Kaum India Dalam Realiti Kolonialisme

Kaum India Dalam Realiti Kolonialisme

Keluarga Malaysia.

Kita tidak akan menjadi keluarga hanya dengan sloganisme dan sekadar mengetahui keunikan etnik yang wujud di Malaysia. Mengetahui sejarah, menerima dan mengakui permasalahan yang dihadapi oleh setiap kaum adalah langkah pertama untuk kita memeluk setiap perbezaan dan merawat luka fabrik masyarakat yang digunting-gunting akibat kolonialisme. Fokus artikel ini khusus kepada kaum India di British Malaya.

Syed Hussein Alatas dan Shaharuddin Maaruf menyatakan bahawa kehadiran British di Malaya bertumpu kepada kepentingan ekonomi mereka. Perkembangan ekonomi kapitalisme kolonial itu dinyatakan sebagai elemen besar dalam teori politik imperialisme. Michael Stenson juga menyatakan bahawa kemasukan kaum India ke British Malaya adalah disebabkan keperluan politik dan ekonomi Eropah berbeza dengan proses kemasukan kaum Cina ke Malaya bersifat spontan.

Kaum India dirancang dan diatur rapi kemasukannya oleh pemerintah kolonial. Buruh India diletakkan secara sistematik dan struktural khususnya di estet untuk mengambil alih sektor perladangan. Dari sini kita boleh lihat jelas bahawa sistem “Pecah dan Perintah” yang dijalankan pemerintah kolonial itu lebih bersifat ekonomi berbanding politikal.

Kemasukan imigran dari selatan India semakin dirancakkan oleh kapitalis kolonial disebabkan oleh peningkatan hasil jualan getah selepas tahun 1905, perusahaan Eropah dan kapitalis kolonial juga membawa masuk kerani, guru dan juga doktor. Namun, mengapa buruh India yang mengalami "mass imigration" yang sistematik?

Faktor-faktor kemasukan buruh India

Pertama, India merupakan tanah yang dijajah British. Operasi untuk membawa buruh dari India diselaraskan bersama pejabat di India dan Malaya. Indian Immigration Committee ditubuhkan dengan kerjasama majikan swasta dari sistem Kangani untuk melicinkan pengurusan imigrasi. Malah, di selatan India diwujudkan satu kawasan buruh simpan (labour reserve) untuk membekalkan tenaga buruh.

Kedua, kos buruh yang rendah. Idea mengupah pekerja dari India mula wujud bagi menjimatkan kos modal dalam kapitalisme kolonial. Buruh Cina ketika itu telahpun mendominasi sektor perlombongan dan eksport agrikultur dan mereka juga terkenal dengan semangat kesatuan yang tinggi. British hanya mampu mengupah pekerja Cina melalui geng kontrak. Solidariti dan kesatuan ini menyukarkan British untuk mengupah buruh Cina dengan upah yang murah.

Jumlah kemasukan yang tinggi dengan kos yang rendah telah mewujudkan eksploitasi yang tinggi ke atas buruh India.

Eksploitasi akibat rajin?

Kapitalis kolonial biasanya melihat kepada “kerajinan” dari erti kata industriousness iaitu keterlibatan seseorang dalam industri kapitalisme. Oleh sebab pribumi di Malaya tidak terlibat dengan urusan kapitalisme kolonial, maka pribumi dilihat sebagai pemalas. Buruh India dan Cina pula dilihat rajin kerana semangat “industriousness" yang mengalir dalam ekonomi eksport kolonial seperti perladangan getah dan perlombongan timah.

Hakikatnya, buruh ini tiada pilihan melainkan menjadi rajin akibat ditekan penindasan dan eksploitasi. 

Eksploitasi buruh India dalam pemerintah kolonial British Malaya

  1. Gaji dan Hutang-piutang

Pertama sekali, kita lihat soal gaji. Satu kerangka perundangan khusus dibentuk untuk meneliti soal buruh dari selatan India iaitu Indian Immigration Protection Ordinances. Ordinan ini juga menyentuh soal gaji dan bayaran kepada buruh termasuk pembayaran hutang kepada majikan yang membawa mereka dari India.

Mereka perlu bersetuju dengan satu tempoh masa bekerja, dengan gaji 10 ke 12 sen sehari. Jika mereka ponteng atau mengelak dari bekerja, 50 sen akan ditolak. Jika masih mengelak dari bekerja, mereka akan dipenjara selama 14 hari. Jika melarikan diri, mereka akan dipenjara sebulan dan mungkin lebih jika mengulangi kesalahan. Jika mereka bekerja penuh selama sebulan, mereka akan dapat mengumpul sebanyak $3.60, yang mana $1.20 sudah terpaksa dibelanjakan untuk nasi. Baki mereka hanya sebanyak $2.40 sebulan.

Realitinya tidak begitu. Hakikatnya, pada hujung bulan, sesen pun tidak dapat disimpan.

Dalam keadaan hidup yang sesak dan terdesak di estet, meminjam wang dari pemiutang itu hal biasa. Apabila gaji $2.40 itu dapat saja di tangan para buruh, pemiutang akan terus mengambil wang tersebut.

  1. Todi

 "Kaki mabuk" dan "minum todi" adalah pandangan stereotaip kaum India. Hakikatnya, ini ialah hasil tangan kolonial yang menjerat buruh dengan ketagihan. Tatkala buruh Cina diikat dengan candu, buruh India pula diumpan dengan arak.

Apa yang lebih dikesali, stigma oleh pemerintah kolonial itu berlanjutan ke hari ini. Kerap diulang oleh mereka yang rasis dan tertawan mindanya dengan ideologi kolonial.

Bagi memastikan buruh India sentiasa dalam keadaan tidak berwang, mereka akan disajikan dengan elemen ketagihan di tempat masing-masing. Natijahnya, buruh ini tidak dapat membayar wang pendahuluan kepada majikan kerana dibelanjakan untuk memenuhi ketagihan lalu dipaksa bekerja melebihi tempoh masa yang dijanjikan.

Prejudis dan ketegangan kaum kita hari ini adalah kerana warisan pemeritah kolonial British, yang kemudiannya disambung dalam pemikiran pemimpin dengan ideologi kolonial. Maka, dalam menganalisis prejudis dan kesinambungan sejarah, seseorang perlu mengamati juga soal tanggungjawab tersasar dan faktor sosiohistorikal.

Kes buruh India yang kita bincangkan ini hanyalah satu bahagian kecil dari permasalahan yang lebih besar lagi. Terpulang kepada kita untuk berusaha memandirikan minda atau terus kekal tertawan.

Alif Naif Mohd Fizam pelajar falsafah yang masih menyimpan keinginan kembara masa melalui laci meja Nobita. Rindu bermain kad Politiko di kedai mamak seperti sebelum PKP

Rujukan:

  1. Syed Hussein Alatas (1977), Mitos Pribumi Malas.
  2. Shaharuddin Maaruf (1988), Malay Ideas On Development
  3. Michael Stenson (1980), Class, Race & Colonialism in Peninsula Malaysia: A Political History of Malaysian Indians
  4. Elsa Lafaye de Micheaux (2017), The Development of Malaysian Capitalism.

Foto: Aliran

Share this Post: