Voyager: Kembar Pengembara Suria

Voyager: Kembar Pengembara Suria

Perang dingin yang tercetus antara dua kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet telah mewujudkan ‘Perang Angkasa’ yang sedikit sebanyak menjadi pemangkin perkembangan bidang astronomi.

Saat Perang Dingin sedang sedikit mengendur di antara kedua kuasa pada dekad 1970-an, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) telah melancarkan program Voyager.

Program ini pada awalnya merupakan sebahagian daripada program Mariner, program yang telah berjaya menghantar proba robotik untuk melawat planet-planet dalaman sistem suria.

Dua proba yang pada asalnya diberi nama Mariner 11 dan Mariner 12 telah diubah kepada Voyager 1 dan Voyager 2 kerana rekaannya dianggap lebih ‘maju’ berbanding proba-proba sebelumnya.

Dua ‘kembar’ proba robotik ini dibina oleh Jet Propulsion Laboratory (JPL) dibawah tajaan NASA.

Voyager mempunyai berat 773 kilogram di mana 105 kg daripadanya merupakan peralatan saintifik.

Voyager menggunakan penstabil tiga paksi dan memproses data daripada pemecut dan giroskop untuk menghalakan antenanya ke bumi dan alatan sains ke arah sasarannya.

Alatan sains yang terdapat pada Voyager ialah imaging Science System (ISS) yang berfungsi sebagai ‘kamera’ untuk mengambil gambar, Radio Science System (RSS), Infrared Interferometer Spectrometer (IRIS),Ultraviolet Spectrometer (UVS), Triaxial Fluxgate Magnetometer (MAG), Plasma Spectrometer (PLS), Low Energy Charged Particle Instrument (LECP), Cosmic Ray System (CRS), Planetary Radio Astronomy Investigation (PRA), Photopolarimeter System (PPS), dan Plasma Wave Subsystem (PWS).

Namun, hanya empat daripada 11 alatan sains yang masih aktif pada Voyager 1 iaitu MAG, LECP, CRS, dan PWS. 

Manakala pada Voyager 2 pula semua alatan yang aktif pada Voyager masih berfungsi pada Voyager 2 kecuali PLS yang telah pun rosak pada Voyager 1.

Kedua-dua Voyager berfungsi dengan menggunakan tiga penjana radioisotop habaelektirk yang menggunakan plutonium-238 sebagai bahan bakarnya.

Misi utama bagi proba robotik kembar ini adalah untuk melawat empat planet gergasi yang terdapat dalam planet suria iaitu planet Musytari, Zuhal,Uranus, dan Neptun.

Voyager dilancarkan pada tahun 1977 untuk mengambil kesempatan terhadap penjajaran keempat-empat planet tersebut yang membenarkan Voyager untuk melawat planet-planet tersebut.

Voyager 1 dilancarkan pada 5 September manakala Voyager 2 pula dilancarkan pada 20 Ogos 1977 di Cape Canaveral.

Walaupun dilancarkan lewat 16 hari lebih lewat daripada Voyager 2, Voyager 1 bertemu dengan planet Musytari dan Zuhal lebih awal kerana Voyager 1 memulakan perjalanannya melalui trajektori yang lebih pendek berbanding trajektori Voyager 2.

Sekitar Januari 1979, kira-kira dua tahun selepas pelancarannya, Voyager 1 mula mengambil gambar planet Musytari.  

Dan dua bulan kemudian ketika Mac, Voyager 1 berada pada jarak yang paling hampir dengan Musytari pada jarak sekitar 349,000 km.

Ketika mengambil gambar Musytari dan bulan yang berada sekelilingnya, Voyager 1 juga menemukan gunung berapi pada Io, salah satu bulan yang mengelilingi Musytari. 

Ini merupakan pertama kali sebuah gunung berapi yang aktif ditemukan pada jasad Sistem Suria yang lain selain Bumi.

Voyager 2 menghampiri Musytari pada Julai dengan jarak yang paling hampir sekitar 570,000 km. 

Ia mengenalpasti ‘Great Red Spot’ di planet Musytari merupakan sistem ribut kompleks yang bergerak melawan arah jam dan beberapa ribut yang kecil juga ditemui.

Di samping mengambil gambar Musytari, Voyager 2 juga mengambil gambar bulan-bulan yang mengelilingi Musytari iaitu Amalthea, Io, Callisto, Ganymede, dan Europa dan menjumpai tiga bulan kecil lain yang mengelilingi Musytari.

Setelah mendapat bantuan graviti daripada Musytari, kedua-dua proba robotik ini telah meneruskan perjalanan ke planet Zuhal di mana Voyager 1 telah menghampirinya pada November 1980 dan Voyager 2 kira sembilan bulan kemudian Ogos 1981.

Ketika menghampiri Zuhal pada jarak sekitar 124, 000km, Voyager 1 telah mengenalpasti gegelung yang mengelilingi planet Zuhal merupakan satu struktur yang kompleks disamping mengkaji atmosfera Zuhal dan bulan terbesarnya, Titan.

Berdasarkan gambar yang diambil oleh proba Pioneer 11, atmosfera yang kompleks terdapat pada Titan menarik minat para saintis untuk mengkajinya secara lebih lanjut dan memberikan kesan kepada trajektori Voyager 1 untuk ke Pluto.

Saat menghampiri Zuhal, Voyager 2 menghadapi masalah berkaitan kamera yang berjaya diatasi oleh para jurutera sebelum meneruskannya perjalannya ke Uranus.

Melepasi Zuhal, Voyager 1 meneruskan perjalannya ke ruang antara bintang melepasi Sistem Solar manakala Voyager 2 meneruskan misi menuju Uranus.

Pada Januari 1986, Voyager 2 menghampiri Uranus pada jarak yang paling hampir lebih kurang 81, 500km dan menjumpai 11 buah bulan yang mengelilinginya selain mengkaji gegelung yang mengelilingi Uranus.

Dek kerana kecondongan paksinya yang agak berbeza berbanding planet-planet lain di Sistem Suria, atmosfera yang terdapat padanya menarik perhatian para saintis untuk mengkajinya secara lebih lanjut.

Seterusnya melepasi Uranus, Voyager 2 meneruskan perjalanannya ke Neptun. Sekitar tahun 1987, Voyager 2 terpaksa membetulkan trajektorinya ketika sedang menuju ke arah Neptun.

Menghampiri Neptun melalui salah satu bulannya Triton, berdasarkan simulasi sebelum misi dijalankan, laluannya diubah untuk menghampiri Neptun pada jarak sekitar 4950 km di bahagian kutub utaranya.

Beberapa jam selepas menghampiri Neptun Voyager 2 melakukan penerbangan menghampiri Neptun, ia merapati bulan Neptun yang paling besar Triton pada jarak sekitar 40, 000 km.

Di samping mengesahkan terdapat enam lagi bulan yang mengelilingi Neptun, Voyager juga menjumpai gegelung yang mengelilingi Neptun yang selama ini tidak ditemui oleh ahli astronomi.

Neptun merupakan planet terakhir Voyager 2 yang dilawati olehnya sebelum meneruskan misi antara bintang sama seperti kembarnya Voyager 1.

Akhir kata, program Voyager merupakan satu kejayaan dalam memahami dan mengenal Sistem Suria secara lebih dekat. Memetik kata-kata Carl Sagan “Kita seharusnya menjadi lebih baik sesama kita, meraikan dan terus menjaga titik biru ini, kerana ini merupakan satu-satunya rumah kita”.

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto ihsan NASA

Share this Post: