Pernah suatu masa lalu seorang ilmuwan berkata bahawa tidak wujud kontrak sosial secara fizikal antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum. Menurutnya lagi kontrak itu satu fantasi yang diwujudkan oleh ahli-ahli politik. Tambahnya lagi kontrak sosial itu sepatutnya dipanggil ‘kontrak ekonomi’ bagi menjustifikasikan tindakan afirmatif dalam bidang pendidikan dan kesihatan untuk kumpulan yang paling memerlukannya.
Kata-kata tersebut diucapkan semasa forum sempena ulangtahun ke-25 Dasar Pandang Ke Timur pada 11 Mei 2008 di Shah Alam. Ia diungkapkan oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz, seorang cendekiawan yang banyak berjasa kepada negara khususnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi. Beliau adalah ilmuwan tulen kerana kebijaksanaan serta keberaniannya untuk berkata sesuatu yang benar.
Apabila difikirkan kembali, jika benar kontrak sosial wujud – di mana dokumen rasmi mengenainya? Siapa pula yang menandatanganinya? Dan siapa pula yang menjadi saksinya?
(Tun) Dr Mahathir pula melalui forum yang sama tidak bersetuju bahawa kontrak sosial ialah fantasi. Munurut negarawan itu kontrak sosial memang tidak ditulis secara rasmi, tetapi kefahaman tentangnya memang wujud di kalangan pemimpin utama (parti) Perikatan. Perkara yang ditekankan oleh Dr Mahathir ialah bagaimana Tunku Abdul Rahman memberikan sejuta kerakyatan kepada masyarakat Cina bertimbal harapan supaya mereka memberi sokongan dalam usaha Malaya ketika itu untuk menuntut kemerdekaan.
Kata-kata Dr Mahathir ini ada benarnya juga. Namun dapat kita fahami bahawa kontrak sosial yang dimaksudkan beliau hanyalah sekadar persefahaman di antara pemimpin utama parti Perikatan. Persoalannya, apakah ia persefahaman yang dijadikan dasar di peringkat nasional atau kerajaan secara rasmi? Atau ia mungkin cuma cakap-cakap para pemimpin yang telah disalahertikan menjadi dasar kerajaan?
Benar bahawa persefahaman, persetujuan dan perbincangan tentang isu kerakyatan adalah antara tema utama rundingan awal kemerdekaan semenjak AMCJA-PUTERA sehinggalah Perikatan (UMNO-MCA-MIC). Namun ia bukanlah kontrak sosial dalam erti kata yang sebenar mahupun secara ilmiah.
Malah jika pengurniaan kerakyatan terhadap masyarakat Cina dan India dijadikan ‘quid pro quo’ atau timbal balas untuk menuntut kemerdekaan, perkara tersebut telahpun lama selesai. Kemerdekaan telah dicapai dah sudah tentunya atas perjuangan masyarakat Melayu (serta bumiputera lain) dan kesetiaan masyarakat Cina dan India. Usah dipersoalkan perkara ini.
Apa yang diidamkan telahpun dicapai dan tidak wajar perkara ini dibebankan kepada seluruh rakyat lagi. Sejarah bukanlah bebanan untuk masa hadapan, tetapi ia adalah untuk kenangan, pengajaran dan peringatan.
Jika kontrak sosial cuma ilusi dan fantasi, dari mana pula asal dan punca kesemua peruntukan Keistimewaan Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan? Bukankah selama ini ada pihak yang mendakwa bahawa Keistimewaan Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah kerana persetujuan kontrak sosial.
Menjelang kemerdekaan sememangnya terdapat lebih daripada sejuta orang masyarakat Cina dan India telahpun menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Ini kerana mereka kebanyakkannya adalah rakyat Negeri-Negeri Selat. Isu kerakyatan kepada lebih sejuta lagi masyarakat Cina dan India yang berbangkit ketika itu cumalah terhadap mereka yang terutamanya menetap di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Di Perak misalnya semasa era Malayan Union, rakyat Melayu cuma berjumlah 335,000 orang manakala orang Cina berjumlah 450,000 dan India 200,000 orang. Ini membuatkan orang Melayu yang merupakan rakyat asal Sultan dan Negeri Perak menjadi minoriti berbanding etnik lain. Keadaan tersebut menggusarkan Sultan Perak jika rakyat asalnya tidak dilindungi.
Menjelang kemerdekaan, demografi masyarakat Melayu di Tanah Melayu cuma sekitar 48 - 50% daripada 6.3 juta keseluruhan rakyat. Masyarakat Cina pula lebih dari 2 juta dan India sekitar 800,000 orang. Walaupun jumlah masyarakat Melayu adalah yang paling ramai, namun ia bukan majoriti kerana tidak mencapai 51%. Ditambah pula dengan keadaan ekonomi masyarakat Melayu yang teruk akibat sistem pecah dan perintah oleh British, ia menggusarkan pemerintah dan pemimpin masyarakat Melayu.
Akibat kegusaran tersebutlah tercetus Wasiat Raja-Raja untuk melindungi kepentingan ekonomi dan status masyarakat Melayu yang dikhuatiri tergugat ketika itu. Keistimewaan Melayu di Dalam Perlembagaan termaktub hasil daripada Tujuh Wasiat Raja-Raja. Ia adalah dokumen rasmi yang disampaikan oleh Raja-Raja menjelang kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Wasiat tersebut menyentuh tujuh perkara yang kemudiannya dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu:
Wujud perdebatan apakah Kedudukan Istimewa Melayu boleh dikaji semula beberapa tahun selepas merdeka, tambahan pula komposisi demografi, sosial dan ekonomi telah berubah berbanding zaman kemerdekaan. Namun jika benar sekalipun ia boleh dikaji semula, ini cuma tertakluk kepada perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang banyak soal menyentuh ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan awam. Mungkin perkara 153 inilah yang dimaksudkan sebagai ‘kontrak ekonomi’ dan bukannya kontrak sosial menurut Ungku Aziz.
Tetapi enam peruntukan lain yang juga mencerminkan keistimewaan Melayu adalah tetap terjamin dan pastilah tidak wajar untuk dikaji semula selagi mana Raja-Raja, Kerajaan dan masyarakat Melayu mahu ianya kekal sebegitu.
Sudah lebih enam dasawarsa kita berbicara mengenai kontrak sosial sesama rakyat dan kaum. Ianya adalah garis masa yang cukup panjang namun masih juga belum selesai – ad infinitum. Dalam bahasa yang lebih berterus terang, ianya perbincangan yang memusingkan kepala – ad nauseam.
Saya bersetuju dengan Ungku Aziz, tiada kontrak sosial antara kaum. Kontrak sosial antara kaum adalah penekanan yang tidak tepat. Ianya fantasi.
Secara ilmiah kontrak sosial yang sebenar mendefinisikan hubungan antara rakyat dengan pemimpin serta pemerintah. Ia menggariskan hak setiap rakyat dan kuasa serta had batas kuasa pemimpin dan pemerintah. Inilah kontrak sosial yang sebenar.
Seluruh Perlembagaan negara adalah kontrak sosial. Sudah tiba masanya perbincangan kontrak sosial diperluas dan perlu difahami kembali. Sudah tiba masa kita memahami tentang sistem Demokrasi Berparlimen berkonsepkan Raja Berpelembagaan.
Al-Fatihah dan moga dicucuri rahmat ke atas Allahyarham Ungku Aziz.
I rest my case.
Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto hiasan ihsan Malaysiakini
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.