Wanita Bukan Hamba: ‘Gunjan Saxena The Kargil Girl’

Wanita Bukan Hamba: ‘Gunjan Saxena The Kargil Girl’

Baru-baru ini heboh dalam media yang membincangkan tentang adat dan tatacara makan di rumah Ayah Long yang menjadi kesukaan orang lelaki di Malaysia. Tatacara makan di rumah Ayah Long dikritik hebat oleh golongan wanita yang berpendidikan. Tetapi sebaliknya peraturan dan adat ini masih dirasakan relevan dan digemari oleh kaum lelaki sehingga ke hari ini.

Manakan tidak disukai lelaki, makan dan minum dilayan bak seorang raja dalam keluarga. Senario ini sememangnya tidak janggal dan memang masih berleluasa diamalkan di seluruh negara dan khususnya di Semenanjung Pantai Timur. Sistem patriaki masih menebal dalam kehidupan masyarakat Melayu dan mungkin juga belaku dalam masyarakat kaum lain di Malaysia dan seluruh negara.

Senario sebegini bukan suatu yang muda dalam peradaban manusia bahkan sudah beratus tahun. Jika dahulu di Tanah Jawa bangkit perjuangan dalam menentang adat yang tidak memberi kesetaraan antara hak antara lelaki dan wanita dalam kehidupan oleh Puteri Bangsa Jawa iaitu Raden Adjeng Kartini yang telah berjuang dalam membangkitkan emansipasi wanita.

Leftenan Lohappriya yang merupakan wanita India pertama yang ditabalkan sebagai juruterbang wanita dalam Akademi Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atau Air Force Malaysia mengingatkan saya kepada Gunjan Saxena yang turut merupakan juruterbang wanita pertama dalam Akademi Air Force India pada pertengahan tahun 1990. Pelantikan ini sekaligus telah mengangkat status wanita mampu berdiri setanding dan setaraf dengan lelaki di luar sana.

Filem Gunjan Saxena: The Kargil Girl diterbitkan pada 12 Ogos 2020 dan mendapat 4 bintang. Filem ini telah diarah oleh Sharan Sharma, berdurasi 1 jam 52 minit dan barisan pelakon utama seperti Janhvi Kapoor (Gunjan Saxena), Pankaj Tripathi (bapa), Angad Bedi (abang). Apa yang menarik tentang filem ini? filem ini adalah merupakan sebuah adaptasi daripada sebuah kisah benar kehidupan Gunjan Saxena bermula daripada zaman kanak-kanak sehingga berjaya menempa nama dalam akademi Air Force.

Melalui filem ini pengarah cuba memaparkan semangat, keazaman, kegigihan seorang wanita dalam menggapai impiannya untuk menjadi juruterbang dan pada masa yang sama turut memperjuangkan hak wanita yang telah didiskriminasikan dalam kehidupan masyarakat India.

Semestinya filem ini menjadi minat dan tontonan kepada mereka yang berminat dalam menonton genre aksi dan sejarah. Namun demikian, filem ini bukanlah semata-semata cerita kosong yang ingin diketengahkan oleh pengarah tetapi filem ini diterbitkan adalah bertujuan untuk mengkritik dan menentang sistem pemikiran patriaki (Patriarchal mind-set) dan diskriminasi ke atas wanita dalam budaya masyarakat India pada era 90-an.

Gunjan Saxena dilahirkan pada 1975 dalam sebuah keluarga yang berlatarbelakangkan ketenteraan. Bapa beliau merupakan Leftenan Kolonel Anup Kumar. Sejak kecil Gunjan meminati dunia penerbangan dan minatnya disokong kuat oleh bapanya walaupun mendapat tentangan daripada abang dan ibunya.

Gunjan Saxena menamatkan pengajian beliau dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik daripada Hansraj College, Universiti of Delhi, New Delhi dengan cemerlang dan berhasrat untuk memasuki akademi penerbangan untuk menjadi juruterbang. Tetapi malangnya selepas beberapa kali mencuba beliau tetap gagal memasuki akademi penerbangan komersial yang disebabkan oleh ketinggian fizikalnya dan berat badannya yang tidak mencapai standard dalam pemilihan sebagai kadet dalam akademi tersebut.

Tetapi semangat Gunjan tidak patah dalam mencapai cita-cita beliau untuk menjadi juruterbang walaupun harus menongkah arus kebudayaan yang meminggirkan hak wanita. Beliau mengambil keputusan untuk menyertai pasukan India Air Force pada tahun 1996 untuk menjadikan beliau sebagai juruterbang yang diimpikan oleh beliau sejak dari kecil lagi.

Sehubungan itu, keputusan yang dibuat oleh Gunjan ditentang hebat oleh ibu dan abang kandung beliau, kerana memikirkan tentang pandangan masyarakat India yang bersifat patriaki dan Gunjan menghadapi pelbagai cabaran yang berbentuk gender-based semasa dalam proses pengambilan menjadi pegawai Air Force.  Namun demikian, cabaran dan halangan ditempuhi dengan kesabaran dan keazaman yang tinggi oleh Gunjan sehinggakan beliau dapat menandingi calon-calon pegawai tentera lelaki dalam tugasan-tugasan yang diberikan oleh pihak India Air Force.

Akhirnya, beliau ditugaskan untuk menerbangkan helikopter ke kawasan peperangan di Lembah Kargil dengan beberapa buah helikopter rakan yang lain. Gunjan berjaya mengelak bedilan peluru berpandu daripada musuh dengan kemahiran mengemudikan helikopter yang tinggi yang dipelajarinya semasa dalam akademi telah menandingi lelaki menyebabkan hanya beliau sahaja yang berjaya terselamat daripada peluru berpandu musuh.

Gunjan mengambil tindakan berani dalam membuktikan kepada dunia bahawa wanita juga mampu menyumbang tenaga kepada negara dengan tanpa mempedulikan arahan daripada pihak atasan bagi membuktikan wanita juga setanding dengan lelaki jika diberikan ruang dan peluang yang saksama. Beliau menerbangkan helikopter ke Lembah Kargil dan menyelamatkan rakan tenteranya yang tercedera akibat helikopter terhempas yang dibedil oleh musuh dan beliau berjaya membawa pulang dengan selamat rakan sepasukannya.

Peristiwa menyelamatkan juruterbang sepasukannya yang tercedera di dalam peperangan Kargil telah membuktikan pada dunia bahawa wanita mampu setanding menandingi lelaki dan harus diberi penghormatan dan hak kesetaraan yang sama dalam perkhidmatan negara. Apa yang cuba di sampaikan dalam filem ini adalah besar mesejnya.

Filem ini cuba menyatakan kepada dunia bahawa persoalan hak kesamarataan gender, diskriminasi, budaya patriaki masih menebal diamalkan dan masih banyak belaku terutamanya di negara-negara Global South. Wanita tidak dilayan sama rata, ditindas, dijadikan hamba, objek seks, warganegara kelas kedua, dinafikan hak pendidikan, dan sebagainya sehingga amalan-amalan ini jelas mendiskriminasikan hak wanita iaitu budaya yang menindas dan menafikan hak wanita.

Apakah jika dibangkitkan hal ini saya dilabelkan sebagai feminis? Semestinya tidak tetapi persoalan-persoalan yang dibangkitkan adalah kerana kesedaran. Kesedaran bahawa wanita juga adalah manusia dan bukannya hamba, wanita adalah juga warganegara yang seharusnya memiliki hak dan layanan yang saksama di antara lelaki.

Di atas dasar apa seharusnya wanita dilayan sebagai objek seks? Hamba kepada sistem patriaki. Bukankah wanita juga adalah manusia yang tetap sama warna darahnya, tidakkah darah pekat merah warnanya turut sama seperti lelaki jika mengalir dari batang tubuh?

Jadi persoalan ini harus diangkat dan dibincangkan agar wanita-wanita di diluar sana tidak dinafikan hak-hak mereka. Jika menelusuri sejarah dan kebudayaan India, semestinya kita tidak boleh lari daripada konteks diskriminasi, patriaki, perhambaan, ketaksamaan gender yang sering dibincangkan dalam kalangan ahli akademik dan isu-isu ini telah terjadi dan sering dikaitkan dengan isu sosial yang telah terjadi berkurun lama di India.

Sesetengah kawasan di negara India yang sehingga kini kelahiran bayi perempuan tidak disambut dan tidak diingini oleh ibubapa, dan sering kali wanita dilabelkan sebagai beban kepada keluarga. Jika mereka terselamat atau tidak dibunuh semasa bayi pasti mereka akan terlibat dengan penghinaan dan penderaan seksual.

Insiden-insiden penindasan, penderaan seksual, diskriminasi, dan jenayah rogol yang membabitkan wanita kasta rendah dan lelaki kasta tinggi sering dilaporkan. Paling menyedihkan sehingga ke era milenium ini hak-hak wanita masih dinafikan di mana hampir keseluruhan negara India memaksa wanita untuk berhenti sekolah dan duduk di rumah berkahwin dan menjaga suami sahaja.  

Padahal, jelas di dalam peristiharan Hak Asasi Manusia dalam Piagam Negara Bangsa-Bangsa Bersatu Perkara 1 hingga 30 menjelas dan menyatakan dengan jelas tentang hak dan kebebasan manusia dalam mengangkat hak kebebasan dan kemuliaan manusia. Tetapi sehingga kini sewenangnya hak asasi kemanusiaan ini dilanggar dan dipandang sepi oleh masyarakat India kerana pengabaian dan kelemahan undang-undang terhadap akses pengadilan terhadap hak-hak kemanusiaan.

Senario ini seolah-olah tiada bezanya dengan sistem perhambaan yang wujud pada zaman jahiliah dahulu. Lebih malangnya, amalan dan sistem patriaki ini masih berleluasa menjadi amalan tradisi sejak berkurun lama dan budaya patriaki ini telah menjadikan wanita lemah dan tiada nilai di mata lelaki. Semestinya sukar untuk dibayangkan pada masa hadapan wanita India berdiri di barisan hadapan memimpin negara.

Filem-filem seperti ini harus dipertontonkan dilayar perak agar hak wanita dapat di angkat dan memberi kesedaran kepada golongan wanita di India khususnya untuk memperjuangan hak mereka dan tidak lagi dilayan seperti hamba dan warganegara kelas kedua.

“Kami hendak menjadikan perempuan menjadi lebih cekap dalam melakukan tugas besar yang diletakkan oleh Ibu Alam sendiri kedalam tangannya agar menjadi ibu pendidik umat manusia yang utama” – Kartini

Nurfarhana Awang merupakan seorang pensyarah dan penyelidik yang berjiwa besar dalam dunia penyelidikan Sains Sosial yang berhasrat untuk menyumbang perubahan kepada sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat.

Foto ihsan Cinema Express

Share this Post: