Vaksinasi : Realiti Imunisasi

Vaksinasi : Realiti Imunisasi

Penyakit yang menggugat status kesihatan dan kesejahteraan masyarakat sememangnya mempunyai implikasi besar dalam aktiviti kemasyarakatan. Lihat sahaja keupayaan Covid-19 dalam melenyapkan kerancakkan ekonomi dunia sekitar tahun 2020. Tanpa taraf kesihatan yang stabil, kerapuhan aktiviti masyarakat dan produktiviti sesebuah negara tidak dapat dinafikan.

Mendepani masalah ini, semestinya pembangunan sistem kesihatan yang kukuh menjadi agenda utama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Usaha ini termasuk peningkatan status imunisasi melalui perkembangan dan pemberian vaksin yang berupaya meningkatkan imuniti dan keupayaan mencegah banyak penyakit berjangkit.

Pembangunan vaksin bukanlah perkara baru atau berkembang pada usia moden sahaja. Amalan vaksinasi telah direkod beberapa ratus tahun yang lalu dalam usaha mengekang penularan penyakit. Pada kurun ke 17, pengamal Buddha di China menggunakan cecair venom dari ular sebagai penawar kepada ular berbisa. Pada sekitar waktu yang sama juga, cebisan kulit mereka yang terkena jangkitan cacar air (Small Pox) digunakan untuk mendapatkan imuniti melawan penyakit tersebut.

Pada 1798 vaksin untuk penyakit cacar air pertama berjaya dihasilkan. Kurun ke 18 dan 19 menyaksikan pemberian vaksin tersebut secara sistematik dan berkala dan akhirnya penyakit ini berjaya mencapai status eradikasi global pada sekitar 1979. Kejayaan ini adalah bukti perkembangan vaksin yang baik berupaya meningkatkan status kesihatan sejagat.

Keupayaan Sebenar

Secara amnya, vaksin boleh difahami sebagai satu bahan yang terkandung didalamnya virus atau bakteria dalam bentuk yang lemah ataupun telah dimatikan. Terdapat juga vaksin yang terdiri dari sebahagian dari virus atau bakteria yang tidak aktif dan tidak mengakibatkan jangkitan. Bahan-bahan ini akan disediakan dalam bentuk komersial dan dipasarkan untuk tujuan pembangunan kesihatan awam.

Vaksin bertindak dalam badan manusia sebagai agen mencetus kehadiran imuniti dalam tubuh badan manusia menentang virus atau bakteria yang spesifik. Vaksin akan melatih sistem imuniti dalam badan untuk mengenal kehadiran patogen asing seperti virus dan bakteria dalam sistem dalaman badan. Seterusnya, sistem imuniti akan menghasilkan antibodi yang akan bertindak memusnahkan patogen asing sebelum jangkitan menjadi lebih teruk.

TIndakbalas terhadap sistem imuniti ini akan memberi perlindungan berterusan kepada seseorang individu yang menerima vaksin. Sekiranya, usaha vaksinasi ini diterjemah pada skala yang lebih besar dan lebih banyak individu menerima vaksin, imuniti yang terhasil akan membentuk perlindungan komuniti (herd immunity). Jika sebahagian besar individu dalam satu komuniti terlindung dari serangan atau jangkitan virus dan bakteria kerana telah menerima vaksin, penularan penyakit sudah tentu dapat dihalang dalam komuniti tersebut.

Covid-19 dan Vaksin

Gelombang ketiga Covid-19 telah memberi impak mendalam dalam penularan Covid-19 di Malaysia. Kerisauan ini telah menambah tanda tanya terhadap rawatan dan pencegahan yang paling berkesan terhadap penularan penyakit ini di Malaysia. Semestinya vaksin terhadap Covid-19 juga antara topik hangat yang dibicarakan.

Walaupun sehingga kini belum ada lagi vaksin spesifik yang terdapat di pasaran, Malaysia telah mengambil inisiatif dan turut serta dalam perkembangan ujian dan penghasilan vaksin Covid-19. Pakar-pakar dan saintis di seluruh dunia masih bertungkus lumus dalam usaha menghasilkan vaksin yang betul-betul berupaya menghasilkan perlindungan yang berkesan seterusnya dapat menghentikan penularan penyakit ini. Dunia pernah berjaya dalam usaha mengekang beberapa penyakit sebelum ini setelah vaksin terhasil, Covid-19 juga bukan sesuatu yang mustahil.

Sementara menanti kemunculan vaksin, kita masih mampu untuk mengekang penularan ini sekiranya pematuhan tinggi kepada amalan kebersihan, penjarakkan fizikal dan pemeriksaan kendiri dapat diamalkan.

Dr Afiq Amsyar adalah salah seorang Pegawai Perubatan yang kini bertugas dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

Foto ihsan Financial Times

Share this Post: