"Raja-raja ini berdaulat tahu tak? Daulat inilah yang membela agama Islam dan Bangsa Melayu.”
Acapkali ayat ini terlintas di pertelingkahan atas talian tentang Raja-Raja Melayu. Daulat seringkali dipetik untuk mengabsahkan peranan golongan “kayangan” ini. Sepertinya Daulat seorang raja ini sesuatu yang suci lagi menyucikan sifatnya. Dengan adanya Daulat seorang raja, maka terjamin lah agama dan bangsa ini. Lalu, satu persoalan perlu dibangkitkan, apa itu Daulat, dan dari mana Daulat raja ini datang sehingga dikatakan mampu menjaga identiti Melayu?
Menyelak kembali Sejarah Melayu (edisi W.G. Shellabear) dan juga Sulalatus Salatin (selenggaraan A. Samad Ahmad), kita akan bertemu dengan satu kisah perjanjian atau Waad di antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun yang dipetik sebagai kisah tentang Daulat dan kontrak sosial antara raja dan rakyat.
Sang Sapurba dikatakan moyang bagi keturunan Raja di alam Melayu. Sejarah asal-usul Sang Sapurba pula dikatakan datang dari Iskandar Dzulkarnain melalui Raja Suran. Alkisahnya, Raja Suran merupakan seorang penakluk yang telah menakluk dunia – begitulah kebiasannya bagi para raja. Kuasa dan kepahlawanan menjadi nilai utama mereka. Setelah Raja Suran mengahwini puteri dari kerajaan di bawah lautan, mereka dikurniakan tiga putera. Tiga putera inilah yang kemudiannya muncul di Bukit Siguntang dengan pelbagai keajaiban hasil dari Daulat mereka.
Nila Pahlawan, atau nama lainnya Sang Sapurba, merupakan salah seorang daripada tiga beradik tersebut. Sang Sapurba dinyatakan tidak mampu meniduri wanita (anak-anak raja negeri Palembang) tanpa menjangkiti mereka dengan kedal. “Setelah malam dibawalah baginda beradu; setelah siang hari maka dilihat baginda anak raja itu sekonyong-konyong kedal.” Begitulah yang tercatat dalam Sulalatus Salatin. Setelah habis segala anak raja dijangkiti kedal, Sang Sapurba berkenanlah pada anak Demang Lebar Daun. Risau anak gadisnya terkena nasib yang sama, Demang Lebar Daun memohon untuk melakukan Waad dengan Sang Sapurba – terhasilah kontrak sosial pertama antara raja dan rakyat.
Sang Sapurba pun menitahkan dalam Waad tersebut agar rakyat tidak sesekali menderhaka sekalipun anak keturunan raja itu zalim perilakunya. Demang Lebar Daun, mewakili asal keturunan golongan rakyat, menyambut dengan mengatakan bahawa jika anak cucu raja yang mengubah Waad, maka anak cucunya juga akan mengubahnya. Demang Lebar Daun menambah, “Jikalau raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya.”
Kisah tentang Daulat dan Waad ini penuh menunjukkan unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Daulat dikatakan memiliki unsur ajaib yang terkadangnya mengagungkan manusia secara lebih-lebihan. Disebabkan Daulat tiga beradik yang muncul di Bukit Siguntang, padi bertukar menjadi emas dan daun-daun menjadi perak. Disebabkan Daulat jugalah Sang Sapurba tidak dapat meniduri wanita tanpa menjangkiti mereka dengan penyakit kulit. Konsep tulah raja juga hadir dari kedaulatannya.
Dalam kontrak sosial ini, jelas kita dapati seorang rakyat itu berperanan untuk mentaati rajanya sekalipun perilakunya zalim. Islam sudah tentu mengecam taat secara semberono begini kerana keadilan itu lebih utama berbanding ketaatan. Namun, melalui Waad ini, satu sistem nilai telah wujud dan menjadi tonggak zaman feudal yang berterusan dalam psikologi masyarakat hari ini – ketaatan membabi buta terhadap pemimpin.
Ketaatan membabi buta ini dilihat melata dalam kisah-kisah dari catatan klasik. Kisah Bendahara Tun Mutahir antaranya. Setelah dijatuhkan hukuman mati kerana difitnah, beliau merelakan saja dirinya dizalimi sebegitu rupa. Apabila anaknya, Tun Hassan, cuba membelanya, Tun Mutahir melarangnya dan berpesan bahawa bukan adat Melayu untuk menderhaka. Begitu juga kisah Tun Biajid dan Sultan Mahmud. Sultan Mahmud merupakan seorang raja yang mempunyai hubungan sulit dengan wanita-wanita yang telah berkahwin. Suatu subuh, apabila Tun Biajid pulang ke rumahnya, beliau mendapati Sultan Mahmud keluar dari rumah Tun Biajid. Tun Biajid, walaupun geram terhadap Sultan Mahmud yang meniduri (baca: rogol) isterinya, tetap menahan diri kerana Sultan Mahmud ialah sultannya.
Hang Tuah yang sering diagungkan sebagai wira bangsa juga merupakan pengamal ketaatan buta tuli ini. Apabila Sultan Melaka berkenan dengan Tun Teja, Hang Tuah sanggup menculik Tun Teja. Apabila Hang Tuah difitnah, Sultan memerintahkan beliau untuk dijatuhkan hukuman bunuh. Hang Tuah yang taat seraya mengucapkan Alhamdulillah lalu meminta hukumannya segera dijalankan. Tidak terdetik sedikitpun rasa ingin membela dirinya. Pada Hang Tuah, Sultan boleh melakukan apa saja yang dikehendakinya kerana Sultan ialah “bayangan Tuhan di atas muka bumi.”
Kisah-kisah yang dipetik itu ialah dari catatan Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Islam meletakkan keadilan itu lebih tinggi dari ketaatan, apatah lagi ketaatan yang membuta tuli. Namun, dari kisah-kisah ini, dan kisah lain dari Sejarah Melayu, kita mendapati bahawa ketaatan kepada raja menjadi nilai utama dalam masyarakat Melayu feudal sekalipun ianya bertentangan dengan ajaran Islam. Daulat inikah yang membela agama?
Ini yang disebut Erich Fromm sebagai etika autoritarian. Ketaatan kepada pemerintah itu mejadi cardinal virtue dan penderhakaan itu sebagai cardinal sin. Pengamatan Fromm bahawa ketaatan ialah nilai yang diagungkan dalam pemerintahan autokratik kerana nilai itu mengangkat keunggulan moral dan kebijaksanaan pemerintah – sekalipun pemerintah itu sebenarnya kejam dan bodoh. Baik dan buruk dalam etika autoritarian ditentukan oleh kepentingan para pemerintah dan bukanlah moral secara imperatif.
Jika ada yang mengatakan bahawa zaman itu ialah zaman yang berbeza, harus diingatkan bahawa Islam dan acuan moralnya hadir ratusan tahun lebih awal. Jelas, ketaatan membabi buta dari Waad dan feudalisme yang menebal bukanlah hasil acuan Islam, sekalipun Demang Lebar Daun menyebut tentang hukum syarak dalam Waadnya.
Standard moral zaman di zaman feudalisme juga sebenarnya sangat tinggi jika kita lihat dari catatan oleh Abdullah Munsyi. Abdullah jelas mengkritik sifat raja-raja yang dilihat bertentangan dengan Islam seperti rampasan hasil tanaman rakyat, peperangan rakyat untuk perang yang bersifat peribadi, pengabaian soal intelektual dan bahasa, dan pengekalan amalan status quo yang menindas. Alasan adat dan Daulat sentiasa diberikan sebagai justifikasi pengabaian reformasi masyarakat dan penindasan oleh golongan elit. Daulat inikah yang membela bangsa?
Ketaatan membabi buta oleh kerana daulatnya raja memberi kesan sehingga ke hari ini, terutamanya dalam soal politik dan pentadbiran. Sosiologis ulung Malaysia, Syed Hussein Alatas mencatatkan hal ini dalam penulisannya mengenai kesinambungan feudalisme dalam masyarakat modern.
Syed Hussein Alatas menulis bahawa kesinambungan paling signifikan dapat dilihat pada hubungan antara pemimpin politik dan pengikutnya. Ketaatan ialah perkara paling bernilai yang dapat dicurahkan seorang pengikut kepada pemimpinnya, sekalipun dalam soal yang tidak bermoral. Apa yang paling tidak disenangi pemimpin politik ialah apabila autoritinya dicabar atau dipersoal. Selagimana isu autoriti tidak diganggu, pemimpin politik sanggup membela nasib pengikutnya walaupun dalam hal yang jelik. Dalam satu contoh, seorang Menteri Pendidikan dalam Kabinet Tunku Abdul Rahman telah kalah di mahkamah dalam satu kes korupsi. Sekalipun didapati bersalah, Kabinet telah bantu membayarkan yuran guaman bekas Menteri tersebut sebanyak RM88,323. Hal yang jelik, namun dibela oleh pemimpin politik.
Di zaman feudal juga, raja-raja ada membela samseng yang dipanggil ‘hamba raja’. Mereka ini merupakan golongan penjenayah yang lari dari dihukum lalu mendapatkan perlindungan raja melalui penyataan taat setia mereka. Abdullah Munsyi mencatatkan bahawa mereka inilah yang memporak-perandakan masyarakat Melayu zamannya. Tiada siapa berani menghukum mereka kerana mereka dilindungi raja. Malah, bagi seorang ‘hamba raja’ yang mati dibunuh, tujuh nyawa rakyat akan menjadi galang gantinya. Sifat tidak bermoral tidak menjadi masalah kepada pemerintah – seperti dalam kes Menteri Pendidikan dan ‘hamba raja’. Yang diutamakan dalam politik feudal ialah ketaatan membabi buta.
Daulat dari pemahaman feudal jelas menjadi elemen gangguan dalam negara bangsa modern. Disebabkan adat dan Daulat feudal, amalan dan budaya politik kita menjadi tidak matang dan tidak berpaksikan idea. Status quo sentiasa cuba dikekalkan atas nama Daulat walaupun keadaannya menindas.
Dalam falsafah negara bangsa, kedaulatan sesebuah negara terletak pada rakyatnya, bukan pada relik lapuk zaman dulu kala. Malaysia berdaulat sebagai Malaysia bukan kerana Raja Melayu, tetapi kerana bangsa Malaysia yang membentuk negara ini. Daulat feudal sudah ratusan tahun membantutkan dan menindas masyarakat ini. Kini Daulat Rakyat yang berusaha membentuk sistem sosial yang lebih bermoral, lebih adil kepada rakyat dan membentuk budaya politik yang lebih matang. Daulat Rakyat!
Aliff Naif Mohd Fizam pelajar falsafah yang masih menyimpan keinginan kembara masa melalui laci meja Nobita. Rindu bermain kad Politiko di kedai mamak seperti sebelum PKP
Foto: Asyraf Hamzah / Berita Harian
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.