“Wa suka chiak loti ka lim kopi”
“Tolong bae koyok hor wa”
Faham tak maksud ayat-ayat di atas? Ada tak persamaan dengan Bahasa Melayu? Bahasa di atas bukanlah bahasa asing, tetapi adalah dialek Hokkien Pulau Pinang, dialek majoriti masyarakat Cina di kepulauan Utara tanah air tersebut.
Bagaimana dua etnik dengan latar yang berlainan berkongsi persamaan ayat dalam dua bahasa yang berbeza? Apakah sejarah orang Cina Hokkien di Malaysia sehingga mempengaruhi penggunaan bahasa seharian?
Sebilangan besar orang Cina di Malaysia hari ini berasal daripada kelompok migran atau pendatang berketurunan Han yang tiba ke sini antara pertengahan abad ke-19 dan awal abad ke-20. Kelompok ini juga dianggap sebagai komuniti Cina luar Tanah Besar Cina kedua terbesar di dunia.
Lebih dari 500 tahun dahulu, pedagang Cina dan bangsawan muda dari rombongan kerajaan mula menetap di Melaka, di mana Puteri Hang Li Po daripada Dinasti Ming dihantar dari China untuk mengahwini Sultan Melaka; Sultan Mansur Shah.
Ada yang berkahwin dengan penduduk tempatan, melahirkan sebuah komuniti baru yang digelar sebagai Peranakan Cina atau lebih dikenali sebagai Baba-Nyonya. Catatan ini terdapat dalam ‘Sejarah Melayu’ oleh Tun Seri Lanang yang juga menunjukkan bahawa pedagang Cina kebanyakannya berbahasa Hokkien dari wilayah Zhangzhou dan Quanzhou di wilayah Fujian, China.
Dari awal abad ke-19 hingga 1930-an, beribu-ribu pendatang Cina berasal dari wilayah Fujian dan Guangdong di pantai timur daratan China datang ke Tanah Melayu yang diperintah Inggeris dengan harapan untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
Orang Cina, bersama dengan migran dari India memenuhi kekurangan tenaga kerja di lombong, bijih timah, ladang getah dan pembinaan landasan kereta api. Pada ketika itu, ramai yang berhutang dengan tauke yang membiayai tambang mereka. Tauke-tauke ini tetap bertahan dan bersenang-lenang dengan candu dan judi ketika mereka yang lain sedang berusaha melepaskan diri dari kesusahan hidup.
Dari keperitan hidup tersebut, ada yang berjaya melepaskan diri dan mula menubuhkan perniagaan mereka sendiri atau menjadi pedagang, sehingga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang pesat di kota-kota membangun.
Sebilangan besar orang Cina Hokkien berasal dari wilayah selatan Fujian, terutamanya di bandar Quanzhou, Amoy (dikenali sebagai Xiamen di hari ini), dan Zhangzhou.
Orang Cina Hokkien Zhangzhou menetap di bahagian Utara Semenanjung Malaysia, terutama di Pulau Pinang, Kedah, Perak (utara), Kelantan, dan Terengganu. Orang Cina Hokkien Quanzhou pula menetap di Selatan Malaysia; Johor, Melaka dan beberapa bandar besar di kepulauan Borneo; Sarawak.
Bukan sahaja bahasa Hokkien ada perbezaan dari segi loghat antara utara Malaysia dengan selatan Malaysia, malah citarasa makanan juga ada sedikit perbezaannya.
Citarasa makanan orang Hokkien lebih dipengaruhi masakan dari Asia Tenggara, Taiwan dan Jepun; dimana penggunaan gula, rempah dan sos dalam hidangan adalah biasa di sekitar Selatan Fujian. Pelbagai jenis sup yang dimasak secara perlahan menggunakan arang sebagai dapur dengan mangkuk yang diperbuat daripada tanah liat dan juga seramik adalah berbeza dengan cara tradisi orang Cina Kantonis.
Cara makanan orang Cina Fujian Barat sering dikukus, goreng cara tumis, goreng dalam minyak yang banyak dan selalunya ada sedikit citarasa pedas dari sawi dan lada, lebih masin dan berminyak.
Pekerjaan utama orang Cina Hokkien adalah pelopor dalam sektor perdagangan selain daripada kerja di ladang getah. Sebilangan besar pedagang dalam industry import-eksport serta peniaga borong adalah berketurunan Cina Hokkien. Oleh itu, Bahasa Hokkien sebagai bahasa perdagangan adalah majoriti yang digunakan untuk berkomunikasi dengan orang Cina lain tidak kira latar belakang etnik di wilayah tertentu.
Dialek Hokkien di hari ini merupakan dialek yang paling banyak dituturkan di kalangan masyarakat Cina di sini, walaupun tidak lagi dalam bentuk tulennya. Hokkien yang digunakan hari ini mengandungi kata pinjaman dari Bahasa Melayu (terutamanya Hokkien Pulau Pinang) dan berbeza mengikut wilayah.
Jadi di masa depan, janganlah pula hairan apabila mendengar ada yang bertutur dalam Bahasa Cina bersulamkan Bahasa Melayu. Inilah ciri unik Cina Hokkien di negara kita!
Adam Lester Tan adalah seorang pengamal hidup aktif. Berasal dan membesar di Bukit Mertajam, beliau kini berkhidmat bersama Penggerak Komuniti Pulau Pinang.
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.