Kita makhluk reaksionis. Segala yang terjadi, baik gosip krisis antarabangsa ke politik nasional, sampailah ke nikah cerai artis; kita mahu memberi respon atau komen yang kita anggap wajar. Kewajaran tersebut bukanlah timbul atas sebab fikiran kita sendiri, tetapi respon orang lain yang membentuk 'kewajaran' dalam pandangan kita. Disinilah mula doxa kita kerana bertaqlid dan tidak menggunakan nikmat akal.
Doxa asalnya dari Bahasa Latin 'δόξα' yang secara maknawinya adalah sebuah konsep yang bersamaan dengan konsep moden 'pendapat popular'. Asalkan sesebuah pendapat itu dipegang majoriti, kita jarang untuk berfikir semula tentang pendapat tersebut lalu kita hanya menyerap masuk kedalam otak kita dan memberi respon reaksionis yang berasaskan populariti, bukan berasaskan fakta.
Misalnya ketika kes curi telefon di Low Yat pada 2015, ramai yang pantas menjadi rasis sehingga ada yang berhimpun dan hampir mengakibatkan rusuhan kaum.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukum salah ke atas tertuduh kerana mengambil dadah dan mencuri telefon bimbit. Namun ketika isu ini sedang hangat, rata-rata memberi respon berbaur perkauman sehingga menjadi rasis ketika ini dianggap wajar dengan bukti dan pengalaman masing-masing.
Masalah ini telah lama dibahaskan oleh pemikir ulung Plato, orang rajin berfikir yang menetap di kota Athens sekitar 400 tahun sebelum Masihi. Athens terkenal dengan kerancakkan kewujudan budaya pemikiran dan falsafah-falsafah yang mencorakkan dunia barat sejak 2500 tahun dahulu. Dalam kerancakkan pertumbuhan idea-idea, wujud golongan yang dipanggil Sophist.
Sophist adalah golongan yang hebat beretorik dan menjual ilmu yang mereka ada, ataupun buat-buat ada, dengan harga yang tinggi. Golongan ini bijak menambat hati sidang yang mendengar kepetahan mereka menyampaikan sesuatu sekalipun perkara yang disampaikan tiada asas ilmu. Golongan Sophist, menurut Plato yang keras melawan mereka, adalah golongan yang menggunakan Doxa melalui kepetahan berucap.
Kita boleh mengatakan bahawa rakyat di negara kota Athens juga termakan dengan pendapat popular, sepertimana majoriti mereka termakan hasutan dari “pendapat popular” bahawa Socrates meracuni pemikiran anak muda Athens lalu mereka menjatuhkan hukuman mati dengan meminum racun kepada beliau. Kisah dari kitab Apology karangan Plato ini membuktikan betapa bahayanya apabila kita sekadar mengikuti pendapat popular tanpa berfikir.
Aristotle salah seorang pelajar Plato bagaimana pun tidak bersetuju dengan beliau untuk memukul rata bahawa kesemua Doxa, secara fundamental, adalah buruk dan bertentangan dengan ilmu. Pada Aristotle, Doxa adalah permulaan menuju Episteme atau ilmu. Mana mungkin kita boleh mengorak langkah menuju sesuatu disiplin ilmu kalau kita tidak pernah mendengar bait-bait yang mempopularkan ilmu tersebut.
Politik misalnya, bermula dengan kritikan-kritikan peribadi yang terkadang tidak berlandaskan ilmu di media sosial. Namun, jika kita mula berfikir maka kita akan menjumpai satu demi satu serpihan ilmu yang jika dicantumkan akan melahirkan dua perkara; ilmu tersebut akan memberi imbalan kepada kritikan kosong kita atau membetulkan kritikan yang tidak tepat. Bagaimanapun, segalanya bermula dengan “pendapat popular”.
Contoh secara metafora mungkin lebih mudah. Kita anggaplah bahawa dunia keilmuwan bagaikan sebuah bangunan. Doxa adalah tapak asas bangunan dan tapak asas semata tidak memberi sebarang bentuk kepada bangunan. Malah, kalau bangunan tersebut sekadar mempunyai tapak, itu bukan bangunan namanya!
Episteme kemudiannya adalah tiang-tiang penegak yang akan memberi kekuatan kepada bangunan tersebut. Mungkin bangunan tersebut adalah ilmu yang benar; mungkin bangunan tersebut adalah pendapat kita. Yang mana sekalipun, bangunan tersebut sekarang sudah layak dipanggil bangunan hasil tapak Doxa dan binaan Episteme.
Plato dan Aristotle mungkin berbeza sudut pandang mereka dalam melihat dan menafsir Doxa. Namun mereka bersetuju tentang satu perkara; berfikir itu perlu.
Sekarang kita kembali duduk dan berfikir sejenak. Fikir kembali, adakah kita selama ini berfikir dalam menyampaikan pendapat atau mengkritik? Atau kita sekadar membuat dosa ber-Doxa dan menjadi reaksionis? Pendapat kita mungkin akan mengikut majoriti dan “pendapat popular” tetapi mulakanlah dengan berfikir dahulu.
Aliff Naif Mohd Fizam pelajar falsafah yang masih menyimpan keinginan kembara masa melalui laci meja Nobita. Rindu bermain kad Politiko di kedai mamak seperti sebelum PKP
Foto ihsan Ted Spiegel / Getty Images, sumber ThoughtCo
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.