ketika masyarakat menangis sakit
berteriak merayu dikeluarkan dari payah menghimpit
kau mengancing mulut melempar kunci jauh dari tangan
menjadilah kau mahasiswa bajingan
saat biayamu didanai masyarakat
mengapa berpaling menghapus ingatan
mengurung diri dalam kamar kebisuan?
Begitulah bait-bait rangkap pertama dari Puisi “Mahasiswa Milik Masyarakat” tulisan Efan Hamza.
Beliau menulis puisi tersebut untuk menunjukkan solidariti dengan rakan-rakan mahasiswa yang berdemonstrasi di Sogo meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan yang gagal menangani masalah inflasi dan kos sara hidup.
Kesannya apa? Kesannya, rakyat kebanyakan susah, rakan-rakan siswa terpaksa berlapar dan golongan miskin terpaksa mencatu makanan. Mahasiswa turun berdemonstrasi, menjerit di jalanan kerana kerajaan kelihatannya tuli terhadap situasi rakyat.
Demonstrasi yang dipimpin mahasiswa ini menerima beberapa respons dari rakan siswa dari golongan Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) dari beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Rata-rata mengecam dan mengutuk demonstrasi tersebut dan melarang pelajar dari IPTA mereka untuk tidak menyertainya.
Perasaan aku bercampur-baur apabila membaca kenyataan mereka tapi perasaan kesal itu lebih dirasai. Aku bukan kesal kerana kami berbeza pendapat dengan rakan-rakan MPP tentang metode untuk bersuara – perbezaan pendapat yang sebegitu perlu diraikan.
Tidak, itu bukan benda yang menjadi kesalan aku. Hal yang membuatkan aku kesal adalah ada juga rakan-rakan siswa yang tidak memahami sejarah siswa dan maksud intelektual yang sebenar.
Aku kesal yang mereka melihat intelektual hanya sebagai orang yang mengadakan perbincangan meja bulat atau sekadar duduk dalam kuliah. Aku kesal yang mereka tidak memahami perbezaan antara intelektual dan intelegensia, lalu mengecilkan peranan dan pandangan tentang intelektual.
Mari aku ceritakan tentang demonstrasi, mahasiswa dan maksud intelektual. Aku yakin rakan MPP yang menyebut bahawa protes jalanan sebagai “gerakan yang tidak bermoral” atau demonstrasi tidak mencerminkan budaya intelektual mahasiswa ini tidak pernah membaca Intelektual Masyarakat Membangun karya Syed Hussein Alatas mahupun sejarah pergerakan mahasiswa.
Rakan-rakan, intelektual bukanlah mereka yang hanya membaca buku, menghadiri kuliah sebagai pelajar atau pengajar, kemudiannya berpeluk tubuh apabila masyarakat menghadapi masalah. Intelektual itu orang yang menganalisis masalah masyarakat, memahami punca sebenar permasalahan, menawarkan penyelesaian lalu berusaha sedaya-upaya mengubahnya.
Rakan-rakan mahasiswa yang turun protes tidak sekadar berada di jalanan. Mahasiswa yang berpidato dalam protes ini bukan hanya memekikkan masalah masyarakat.
Kertas cadangan yang mengandungi cadangan penyelesaian telahpun dihantar kepada wakil kerajaan dan ahli-ahli parlimen. Namun, apa gunanya sekadar menghantar kertas cadangan jikalau kerajaan memilih untuk menutup telinga mereka?
Sepertimana kerajaan sentiasa menolak cadangan penyelesaian daripada golongan intelektual dan profesional untuk menyelesaikan masalah rakyat. Buktinya, segala jawatankuasa dan majlis yang ditubuhkan kononnya untuk menyelesaikan masalah rakyat hanyalah dipenuhi oleh ahli-ahli politik yang sama yang berada dalam kerajaan dan bukannya golongan akademia.
Kita tidak menghantar pembuat masalah untuk menyelesaikan masalah – itu dipanggil sebagai kepandiran dan bebalisme.
Mahasiswa sedari dulu menggunakan protes jalanan sebagai satu cara intelektual menjadi golongan pendesak. Menyingkapi sejarah, mahasiswa dari Sultan Idris Training College (SITC) yang terawal sekali memahami masalah penjajahan secara sistematik. Mereka berbincang sesama mereka dan rakan-rakan dari Indonesia tentang masalah kolonialisme dan eksploitasi.
Dari situ terbentuknya jaringan politik yang menuntut kemerdekaan dan gerakan nasional dalam erti kata sebenar ‘nasionalisme’ iaitu melangkaui batasan kenegerian.
Ya, itulah mahasiswa.
Mereka mengadakan protes jalanan setelah memahami bahawa rundingan dengan penindas tidak akan menghentikan penindasan.
Mereka jelas memahami masalah masyarakat yang berakar secara sistemik dalam pemerintahan kolonial lalu mengambil tindakan yang seharusnya diambil – demonstrasi supaya para penindas yang selesa di atas mendengar.
Apakah mereka tidak intelektual? Atau mereka sepatutnya mewujudkan satu majlis bersama pemerintah kolonial, minum teh o panas dan makan mihun goreng bersama dan menyampaikan kertas cadangan kepada pembuat masalah? Alangkah indahnya jika kemerdekaan dan permasalahan kolonialisme dapat dicapai semudah itu.
Mahasiswa intelektual inilah yang memulakan gelombang protes dan demonstrasi yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan negeri kita. Lalu, apakah demonstrasi bukan budaya kita? Atau, rakan-rakan ingin menjadi revisionis sejarah dengan memadamkan sejarah siswa kerana tidak kena dengan selera dan naratif kerajaan?
Rakan-rakan, ingatkah kamu pada senior-senior kita?
Tiananmen Square menjadi bukti sejarah mahasiswa melawan sistem zalim. Mahasiswa yang terdidik ketika itu menuntut supaya kebebasan ekonomi diberikan seiring kebebasan politik. Lalu, mereka dibedil dengan peluru dan dihentam dengan kehadiran kereta kebal.
Sedangkan mereka hanya mahasiswa yang tidak bersenjata. Membunuh mereka itu merupakan arahan pemerintah – menjadi satu bentuk undang-undang – lalu adakah mereka berhak dibunuh kerana ‘melanggar undang-undang’? Adakah ‘undang-undang’ menghalang demonstrasi, sedangkan perlembagaan membenarkannya, lebih utama daripada tuntutan untuk menuntut keadilan dan bersuara untuk masyarakat?
Bukankah mahasiswa itu jambatan kepada masyarakat? Atau kini mahasiswa juga sudah menjadi aparat kerajaan meninggalkan kewajipan moral terhadap masyarakat?
Ingatkah rakan-rakan pada AUKU pra-2018?
Jikalau senior-senior kita tidak turun berdemonstrasi tidak lama dahulu, mungkin hari ini rakan-rakan tidak dapat menyertai politik secara terang-terangan. Mungkin juga rakan-rakan terpaksa bersorok-sorok menghadiri program politik, melainkan program politik kerajaan. Kebebasan yang kita kecapi sekarang adalah hasil daripada senior yang memahami masalah sistemik bawaan AUKU lalu bersuara keras melawannya. Rundingan dan protes berjalan seiring, lalu membuahkan hasil.
Rakan-rakan, turun protes itu ada risikonya jika di Malaysia. Sekalipun menurut Akta Perhimpunan Aman 2012 permit tidak lagi diperlukan dan tidak wujud istilah ‘perhimpunan haram’, intimidasi polis masih ada.
Tidak dilupakan juga intimidasi dari pihak universiti sekalipun AUKU sudah dipinda dan protes berlaku di luar kompaun kampus. Sekalipun risikonya besar, besar lagi jiwa mahasiswa yang sudi berdemonstrasi menjadi suara rakyat.
Protes bukan sahaja untuk menegur kerajaan namun untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat bahawa kita sedang menghadapi masalah. Protes supaya sama-sama kita bersuara tentang apa yang kita analisis daripada masalah tersebut.
Oleh sebab itulah protes dan demonstrasi sentiasa dipenuhi dengan pidato dari ahli akademik, ahli politik, pemimpin masyarakat sivil dan wakil-wakil mahasiswa yang mengulas permasalahan masyarakat. Demonstrasi ini bukanlah satu jenayah malah budaya intelektual mahasiswa.
Aku juga sebutkan ketika protes #TURUN berlangsung bahawa kita belajar teori di dewan kuliah dan kerajaan sering menyebutkan soal data-data kemiskinan. Namun, rakyat yang kelaparan dan menghadapi kesulitan dek kos sara hidup bukan hanya sekadar data ataupun teori.
Setiap satunya adalah perut dan nyawa manusia.
Dan kewajipan bersuara demi manusia-manusia ini adalah lebih besar dari sekadar menjaga nama baik institusi. Institusi tidak mati kelaparan jika namanya baik atau buruk, tapi manusia akan mati kelaparan jikalau kerajaan masih memandang enteng dan mahasiswa masih tidak bersuara.
Intelektual mahasiswa itu bukanlah pada berapa banyak buku yang dibaca; berapa banyak teori yang dihafal; berapa banyak data yang ditafsir – akhirnya apalah gunanya semua itu jikalau mengunci mulut untuk menjaga hati penguasa dan membiarkan masyarakat masih susah.
Aku mulakan dengan serangkap puisi Efan Hamza, maka aku akhiri juga dengan bait dari puisi yang sama:
aku seru semangat mahasiswa 1970
rasuklah jiwa-jiwa muda
penyorok belakang pepojok perbukuan
tapi tidak di depan tembok perjuangan
penggagah cuma di kejohanan
sayang tidak di medan kemanusiaan
perwakilan tak henti-henti bersidang.
tapi kertas cadangnya mati atas meja berkulat.
Aliff Naif Mohd Fizam pelajar falsafah yang masih menyimpan keinginan kembara masa melalui laci meja Nobita.
Foto: Malaysiakini
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.