Kemerdekaan dan Colonisibilite

Kemerdekaan dan Colonisibilite

Merdekanya sesebuah negara mungkinlah perkara paling agung yang boleh dicapai oleh sesuatu bangsa. Bebas menentukan nasib sendiri tanpa campur tangan asing. Bermula selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, berpusu-pusulah negara yang dijajah ini menuntut kemerdekaannya dan menjadi bangsa yang bebas.

Malik Bennabi (1905 – 1973) dari Algeria juga antara tokoh pemikir yang lantang berbicara soal penjajahan. Negaranya merupakah tanah yang ditakluk Perancis sehinggalah kemerdekaan dicapai pada 5 Julai 1962. Setelah negaranya merdeka sekalipun, Malik Bennabi tidak berhenti lagi bercakap soal penjajahan. Padanya penjajahan ini lebih dari sekadar hubungan golongan penjajah (colonizer) dan golongan yang dijajah (colonized). Sebagai filsuf ulung, hasil pemikiran dan pengamatan beliau terhadap masalah penjajahan, beliau telah membentuk satu konsep dan terma baharu dalam membincangkan isu ini – Colonisibilite.

Colonisibilite ini secara kasarnya boleh dialih bahasa menjadi ‘kebolehjajahan’. Malik Bennabi menyatakan konsep ini bagi menerangkan sifat sesuatu masyarakat yang menghadapi krisis personaliti dan kultural. Ia menggambarkan keadaan di mana sesebuah masyarakat ‘bersedia’ untuk dijajah, suatu keadaan yang dijelaskan dengan kehilangan roh kemasyarakatan, kreativiti dan tiada kebergantungan pada idea sebagai penggerak utama negara dan tamadun. Walaupun Malik Bennabi menerangkan konsep ini bagi menjelaskan krisis dunia Islam, namun konsep ini secara umum terpakai bagi semua tamadun, bangsa dan agama.

Malik Bennabi dalam membicarakan soal penjajahan, beliau lebih menekankan tentang Colonisibilite berbanding penjajah semata-mata. Apakah yang berlaku kepada sesuatu tamadun yang menyebabkan mereka menjadi lemah sehingga boleh dijajah? Tamadun Islam misalnya. Dahulunya empayar luas yang kaya dengan ilmu, mengapa pada abad ke-20, menjadi mangsa penjajahan imperialisme Barat?

Untuk mendapatkan jawapan, kita perlu lihat bagaimana Malik Bennabi memandang politik. Politik dilihat secara dua hala – sebagai perusahaan yang mentadbir urusan rakyat, dan politik juga merupakan kesan interaksi rakyat sehari-hari. Maka, rakyat dilihat sebagai objek dan subjek kepada politik. Maka kesan buruk terhadap politik, seperti penjajahan dilihat hadir dari masyarakat itu sendiri. Masyarakat dan rakyat yang membawa penyakit Colonisibilite ialah masyarakat yang menjemput penjajah untuk hadir. Masyarakat ini dipanggil Malik Bennabi sebagai Insan Pasca-Muwahid (Post-Muwahidin Man), iaitu masyarakat dalam dunia pasca tamadun (post-Civilization).

Ramai menganggap pasca tamadun ialah dunia di mana tamadun bergerak terus berlandaskan idea. Pandangan bermasalah ini akhirnya tidak dapat menjelaskan tentang kejatuhan sesuatu tamadun dan bangsa. Malik Bennabi menyatakan bahawa dunia pasca tamadun ialah tamadun yang sudah lari dari ideanya dan hanya hidup berkiblatkan objek semata-mata. Apabila masyarakat tidak lagi berkiblatkan idea – yang datang dari agama dan falsafah kehidupan – maka masyarakat itu sedang menabur benih Colonisibilite.

Atas sebab inilah Malik Bennabi lebih gemar dengan pendekatan Syeikh Muhammad Abduh berbanding Sayyid Jamal Ad-Din Al-Afghani. Dalam pendekatannya menentang penjajahan, Al-Afghani lebih menekankan aspek reformasi institusi, manakala Muhammad Abduh pula lebih kepada transformasi insan. Ini dapat dilihat dalam pergerakan Muhammad Abduh sewaktu menjawat jawatan Rektor Universiti Al-Azhar. Beliau menjalankan reformasi pendidikan sekaligus mentransformasi umat Islam yang baharu seiring arus kemodenan Barat ketika itu.

Dalam menangani masalah kebolehjajahan dan membangun tamadun, Malik Bennabi sangat menekankan tentang pelaburan sosial berbanding pelaburan kewangan. Pelaburan sosial yang dimaksudkan ialah pembangunan insan yang diterajui oleh idea; bukannya objek atau sosok semata.

Menurut Malik Bennabi, idea tidak hadir hanya dalam sesuatu tamadun sebagai hiasan kepada objek dan manusia. Idea adalah yang menjadikan suatu tamadun itu sebagai peradaban. Dalam masyarakat pra-tamadun, manusia dan objek menjadi tumpuan utama. Berkiblatkan suatu sosok dan fokus kepada pengumpulan harta menjadi ciri utama pra-tamadun. Apabila sesuatu masyarakat mula mengangkat idea sebagai daya penggerak utama, itulah permulaan kepada tamadun. Maka, transformasi insan untuk kembali menjadi masyarakat bertamadun perlu dijalankan melalui idea, seperti yang pernah digerakkan oleh Syeikh Muhammad Abduh.

Insan pasca-Muwahid dalam dunia pasca-tamadun kembali meletakkan objek sebagai kiblat utama masyarakat, seperti yang telah dinyatakan. Itu jelas dilihat dalam dunia moden yang dicirikan dengan pengumpulan harta dan budaya konsumerisme semata-mata. Ini ibarat meletakkan harga sesuatu tamadun. Fokus kepada objek ialah menabur benih Colonisibilite. Objek sebagai penggerak utama dialektika dunia kultural merupakan tunjang menuju masyarakat yang boleh dijajah.

Di zaman pascamoden, pengaruh kolonial dan penjajahan baru mula bertapak – neokolonialisme. Perang alaf baru ditakrifkan dengan perang pengaruh melalui ideologi, ekonomi dan kultural. Jikalau memerhati, sebaran pengaruh ini dikuatkan melalui kapitalisme.

Disebabkan pandangan bahawa menuju ketamadunan itu ialah melalui pengumpulan kapital (capital accumulation), maka semua negara berpusu-pusu melabur dari segi kewangan. Namun, ini merupakan pelaburan yang bermasalah dalam mengekalkan kemerdekaan negara. Dari sudut ekonomi dan politik sudah ada negara yang menjadi kuasa utama, dan ada yang menjadi kuasa pinggiran.

Sekalipun pasaran bebas dilihat sebagai ‘adil’ dalam pandangan ekonomi liberal, hakikatnya negara pinggiran terpaksa bergantung kepada kuasa-kuasa kuat ekonomi. Akhirnya di alaf baru ini, negara dijajah melalui struktur ekonomi, sekaligus dijajah secara politikal. Itu yang boleh dilihat apabila ada pak Menteri terhegeh-hegeh di pentas antarabangsa dan memanggil negara lain sebagai “Abang Besar” Jelas bahawa pengumpulan kapital sahaja tidak menjamin kemajuan sesuatu tamadun, malah membungkam minda dan menjatuhkan maruah. Malik Bennabi menggunakan terma Politik Al-Takdis bagi menjelaskan tatanan politik sebegini.

Kita sedang berada dalam dunia pasca tamadun. Kita perlu membebaskan diri dari cengkaman objek dan sosok dan kembali berpaut kepada idea dan kembali menjadi sebuah tamadun. Kemerdekaan yang sebenar dinyatakan melalui pembebasan diri dan masyarakat kita dari penyakit Colonisibilite. Kita seringkali menyebut bahawa kita masih dijajah sebagai retorik dalam ucapan namun tiada kesedaran mendalam bahawa sebahagian punca penjajahan itu adalah disebabkan diri kita sendiri. Walau bagaimanapun, Malik Bennabi tidaklah mengabaikan terus bahawa faktor luaran juga menjadi punca. Namun perlu difahami bahawa kuasa luar tidak akan menjajah tamadun dengan peradaban yang kuat – dan peradaban yang kuat ialah hasil asuhan idea yang kukuh.

Dalam menyambut tahun kesekian kemerdekaan negara kita, satu persoalan perlu ditanyakan dan dibahaskan semula; adakah kita benar-benar sudah merdeka, atau kita sedang menabur benih kebolehjajahan dan sedang menyiapkan kemerdekaan kita untuk dirampas orang?

Aliff Naif Mohd Fizam pelajar falsafah yang masih menyimpan keinginan kembara masa melalui laci meja Nobita. Rindu bermain kad Politiko di kedai mamak seperti sebelum PKP

Foto: sarawak.gov.my

Share this Post: