Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Bukan Kesatuan Mahasiswa Bunga Raya Universiti Malaya

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Bukan Kesatuan Mahasiswa Bunga Raya Universiti Malaya

Realitinya, apa pun ideologi atau kefahaman yang wujud di dunia ini, sama ada pemikiran Marx atau Weber, antara mazhab evolutionary theory atau cultural relativism, sekali pun air teh atau kopi, haruslah dikritik dan dibahaskan. Sebuah ideologi atau arus pemikiran yang hebat adalah ideologi dan pemikiran yang penuh dengan kritikan — dalaman atau luaran. Itu adalah cara bagaimana ideologi-ideologi agung terdahulu kekal relevan menongkah arusmasa dan perubahan masyarakat. Ia sering dikritik, dibincang, diolah, dibantah, disokong, dandibahaskan. Mana-mana ideologi yang gagal dibahaskan adalah ideologi yang berbahaya. Ideologi yang hanya menuntut turutan pengikut dengan membuta tuli. Begitu juga dengan idea kesatuan mahasiswa.

Rencam politik di Universiti Malaya pada mata kasar kelihatan progresif, terhormat, dan yang paling ke hadapan dalam mengepalai kegusaran-kegusaran mahasiswa masa kini. Namun aneh sekali, di tengah-tengah laungan autonomi ini, wujud perkara-perkara yang payah dilihat di mata kasar. Perkara ini sudah lama berlanjutan, membarah sejak dari sesi kesatuan yang lepas. Ia seperti sudah menjadi tradisi dan praktis yang enak dinormalisasikan. Makanya ini adalah sebuah kritikan, sama sekali bukan serangan.

Jelas bahawa sumber-sumber KMUM seperti Foodbank KMUM, dana kesatuan, serta derma-derma luar digunakan untuk kegiatan kesatuan bagi menjalankan amanah yang diberikan pelajar. Tidak dinafikan ia adalah sebuah inisiatif yang sihat, agar dapat membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk hidup ditengah-tengah kota yang rakus dengan kosnya. Bagus. Habis itu kenapa salah? Kenapa perlu dikritik usaha murni ini?

Sungguh tidak menjadi masalah untuk ahli kesatuan mengerjakan amanah mereka kepada pelajar dengan menyampaikan bantuan makanan kering. Sudah sememangnya itu amanah yang diberikan melalui pilihanraya kampus untuk menjaga hal ehwal kebajikan pelajar dengan menyalurkan sumbangan pihak luar kepada pelajar universiti. Tetapi yang menjadi masalahnya adalah apabila sesetengah ahli kesatuan itu telah memecahkan amanah itu untuk kepentingan politik mereka sendiri. Bagaimana?

Saat mereka menempelkan logo Bunga Raya dalam aktiviti mereka sebagai ahli kesatuan, sama ada dengan memakai baju berlogo bunga raya atau dalam ciapan sosial media mereka melalui tagging, mereka sebenarnya telah menggunakan dana dan sumber kesatuan untuk mempromosikan gerakan mereka sendiri. Mengapa pula begitu?

Sebab paling mudah untuk dihadamkan adalah kerana secara teknikalnya Bunga Raya tidak bertanding dalam Piliharan Raya Kampus UM. Apakah mereka lupa kewujudan mikrofon (Suara Siswa)? Mikrofon yang digenggam dalam laungan sambil tegak berdiri di atas kereta Hilux sambil memandu mengelilingi Dataran Tunku Canselor? Ini merupakan sebab utama mengapa perkara ini salah, dana dan aset kesatuan BUKAN dana dan aset Bunga Raya!

Dari sudut moralnya juga, kesatuan itu perlu sentiasa impartial, saksama, tidak berbelah bahagi, dan oleh itu tidak patut menyebelahi mana-mana gerakan pelajar dalam UM. Secara peribadi mahu pun profesional, posisiku sebagai koordinator Demokrat UM tidak pernah mengarahkan komrad dalam kesatuan untuk menempel harimau dalam mana-mana sumbangan dan aktiviti kesatuan mereka, jauh sekali mengongsi semula ciapan-ciapan Komrad Demokrat di KMUM dalam media sosial rasmi Demokrat. Yang mana ia merupakan tindakan lazim si Bunga Raya walaupun sudah ditegah berkali-kali.

Mengapa ceteknya pengertian untuk memahami yang kesatuan itu bukan untuk berpolitik? Mahasiswa untuk Mahasiswa bukan? Jadi apa relevannya Bunga Raya jika bukan sekadar optik permainan politik? Sejak bila Bunga Raya menang PRKUM? Sejak bila Bunga Raya boleh sesuka hati menggunakan dana kesatuan untuk mempromosi dan menjolok nama gerakan sendiri ke dalam anak tekak mahasiswa? Ini Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya BUKAN Kesatuan Mahasiswa Bunga Raya Universiti Malaya!

Fiil ini juga jelas sekali memaparkan sikap tidak hormat terhadap pakatan Suara Siswa yang telah tertubuh sejak tahun 2018, yang menjadi tiket menyatukan tiga gerakan pelajar untuk bertanding di PRKUM. Dari sejumlah 12 orang ahli kabinet KMUM itu sendiri, keseimbangan jumlah kerusi amat menjanjikan. Setiap tiga gerakan mewakilkan empat orang untuk menjaga amanah kesatuan di peringkat eksekutif. Walaupun secara keseluruhannya (termasuk fakulti), Bunga Raya memiliki 20 kerusi, Obor-Obor dengan 15 kerusi, dan Demokrat UM dengan jumlah terkecil 7 kerusi, kerja-kerja eksekutif cukup bergantung kepada sumbangan kesemua ahli kesatuan dari setiap gerakan. Maka tidak cukup lagikah kerusi yang telah dinegosiasikan sampai mereka terpaksa menempel Bunga Raya dalam kesatuan?

Oleh kerana itu juga, sumbangan gerakan lain dalam kesatuan seperti dipadamkan oleh Bunga Raya. Tegas dengan pendirian dan jujur dengan prinsip, dua lagi gerakan dalam pakatan yang tidak mengikut praktis tersebut dibayangi optik kotor ini. Malahan sumbangan dua lagi gerakan seakan-akan tenggelam. Walhal siapa-siapa yang membuka mata dan berada dekat dengan pusat kesatuan ini mengetahui bahawa berlambak lagi gerak kerja kesatuan yang tak mungkin bergerak tanpa kewujudan dua lagi komponen dalam pakatan dan kesatuan. Dari kerja-kerja reformasi polisi, pembuatan kertas kerja, idea-idea, penambahbaikan fasiliti dan banyak lagi telah dibutakan dan ditulikan. Walaupun umum mengetahui terdapat konflik antara Demokrat dan UMANY (si obor-obor) berkenaan kes gangguan seksual yang sedang terawang-awang, tapi kedua-dua entiti ini masih memiliki sikap hormat terhadap kesatuan dalam hal ini.

Kesabaran dan ruang untuk memberikan teguran dalaman, teguran peribadi, dan peringatan berkali-kali sudah mencapai tahap kehausan. Sedangkan peringkat kabinet juga telah mempersetujui sebuah garis panduan Polisi Media Kesatuan yang menyatakan bahawa penggunaan logo gerakan adalah tidak dibenarkan semasa menjalankan aktiviti di atas kapasiti kesatuan, serta melarang amalan ‘tagging’ akaun gerakan ke atas segala ciapan-ciapan aktiviti kesatuan.

Jadi berhentilah menggunakan optik kotor ini untuk kelangsungan politik kamu sekumpulan. Ini bukan lagi zaman Penggerak, dana Kesatuan BUKAN dana Bunga Raya. Sedih apabila segelintir mahasiswa termakan dakyah ini, dan bertanggapan yang hanya Bunga Raya sahaja yang paling berfungsi di dalam kesatuan. Bekerja keras melalui muslihatkah caranya?

Akhir kata, banyak aset dan sumber Kesatuan di pegang oleh wakil dari Bunga Raya. Dari Foodbank KMUM hingga ke Rumah Sewa KMUM. Dari jawatan Presiden KMUM bahkan juga Setiausaha Kewangan KMUM. Struktur kesatuan pada sesi lepas juga sebegitu. Jadi di mana keadilan buat wakil KMUM dan mahasiswa yang lain? Apabila segala sumber dan bekalan 'di-gatekeep' oleh si Bunga Raya? Apabila Laporan Kewangan dari sesi lepas hingga ke sudah tidak nampak batang hidungnya di laman web rasmi KMUM? Apabila sampai ke pengetahuanku bahawa audit yang dikatakan dijalankan oleh HEP hanyalah pada Rumah Sewa KMUM dan bukannya keseluruhan transaksi KMUM? Ke mana Kesatuan sekarang ini? Dimanakah ketelusan KMUM sebagai Kesatuan Pelajar apabila Bunga Raya itu mekar dengan meriah ditengah-tengah paya yang makin membusuk ini?

Sedarlah bahawa keharuman Bunga Raya suatu hari nanti akan tenggelam juga apabila paya ini terus menakung kebobrokkan yang terus dan terus membusuk. Kerana itu juga pentingnya kritikan dan pembahasan terhadap ideologi kesatuan. Ia tidak akan hilang dan tidak akan goyah, kerna jika benar ideologi ini adalah jalan ke arah pembebasan, maka kritikan dan pembahasan adalah tiang-tiang yang akan memegang kesatuan itu untuk menjadi kesatuan yang membebaskan, bukannya menjadi kesatuan untuk ditunggangkan.

Sara Salimi merupakan mahasiswa tahun ketiga jurusan Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya, juga merupakan salah seorang pemerhati rapat dengan gelanggang aktivisma mahasiswa, yakni koordinator Demokrat UM.

*Tulisan ini merupakan sebuah kritikan kepada Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya yang sedang dihinggapi barah gila politik. Artikel ini diolah semula dari ciapan Facebook si penulis berkenaan isu yang sama pada tarikh 23 Oktober 2021.

Foto: The Star

Share this Post: