus.
Menteri bertanggungjawab harus datang dengan solusi yang mampan. Nasib dan kebajikan mental jutaan pelajar merupakan tanggungjawab anda. Apakah perkara ini perlu dibiarkan melarat sehingga menggugat nyawa pelajar baru akan diambil tindakan?
Keterasingan adalah masalah yang akan berakar lama jika tidak diubati sekarang. Faktor besar psikososial ini akan membantutkan pembangunan pelajar secara menyeluruh. Perlu diingatkan bahawa kaedah pembelajaran atas talian ini seharusnya bersifat sementara dan bukan menggantikan terus pembelajaran bersemuka. Adakah akan wujud satu generasi di Malaysia ini yang lesu semangat keilmuan mereka, lalu meranapkan terus satu generasi masyarakat berpendidikan? Hanya masa akan menentukan jika keterasingan juga dijadikan norma baharu
Aliff Naif Mohd Fizam pelajar falsafah yang masih menyimpan keinginan kembara masa melalui laci meja Nobita. Rindu bermain kad Politiko di kedai mamak seperti sebelum PKP
Foto: Malay Mail
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.