Wira Negara, Lee Chong Wei

Wira Negara, Lee Chong Wei

Lee Chong Wei adalah nama yang terlalu besar untuk diperkenalkan lagi. 19 tahun berkecimpung dalam sukan badminton, terlalu banyak pencapaian peribadi yang diperolehinya sama ada pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Anak kelahiran Bagan Serai, Perak ini berkahwin dengan ratu badminton negara, Wong Mew Choo pada November 2012 dan dikurniakan dua anak lelaki, Kingston dan Terrance. Datuk Lee Chong Wei kini tidak lagi terlibat aktif dalam persaingan badminton, sebaliknya meluangkan masa bersama keluarga di samping fokus kepada rawatan kanser nasofaring hidungnya di Taiwan.

Permulaan Langkah

Sejarahnya, karier Lee Chong Wei dalam sukan badminton bermula apabila ibunya, Khor Kim Choi tidak menggalakkan beliau untuk terlibat aktif dengan sukan bola keranjang kerana faktor terik matahari di atas gelanggang. Dari situ, Lee Chong Wei mula mempelajari sukan badminton apabila bapanya, Lee Ah Chai menghadiahkan beliau sebatang raket pada tahun 1993.  

Bakatnya semakin berkembang ketika dilatih oleh seorang jurulatih badminton tempatan iaitu Teh Peng Huat sehingga menarik minat legenda Misbun Sidek untuk membawa beliau menyertai pasukan kebangsaan pada usia remaja 17 tahun. Sejak debutnya itu, beliau telah memenangi banyak piala dan gelaran seperti olahragawan kebangsaan, pemain terbaik Asia dan Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pemain Nombor 1 Dunia

Lee Chong Wei tidak hanya gah pada nama. Beliau semenangnya diiktiraf sebagai lagenda apabila menjadi pemegang gelaran pemain Nombor 1 dunia paling lama dalam sejarah permainan iaitu selama 349 minggu termasuk 199 minggu secara berturut-turut sejak 21 Ogos 2008 sehingga 14 Jun 2012.

Beliau adalah pemain Malaysia keempat yang meraih gelaran Nombor 1 dunia selepas Rashid Sidek, Roslin Hashim dan Wong Choong Hann. Istimewanya, Lee Chong Wei merupakan pemain badminton kebangsaan pertama yang meraih gelaran tersebut lebih daripada tempoh satu tahun.

Lebih istimewa, Lee Chong Wei meraih gelaran tersebut ketika beraksi dalam dunia sukan badminton di samping ramai pemain badminton perseorangan yang turut amar kompetetif dari negara-negara lain. Antaranya ialah Lin Dan, Cheng Long, Taufik Hidayat, Viktor Exelsen, Kento Momota dan ramai lagi. Beliau juga turut melakar rekod sebagai pemain badminton tertua berada di ranking pertama dunia pada usia 34 tahun pada tahun 2017.

Dua Dekad Berguru

Selama 19 tahun mencurah bakti kepada negara Malaysia dalam sukan badminton, Lee Chong Wei menjadi anak murid kepada ramai jurulatih. Bermula dari jurulatih pertamanya di bangku sekolah, Teh Peng Huat, diikuti dengan Misbun Sidek, individu yang paling dikenang sebagai insan yang bertanggungjawab menaikkan karier beliau di persada antarabangsa di samping Tey Seu Bock dan Hendrawan.

Antara guru lain beliau termasuklah jurulatih seperti mendiang Indra Gunawan, Li Mao, Rashid Sidek, dan Morten Frost yang turut pernah membimbing beliau walaupun bukan secara formal atau tetap. Lee Chong Wei sangat menyanjungi barisan gurunya sehingga pernah mengatakan bahawa “guru ibarat lilin yang membakar diri sendiri demi masa depan anak didik”.

Musuh Tradisi

Pemain badminton perseorangan dari negara luar seperti China, Denmark dan Indonesia kerap memberi cabaran dan tentangan hebat kepada Lee Chong Wei, namun, dua nama pemain yang menjadi musuh tradisinya adalah Lin Dan dan Cheng Long dari negara China.

Sepanjang karier beliau, Lin Dan akan sentiasa muncul sebagai pencabar utama beberapa gelaran terutama Olimpik manakala Chen Long pula merupakan pelapis muda dari China yang turut menjadi cabaran kepada kemaraan Lee Chong Wei bermula 2011. Lee Chong Wei dan Lin Dan pernah bertembung sebanyak 40 kali, dengan rekod kemenangan Lin Dan sebanyak 28 kali berbanding 12 kali buat Lee Chong Wei.

Anugerah Buat Wira

Pelbagai anugerah telah beliau terima sejak dari tahun 2005. Pada peringkat kebangsaan, beliau telah terpilih untuk memenangi anugerah ahli sukan terbaik Pulau Pinang sebanyak 8 kali, anugerah perdana TYT sebanyak 6 kali, ahli sukan negara sebanyak 4 kali, anugerah Persatuan Sukan Malaysia dan ikon paling popular RTM pada tahun 2013.

Pada peringkat antarabangsa pula, beliau pernah memenangi anugerah pemain terbaik tahunan Persatuan Badminton Dunia (BWF) sebanyak 5 kali dan pemain Olimpik tahunan sebanyak 3 kali. Lee Chong Wei juga meraih Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk daripada Gabenor Pulau Pinang, Abdul Rahman Abbas pada tahun 2008 kerana kejayaannya dalam temasya Olimpik 2008 di Beijing, China. Gabenor negeri Melaka pula mengurniakannya Darjah Cemerlang selain Yang di-Pertuan Agong, Muhammad V yang menganugerahkannya dengan darjah Panglima Jasa Negara (PJN) pada tahun 2017.

Detik Sukar

Di sebalik pelbagai kejayaan yang pernah beliau menangi, Lee Chong Wei turut tidak terlepas daripada beberapa isu peribadi yang sedikit sebanyak mencalarkan imej beliau sebagai penakluk sukan badminton dunia.

Selain daripada masalah kecederaan yang dialaminya pada tahun 2012 dan 2017, Lee Chong Wei juga pernah terlibat dalam isu kegagalan ujian doping kerana masalah pengambilan ubat yang mengandungi bahan terlarang. Situasi tersebut menyebabkan beliau dikenakan penggantungan selama lapan bulan oleh Persatuan Badminton Dunia (BWF) pada Ogos 2014 dan hanya kembali beraksi dalam pentas antarabangsa dengan ranking ke-46 dunia pada Mei 2015.

Pemenang pingat perak di tiga temasya Sukan Olimpik ini mengumumkan persaraannya dari pentas sukan badminton pada tahun 2019 untuk memberi tumpuan kepada rawatan kesihatannya.

Sukan bandminton negara terutama BAM akan sedikit sebanyak terkesan dengan pengunduran Lee Chong Wei. Bukan mudah untuk mencari dan melahirkan pelapis yang setanding dengannya. Namun dengan inspirasi oleh Lee Chong Wei, nama-nama pelapis seperti Zulfadli Zulkifli, Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Liew Darren diharapkan mampu mengulangi kejayaan yang pernah diraih legenda tersebut. Penulis juga berharap semoga bakat pemain muda dapat dicungkil sejak di bangku sekolah dengan barisan kejurulatihan akan lebih diberi tumpuan agar sentiasa teratur dan mantap.

Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone

Foto hiasan ihsan Olympic Channel

Share this Post: