Anak Muda Terabadi

Anak Muda Terabadi

Kata orang, mendengar rintihan anak muda seperti mendengar bayi menggumam, asyik merengek dan melalak untuk disuap perkara senang asalkan dapat bergaya ala-ala ‘instafamous’ – manja.

Aku anak muda. Jadi kalau betul anak muda itu pelapis bangsa, hadamkan kata-kata aku seterusnya, jangan kata aku menggumam, tulisan aku jelas – kerana anak muda sedang hilang nilai dalam masyarakat.

Dalam masa kita sedang dibungkam dengan kata ‘ya’ atau ‘tidak’ oleh mereka yang menyarung kot sambil memegang mikrofon dan berdiri di atas pentas, katanya “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Ini cara zaman berzaman. Angguk sahaja dan buat sebagaimana. Nah upah.”

Kata mereka, “Aku dulu kena lagi teruk, elok je sekarang.” – sedangkan apa yang mereka lakukan hanyalah menilik borek dan rintik untuk seia dan sekata dengan si kaya. Berdansa bersama mengikut ritma perasuah “Assalamualaikum dan baik boss.” Kan senang?

Bila kita bersuara dan mendongak, mereka kata kita ‘budak’. Padahal mereka lupa yang mereka miskin semasa dunia juga miskin, seringgit dapatan tatkala sebungkus nasi lemak berharga tiga puluh sen. Tiga puluh sen itu dikongsi sama timpal dengan si tukang masak, si penjaga kedai, dan si petani. Tapi sekarang dunia sudah kaya. Sepinggan nasi lemak di kedai separa mewah dijual pada harga RM20. Seringgit untuk si tukang masak, seringgit untuk si penjaga kedai, dan tiga puluh sen untuk si petani, selebihnya untuk makan malam mereka di kabaret hotel lima bintang. Dan mereka panggil kita lemah.

Mereka ketawa ke muka kita. Mencemuh kata naif dan hingusan pabila kita menuntut aman daripada yang karat, menuntut kesamaan buat semua dari kroni keparat. Memomok-momokkan apabila kita melaung solidariti bersama – bukannya pilihan ‘saksama’ etno-nasionalisme mereka. Tarik keluar tali pengukur untuk diukur seberapa Melayu engkau sebenarnya. Atau seberapa muslim rupanya engkau. “Cukup Melayu! Nah borang bantuan untuk kau”, “Maaf, tona kulit kau tak cukup cerah walaupun kelayakan kau tinggi. Cubalah mohon di pintu sebelah sana.”

“Oh kau berbakat, tapi kau tak cukup kurus, tak cukup pengikut media sosial, tak cukup Melayu, tak cukup Islam.”

Kita, tak pernah cukup. Tak cukup pandai, tak cukup kental, tak cukup gigih. Kita tak pernah cukup. Igauan ngeri ini adalah buaian tidur kita setiap malam yang mengalunkan kehendak masyarakat – seperti mana harus kita bercakap, apa yang perlu kita suarakan, apa yang cukup di tali ukur mereka, di dalam dunia yang bahkan si tua ganyut kayangan sendiri semakin tamak dan menginginkan yang haloba, dan mereka kata kepada kita “sudah”.

Maaf untuk kemurungan dan keluhan kata yang kau kena baca jika betul anak muda adalah pelapis bangsa masa hadapan. Tapi percayalah kata-kata aku bila aku kata ramai antara kami telah lesu upaya, terhadap gagasan tidak keruan antara menjadi siapa mereka sebenarnya dan menjadi apa yang masyarakat hendak, apabila siapa mereka sebenar-benarnya sudah lengkap selengkapnya. Namun mereka lemas tanpa arah dalam kekejaman sindiran dari si pesimis yang menghentak suara bagaikan raungan gila di sekeliling mereka.

Aku sedang bercakap tentang anak muda terabadi. Anak muda terabadi sebelum pahit manis mendapatkan slip gaji pertama mereka. Anak muda terabadi sebelum berjalan naik ke pelamin untuk melayar bahtera kekeluargaan. Anak muda terabadi yang beku dalam masa dan tak akan mungkin bergerak ke hadapan. Anak muda terabadi yang hanya mahu raungan gila tuntutan masyarakat untuk mendiam dan diberi ruang membina erti kehidupan sendiri. Kemahuan yang mendesak untuk ketenangan sehingga ada yang menakik di lengan sendiri untuk mencari rasa lega. Kemahuan yang mendesak untuk diterima sehingga jasad mereka gugur tanpa rela.

Tulisan ini adalah untuk mengingati anak muda terabadi yang menakik atau gugur sebelum tiba masanya. Ini adalah untuk mahasiswa terbadi yang telah meninggalkan kita, saudari Allahyarhamah Nur Natasya Ezreen binti Azemi dan saudara Allahyarham Muhammad Adham Hazim bin Mohd Rizani, kamu telah melakukan yang terbaik, selamat berehat. Ini untuk Jerusha Sanjeevi, anak muda terabadi yang juga calon ijazah kedoktoran di tanah asing, gugur akibat diskriminasi kaum. Ini juga untuk perenang negara Aryton Lim, anak muda terabadi yang sang laut cukup rindukan. Butiran pasir di gigi pantai menanggung sebak untuk menerima bekas tapak kakimu semula, dan lautan terus bermuram dek kerana kehilanganmu.

Ini adalah untuk mereka yang tidak diketahui nama, tapi kekal terabadi dalam ingatan – buat mereka yang gugur terlalu muda dan terlalu suci untuk dihargai dunia. Ini buat kesemua jiwa yang dirompak dari hidup oleh masyarakat yang buta hati. Hari ini kami mengingati mu. Kami menghargai kewujudan mu, walaupun ia sudah terlambat. Tetapi perjuangan mu sudah selesai. Dan sekarang mereka harus mendengar.

13 Julai 2021
01.53AM

Sara Salimi merupakan mahasiswa tahun ketiga jurusan Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya, juga merupakan salah seorang pemerhati rapat dengan gelanggang aktivisma mahasiswa.

Foto: Berita Harian

Share this Post: