Arete dan Techne – Memahami Bahasa Republik Plato

Arete dan Techne – Memahami Bahasa Republik Plato

“Menulis itu mengabadikan ilmu”. Itu yang diberitahu kepada aku sewaktu menyertai bengkel penulisan suatu ketika dahulu. Plato dan bukunya Republik menjadi bukti kebenaran ayat tersebut. 2000 tahun lebih sudah buku tersebut ditulis namun perbincangan tentangnya tidak pernah kering – tentang epistemologi, keadilan, politik, pembentukan negara dan lain-lain tema besar. Walaupun sudah menjadi bahan rujukan dan diskusi buat sekian lama, membaca Republik tetap akan menimbulkan kekeliruan dek perkataan Latin dan konteks pemikiran zaman ketika Plato menulisnya.

Perkataan yang digunakan oleh Plato dilihat seperti perkataan biasa yang kita jumpa dalam bacaan-bacaan lain – keadilan contohnya. Keadilan, atau Justice dalam Bahasa Inggeris, seringkali disebut dalam konotasi perundangan. Namun, dalam Bahasa Latin yang digunakan Plato ketika menulis, maksudnya sedikit berbeza. Plato menggunakan perkataan Dikaiosune yang menyentuh tentang keadilan dalam sudut moral berbanding perundangan. Malah, Dikaiosune juga digunakan untuk menggambarkan moraliti itu sendiri dan boleh sahaja ditafsirkan sebagai “membuat sesuatu yang betul”. Sungguh luas perkataan Dikaosune berbanding sekadar keadilan, ia boleh juga membawa maksud hak yang dihutang (what is owed).

Tanpa mengambil kira perbezaan penggunaan kata dan konteks zaman, maksud yang ingin disampaikan oleh Plato akan terlepas dari pandangan kita. Walaupun keadilan merupakan tema besar bagi buku Republik, terdapat dua perkataan utama yang wujud dalam gaya penceritaan Plato. Apabila dua perkataan ini dapat difahami secara menyeluruh, barulah pengamatan kita terhadap idea Plato itu selari dengan tulisannya. Dua perkataan itu ialah Arete dan Techne.

Arete

Jika kita membaca Republik dalam Bahasa Inggeris, Arete akan diterjemahkan kepada Virtue, dalam Bahasa Melayunya ialah Budi. Kekeliruan mula wujud bila orang membaca setiap ayat tentang Arete dan Virtue dalam erti kata moral virtue. Contohnya apabila Plato menyentuh tentang Arete seekor kuda sewaktu Socrates berdialog dengan Polemarchus tentang persoalan keadilan (Dikaiosune). Janggal bukan jika kita menafsirkan Arete kepada moral virtue? Bagaimana mungkin seekor kuda punya moraliti jika ia tidak punya fakulti akal untuk menentukan baik buruk sesuatu? Jelas Arete di sini membawa maksud yang lain.

Dalam konteks zaman Yunani Kuno dan konteks penggunaan bahasa, Arete membawa maksud kecemerlangan (excellence). Kecemerlangan ini sungguh luas maksudnya. Seekor kuda punya kecemerlangannya tersendiri. Hatta, sebilah pisau pun punya Arete yang tersendiri. Tanpa mengira apa subjek perbincangan, jika ia menunjukkan kecemerlangan dalam bidangnya – kuda dengan sifat seekor kuda, atau pisau dengan ketajaman dan kebolehfungsiannya – maka perkataan Arete itu boleh digunakan. Virtue yang diungkapkan Plato wujud dalam konteks yang meluas

Bila digunakan kepada insan yang punya akal, perkataan Arete meliputi kehidupan secara menyeluruh. Dengan akal dan ilmu, ditambah dengan keberkesanan dalam menyusun kehidupan, Arete pada manusia sememangnya akan meliputi moral virtue dan lebih. Maka, bilamana Plato menyentuh soal keadilan sebagai sebentuk Arete dalam diri sesebuah insan, ketika Socrates ‘berdebat’ dengan Thrasymachus, Plato sedang menyatakan bahawa seseorang insan boleh dan akan mencapai kecemerlangan yang menyeluruh melalui sifat keadilan. Makanya, ketika membaca Republik, pembaca perlu membuka minda sewaktu bertemu perkataan virtue atau goodness atau excellence kerana semua ini menggambarkan keluasan makna Arete. A. W. H. Adkins dalam Merit and Responsibility menyatakan bahawa Arete merupakan kata pujian paling agung buat seseorang insan.

Apa pentingnya Plato membincangkan perihal Arete ini sehingga diulang-ulang sepanjang buku ini? Masyarakat kontemporari Plato meletakkan satu tujuan utama dalam kehidupan – untuk mencapai Eudaimonia. Kita boleh terjemahkan Eudaimonia kepada kegembiraan. Kegembiraan ini bukanlah yang bersifat hedonistik seperti yang biasa kita fahami tapi kegembiraan yang lebih luas – meliputi kebajikan diri. Dalam dunia Islam, ada persamaan konsep Eudaimonia dengan konsep Sa’adah. Dengan memperkasa Arete dalam diri seseorang insan, dia akan menuju Eudaimonia. Jelas peri pentingnya penekanan Plato terhadap Arete ini.

Techne

Kita melihat segala sesuatu aktiviti atau pekerjaan itu, semata-mata pada fungsinya. Seorang doktor untuk merawat dan seorang chef untuk memasak. Dan sepertimana yang kita sebutkan tentang Arete, kita boleh fahami bahawa semua profession ini ada kecemerlangan yang tersendiri. Techne tidak disebut secara eksplisit berkali-kali sepertimana Arete, namun dinyatakan secara implisit bila Socrates menyebut sesuatu profession atau pekerjaan. Penggunaan perkataan Techne yang melambangkan skil juga sering digunakan bersama dengan konsep Episteme atau ilmu kerana hanya dengan ilmu dalam sesuatu bidang sesebuah skil itu dapat dipratikkan.

Lalu apa pentingnya memahami Techne ini sewaktu membaca Republik? Ketika berhujah melawan definisi keadilan Thrasymachus, Socrates banyak menggunakan analogi Techne atau profession yang ada bagi menyatakan poin beliau. Thrasymachus menyatakan bahawa keadilan itu ialah kepentingan orang kuat ke atas orang lemah (The interest of the stronger party on the weaker). Socrates yang tidak bersetuju mengambil analogi kedoktoran yang menyatakan bahawa seorang doktor meletakkan fokusnya bukan pada kepentingan diri sendiri (doktor sebagai golongan kuat) ke atas pesakit (golongan lemah). Malah, tugas utama seorang doktor itu ialah menurut kepentingan golongan lemah – memberi ubat menurut keperluan pesakit atau menyatakan konsultasi selepas menganalisa sang pesakit.

Perkaitanannya dengan keadilan ialah bila kita melihat peranan pemimpin dalam sesebuah negara. Plato melihat peranan sebagai pentadbir negara itu sebagai Techne seperti profession lain, makanya kepimpinan dan pentadbiran itu punya Arete yang perlu dicapai. Lalu sebagai Techne, seseorang itu perlu mempunyai skil. Dari situ, Plato menulis tentang bagaimana membentuk sesebuah negara dan kelas pentadbir atau Guardian.

Penutup

Republik ialah sebuah buku yang wajib dibaca sekali seumur hidup. Plato dinyatakan sebagai antara pembentuk tradisi intelektual dunia Barat. Walaupun sudah ribuan tahun dibaca umat manusia seluruh dunia, masih ada kekeliruan yang wujud waktu memahami teks agung ini. Seperti yang dinyatakan, kekeliruan itu hadir dari terjemahan dan pemahaman konteks. Kita tidak melihat pentadbiran itu satu skil set yang boleh didapati dari pendidikan dan doktrinisasi semata-mata, namun Plato dan yang sezaman dengannya berfikir begitu. Dengan memahami konteks sejarah dan bahasa, pengkajian opus Plato ini akan menurut jalur pemikirannya dan pencerapan ideanya yang sebenar.

Aliff Naif Mohd Fizam pelajar falsafah yang masih menyimpan keinginan kembara masa melalui laci meja Nobita. Rindu bermain kad Politiko di kedai mamak seperti sebelum PKP

Foto: pxhere.com

Share this Post: