Yangon 2015 dan Korban Demokrasi di Kota Mandalay

Yangon 2015 dan Korban Demokrasi di Kota Mandalay

Prolog: 

Penghujung 2015, saya ikut misi pemantauan pilihan raya di Myanmar. Hampir dua bulan, saya pelajari antaranya realiti penindasan etnik minoriti dan migrasi rakyatnya ke negara lain – termasuk Malaysia.

Jauh dari sekadar fenomena ekonomi, ramai yang akhirnya bermigrasi atas sebab penindasan sistemik politik dan masyarakat yang berpaksikan militarisme, agama, dan keturunan.

Berdarah dan berkulit yang ‘salah’ kadangkala adalah suatu takdir malang buat ramai di sana. Semoga catatan ini mengangkat simpati buat kaum migran Myanmar di negara kita.

Yangon, 19 November, 2015

Seharian saya habiskan hari terakhir di Yangon bersama Mandeep dan Kristina, bertemu teman-teman aktivis dari kampus, dan menemu bual beberapa ahli politik tempatan yang baru menang.

Usai mengutip cerita dari watak-watak politik, kami lanjutkan malam kami ke 19th Street, pusat makanan kota Yangon yang terkenal. Tempat ini mirip Jalan Alor di Bukit Bintang, cuma lebih kecil. Di meja makan kami sambung lagi bicara politik serantau, khususnya Myanmar pasca pilihan raya.

Mandeep tiba di Yangon agak lewat, selepas pilihan raya tamat. Awalnya, beliau menyambut kemenangan NLD dengan penuh keterujaan. Pada beliau, sebuah revolusi sudah berlaku di Myanmar. Revolusi yang akan menamatkan segala penindasan, baik ke atas etnik minoriti mahupun majoriti. Revolusi yang akan menyatukan rakyatnya yang teruk berpecah, sehingga nanti tiada lagi warga kelas kedua mahupun ketiga.

Tidak lama; hanya beberapa hari merayau di kota Yangon sudah cukup menyedarkan kembali beliau kepada realiti politik. Myanmar masih jauh dari perubahan. Penindasan akan terus wujud. Perpecahan akan terus membengkak. Yang ditumbangkan hanya manifestasi politik, sedang benih masalah sudah lama mengakar dalam institusi dan benak rakyatnya, termasuk dalam kalangan yang menentang rejim sendiri.

Malam sudah larut. Kami menahan teksi untuk pulang ke hotel. Pemandu teksi kami seorang lelaki muda berkulit sawo matang. Melihat beliau sekali imbas, saya meneka yang beliau pasti adalah seorang etnik Muslim atau Hindu.

Sepanjang perjalanan, beliau nampak canggung, resah, dan senyap. Ketika mengisi minyak di tengah perjalanan, berulang kali pula memohon maaf kerana perlu berhenti, seolah berbuat salah besar. Melihat beliau yang sedemikian, saya di kerusi hadapan cuba memecah kesunyian. Di belakang Mandeep dan Kristina berbual sesama mereka.

Bahasa Myanmar saya hanya terhad kepada transaksi jual beli, maka saya tegur dan ajak beliau berbual dalam bahasa Inggeris.

“NLD menang, suka?” getus saya. Beliau tersenyum. “Suu Kyi okay, baik. Saya suka NLD, tapi mungkin sama sahaja. Ambil masa untuk jadi lebih baik,” jawab beliau ringkas.

Entah kenapa, soalan kedua saya adalah latar etnik beliau.

“Kamu Bamar?”

Saya tidak menanya, “Kamu Muslim?” - takut tersalah dan menyinggung. Lebih baik ditanya kalau beliau Bamar. Andai bukan, nafikan sahaja. Lebih mudah menafi diri seorang Bamar dari mengakui diri seorang Muslim.

“Ya, Bamar. Dari sini, Yangon,” balas beliau.

“Tak nampak macam Bamar, rupa lain sikit.” usik saya. Saya yakin beliau bukan Bamar.

“Saya Bamar, beragama Buddha; macam kamu!” tegas beliau dengan senyuman yang dibuat-buat.

“Kenapa pula kamu kata saya Buddha?”  

“Iras orang tempatan, cuma cerah sedikit. Saya ingat Bamar, tapi kamu tak berbahasa Myanmar. Saya teka kamu dari Thailand. Thailand sama seperti sini –  Buddha. Gelang tangan kamu itu; gelang Buddha, kan?” balas beliau.

“Oh, ini. Bukan, saya bukan Buddha. Gelang ini dari Mawlamyine, hadiah kenang-kenangan dari kawan. Saya bukan dari Thailand. Saya dari Malaysia.”  

“Malaysia? Kamu Melayu kah?” soal beliau dengan nada terkejut.

“Ya, saya Melayu, kenapa?”

“Muslimkah?” soal beliau lagi.

“Ya, saya Melayu, Muslim.”

Beliau tiba-tiba menekan brek teksinya. Mandeep dan Kristina di belakang ikut terperanjat.

Tangan saya dicapai tiba-tiba, matanya basah dengan tangisan yang datang entah dari mana.

Dalam Bahasa Melayu, beliau menuturkan kata yang saya ingati sampai bila-bila.

“Abang, saya minta maaf abang. Astaghfirullahalazhim, Lailahaillallah, Muhammad Rasulullah; saya bukan Bamar abang. Saya bukan Buddha. Maaf abang, Lillahi Taa’la, saya Muslim abang! Saya Muslim macam abang!”

Saya kaget dan terus terdiam. Mandeep bertanya apa yang berlaku. Saya katakan nanti saja diceritakan. Pemandu tadi menyambung perjalanan. Kami sampai ke hotel dengan selamat. Mandeep dan Kristina keluar dari teksi terlebih dahulu. Saya kekal di tempat duduk untuk sambung bercakap dengan beliau sebentar.

“Minta maaf abang. Saya Muslim Myanmar. Bukan Bamar. Mereka panggil kami Kalar. Mereka tak suka kami yang berkulit gelap, apa lagi Muslim. Saya tadi takut kalau abang juga tak suka Muslim. Saya sangka abang Buddha. Sebab itu saya mengaku sebagai Bamar, Buddha; saya tak mahu timbul masalah.”

“Saya yang minta maaf jadi begini. Saya harap lepas ini kamu tak perlu lagi takut-takut. Kerajaan kamu sudah berubah. Pasti masa depan lebih baik,” balas saya.

“Belum tentu lagi. Mereka juga Bamar, dan junta masih ada. Tidak mudah untuk orang macam kami abang.”

Saya angguk tanda faham, lalu bayar ongkos teksi tanpa mengambil baki. Beliau berlalu pergi, sambung pencarian rezeki di tengah malam.

Mandeep yang menunggu di luar teksi kembali bertanya.

“Apa jadi?”

“Nampaknya, itulah realiti Myanmar. Kerajaan dah berubah, tapi orang-orang tertindas masih hidup dalam ketakutan.”

Epilog:

2017, saya kembali lagi ke Myanmar untuk memantau pilihan raya di Shan State yang dahulunya tergendala pada 2015 akibat pertembungan kuasa tentera.

Dua tahun selepas menangnya NLD, Myanmar nampak lain, tetapi masih tetap sama. Di ibu kotanya, gedung-gedung mewah naik satu persatu, namun rakyat di luar Kota Yangon masih menunggu jalan berturap dan bekalan elektrik. Warna kulit dan agama masih jadi takdir buruk buat golongan yang selama ini tertindas.

2021, Pilihan Raya Umum November 2020 menyaksikan USDP (parti yang mewakili Junta) kalah lebih teruk berbanding 2015. NLD menggondol lebih 80% undi popular. Politik Myanmar mencapai tahap didihnya.

Tatmadaw atau Junta mendakwa telah berlaku penipuan dalam pilihan raya yang lepas, dan akhirnya melancarkan rampasan kuasa atau kudeta ke atas pentadbiran di Nay Pyi Taw. Demokrasi Myanmar digantung, dengan tentera mengumumkan pengambil alihan kuasa selama setahun.

Dari Myawaddi ke Bago, Taunggyi ke Mandalay, rakyat Myanmar turun ke jalan raya dalam angka gergasi di hampir semua kota-kota besarnya; menuntut agar kudeta dihentikan dan demokrasi dipulihkan. Anak mudanya bangkit melawan di celah-celah ancaman pandemik dan peluru Tatmadaw.

Kelmarin, nama dan foto gadis berani Kyal Sin atau Angel menghiasi dada akhbar utama dunia. Kyal Sin menjadi antara korban yang ditembak peluru Junta di Kota Mandalay. Setiakawan dari seluruh pelusuk dunia mencurah-curah. Kyal Sin menjadi simbol generasi milenial melawan penguasa.

Di Malaysia, saat krisis sedang meruncing di Myanmar, lebih 1,000 rakyatnya yang menjadi pelarian politik dan ekonomi di sini bakal diusir secara paksa oleh Malaysia dengan kerjasama penguasa Junta. Mahkamah Tinggi telah membenarkan arahan tersebut ditangguhkan selepas Amnesty International dan Asylum Access mengemukakan permohonan untuk semakan kehakiman. 

Perjalanan untuk pembebasan rakyat negara tersebut masih panjang. Saat terus ditindas dalam dan luar negara, berdiam diri bukan lagi pilihan untuk mereka. Dari pilihan raya ke jalan raya, setiap ruang kini adalah perjuangan; biar nyawa kini menjadi taruhan.

Rest in power Kyal Sin, everything will be OK.

Adam Adli pernah terlibat dengan gerakan pelajar dan reformasi pilihan raya suatu masa dahulu. Beliau kini bersama Liga Rakyat Demokratik dan Alternatif Press.

Foto: Eleven Myanmar

Share this Post: