Yusuf al-Qaradhawi: Hilangnya Kejora Sinar Zaman

Yusuf al-Qaradhawi: Hilangnya Kejora Sinar Zaman

“Hiba berbelaikan sepi

Jiwa meratapi duka

Desir berita hadir

Kala berserinya pagi

Sukar dipercaya ia

Bagai berilusi mimpi

Namun bukan mainan dusta

Benarlah bagai dikata…”

Apabila membaca berita pemergian kepulangan ke Rahmatullah Syeikh Prof. Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradhawi, bait-bait lirik lagu Kejora Sinar Zaman nyanyian kumpulan Rabbani kembali menyergap kotak memori. Syeikh al-Qaradhawi, seorang seorang ‘alim yang amat kita sayangi, telah dijemput pulang ke negeri abadi. Seorang pejuang, seorang mujtahid, mujaddid, tidak takut mendepani mara bahaya sang penguasa yang zalim.

Kisah hidup ilmuwan kelahiran Mesir

Menyusuri kisah hidupnya, tokoh ilmuwan kelahiran Mesir ini telah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dalam fiqh al-Zakat pada tahun 1973. Beliau sangat terpengaruh dengan pemikiran Imam al-Ghazali, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim. Dalam kebanyakan penulisannya, beliau sering mengambil pendapat tiga tokoh berkenaan.

Dilahirkan pada pada 9 September 1926 di perkampungan Saft Turab di Republik Arab Mesir, Almarhum dikenali sebagai seorang Mujtahid pada era moden ini. Beliau membaca dan menghafal seluruh al-Quran seawal usia 10 tahun.

Selepas beliau menamatkan pengajian di Institut Pengajian Agama, beliau menyertai Fakulti Asas Agama dan Dakwah Universiti Al Azhar di Kaherah sekali gus menamatkan pengajian pada 1952-53.

Pada tahun 1954, beliau memperoleh diploma dalam bidang perguruan dari Fakulti Bahasa Arab Universiti al-Azhar. Beliau mendaftar dalam program siswazah di Jabatan Sains Al-Quran dan Sunnah Fakulti Asas Agama dan Dakwah yakni beliau menamatkan pengajian dengan ijazah sarjana pada tahun 1960.

Beliau telah dianugerahkan ijazah Ph.D dengan merit pertama pada tahun 1973 dari kolej yang sama dengan tesis bertajuk ‘Zakat dan Kesannya Terhadap Penyelesaian Masalah Sosial’.

Beliau yang kemudian menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Qatar dan menetap sehingga akhir hayatnya selepas berhijrah ke negara itu - turut menyandang pelbagai jawatan dalam Kesatuan Ulama Sedunia dan Liga Islam Sedunia. Di Qatar, beliau menubuhkan Fakulti Syariah di Universiti Qatar dan mendirikan Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi Muhammad Sallallahu alayhi wa sallam.

Selain ilmu, keberanian beliau menyatakan kebenaran walaupun kepada penguasa yang zalim adalah satu yang kita sanjungi dan rindui. Almarhum dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Qatar, tempat beliau tinggal dalam buangan berikutan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013. Syeikh al-Qaradhawi telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati tanpa hadir di Mesir.

Menjulang ruh tajdid: Perginya sarjana Islam yang ulung

Syeikh al-Qaradhawi merupakan salah seorang sarjana Islam yang amat berpengaruh dan terulung pada era ini. Almarhum yang berpulang ke Rahmatullah pada waktu Zuhur di Doha, Qatar meninggalkan legasi serta generasi ilmuan yang tidak sedikit.  

Sepanjang hayatnya, Almarhum telah menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa. Beliau mengarang lebih 120 buku dalam bidang keilmuan Islam terutama sosial, dakwah dan pengajian Islam. Bukunya sangat diminati malah diulang cetak berpuluh kali dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Beliau dianggap sebagai ulama’ kontemporari dalam kalangan empat mazhab utama ulama’ Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Hujahnya turut dijadikan rujukan ramai ulama’ seluruh dunia termasuk paling popular di negara ini iaitu ‘Al Halal wal Haram fil Islam’ yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu pada 1993.

Almarhum telah menjalin hubungan yang akrab bersama para penggerak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sejak era 70-an. Selain mengisi program-program ABIM apabila berkunjung ke Malaysia, Almarhum turut menawarkan buku-buku tulisannya untuk diterjemahkan oleh ABIM sejak era 80-an. Malahan, kata pengantar terakhir yang dikarang oleh Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil (Presiden ABIM yang ketiga) telah disertakan dalam kitab ‘alHawi’ terbitan ABIM Press. Kitab ini asalnya ditulis oleh Syeikh Qaradhawi dalam bahasa Arab.

Karya-karyanya yang hebat dan relevan sepanjang zaman sering menjadi rujukan banyak pihak – dari pelajar sekolah sehinggalah ilmuan pada peringkat tertinggi. Menarik untuk membaca karya-karya Syeikh al-Qaradhawi kerana mempunyai ‘ruh Tajdid’ – semangat pembaharuan, selain bahasanya yang mudah difahami. Laras bahasa yang digunakan beliau sering memudahkan pelbagai lapisan masyarakat memahami persoalan-persoalan Fiqh dalam konteks ibadat, muamalat, politik dan sosial dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, beliau juga mengarang kitab ‘Fiqh al-Awlawiyyat’ (Fiqh Keutamaan), sebuah karya besar yang mengupas panduan-panduan jalan yang akan dilalui oleh kaum Muslimin di sepanjang pentas kehidupan ini. Perkara mana yang lebih utama? Menunaikan ibadah haji setiap tahun ataupun menyumbangkan dana tersebut kepada mangsa perang? Memberi makanan kepada fakir miskin ataupun membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang tetap? Mengutamakan hafalan semata-mata ataupun berusaha memahami ilmu yang dipelajari? Naskah ini memberi garis panduan dalam memilih ibadah mana yang perlu didahulukan.

Jelas, Almarhum tidak hanya memahami teks, malah menguasai konteks, persekitaran serta realiti setempat sesuai peredaran zaman. Terkenal sebagai seorang yang kritikal, beliau tetap memastikan setiap tegurannya bersadur unsur konstruktif kerana mencari penyelesaian itu lebih utama daripada berbalah.

Syeikh al-Qaradhawi juga sangat masyhur menerusi program ‘Sharia and Life’ terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dianggarkan ditonton hampir 60 juta penonton di seluruh dunia.

Wasatiyyah: Menolak kefanatikan, kemunafikan serta pembodohan umat

Satu perkara tentang Almarhum adalah, tatkala banyak pihak khususnya Dunia Barat melabel beliau sebagai ekstremis, realitinya ialah beliau terkenal dengan pandangan kesederhanaan dari kaca mata mereka yang mengikuti sumbangan pemikirannya. Metodologi unik yang diguna pakai Almarhum dalam menyampaikan risalah Islam, membolehkan beliau mudah diterima sebagai seorang pemikir yang menyampaikan Islam secara hikmah, santun, dan seimbang.

Dalam pada umat Islam di seantro dunia berantakan dek perbezaan politik, mazhab dan pelbagai ikhtilaf fiqh; Syeikh al-Qaradhawi tampil mempromosikan pendekatan wasatiyyah iaitu kesederhanaan yang bersadurkan nilai-nilai keadilan. Pertembungan pelbagai aliran yang mengakibatkan perpecahan serius, sering kali melahirkan golongan ekstremis kanan mahupun kiri. Hal ini membuatkan Syeikh al-Qaradhawi hadir membawakan paksi kesederhanaan bagi mengharmonikan aliran dan pertembungan yang bersifat pelbagai.

Kesederhanaan atau pemikiran pertengahan yang dibawa oleh Almarhum ini penting dan sentiasa relevan bagi melawan pemikiran fanatik, taksub serta ekstrem yang boleh menjurus kepada tindakan keganasan. Malahan, antara karya awal beliau yang diterjemahkan ABIM ke dalam bahasa Melayu adalah “Islam: Tantangan dan Ekstremisme” yang secara jelas menyeru umat Islam kepada aliran wasatiyyah dan menentang keras aliran keras dan ekstrem.

Hal ini turut disentuh oleh Prof. Datuk Dr. Osman Bakar dan ramai cendekiawan dalam banyak penulisan berkaitan wasatiyyah. Soal kesederhanaan ‘middle nation’ sangat ditekankan oleh para ilmuan Islam, bukan hanya kerana kedudukan Kaabah dan Makkah secara geografinya berada di pertengahan, malah lebih utama kerana sikap keterbukaan Peradaban Islam yang saling berinteraksi dengan tamadun lain dan menerima serta menggabungjalinkan secara harmoni di antara ilmu daripada pelbagai bidang.      

Khatimah

Atas ketokohan serta keilmuannya, Almarhum telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431/2009. Kehilangan salah seorang mujaddid ulung dunia Islam sepanjang abad lalu ternyata mengesankan umat. Almarhum adalah ulama’, pemikir, sarjana dan merupakan golongan intelek kontemporari pada abad ini. Beliau mempunyai sifat dan peribadi yang unggul serta telah memberi sumbangan yang besar dalam perkembangan syiar Islam dan juga pembangunan ummah.

Takziah buat kita semua manusia. Kematian ulama’ adalah satu musibah besar buat kita. Moga Allah Subhanahu wa-Ta’ala selamatkan kita daripada kejahilan dan pembodohan. Kita hadiahkan al-Fatihah. Perginya ulama’ mujtahid yang mengabadikan keseluruhan hidupnya kepada umat.

“Tuhan yang Maha Tahu

Apa ketentuan takdir

Kita hanyalah hamba

Berserah kepada Dia…

 

Engkaulah kejora sinar zaman

Menginsafkan rohani

Merdu mengalun rima

Bermadah dari hati…”

 

Penulis adalah Naib Presiden ABIM.

Foto kredit: The Peninsula Qatar

Share this Post: