Bintang Tujuh dan Gunung Daik
Adakala di waktu lalu saya mengikut arwah datuk bersampan ke muara sungai untuk memukat ikan. Kebiasaannya kami akan bermalam sungai, di alur-alur kecil dalam hutan paya bakau. Segar dalam ingatan sewaktu berbaring di dalam sampan sambil ditemani cengkerik bernyanyi, saya dapat memandang gemerlap kerdipan ribuan bintang memenuhi langit dari ufuk ke ufuk.
Jika melihat dari pinggir laut mahupun di tengah laut, sememangnya bintang kelihatan memenuhi langit. Mungkin kerana kurang pencemaran – pencemaran udara mahupun pencemaran cahaya.
Ada beberapa perkara yang sempat saya belajar tentang bintang daripada datuk. Pernah satu masa datuk menunjukkan kepada saya gugusan Bintang Tujuh. Di antara tujuh bintang di dalam buruj itu, ada satu bintang yang kelihatan samar-samar. Yang terang cuma enam.
Kerana itu ada pembayang pantun yang berbunyi “Bintang tujuh tinggal enam, jatuh satu di Gunung Daik”. Namun ada banyak variasi lain tentang pembayang pantun bintang tujuh ini, ada yang berbunyi “jatuh satu di telaga Daik” dan “jatuh satu di Majapahit”.
Tetapi saya tertarik dengan versi “jatuh satu di Gunung Daik” kerana menurut kata datuk kerana itu salah satu daripada tiga puncak Gunung Daik telah patah. Sudah tentulah ini cuma cerita rakyat yang tidak bersifat saintifik. Namun cerita rakyat berbeza-beza dari tempat ke setempat, kerana orang di Lingga – lokasi Gunung Daik berada – mempunyai versi mereka sendiri bahawa mengapa puncak ketiga Gunung Daik patah dan langsung tiada kena mengena dengan bintang.
Pleiades
Di dalam ‘bahasa astronomi’ moden yang kebanyakkan etimologinya (asal-usul sesuatu perkataan) datang dari perkataan Yunani (Greece/Greek), gugusan Bintang Tujuh ini dikenali sebagai Pleiades dan Seven Sisters di dalam Bahasa Inggeris. Pleiades adalah sebahagian daripada gugusan bintang yang membentuk buruj Taurus.
Kajian astronomi menunjukkan bahawa Pleiades atau Bintang Tujuh adalah gugusan bintang terbuka (open star cluster) iaitu sekelompok bintang yang terhasil daripada awan molekul gergasi (giant molecular cloud) yang sama. Pleiades didominasi oleh sekelompok bintang-bintang biru yang panas yang terbentuk kurang lebih 100 juta tahun yang lepas.
Pleiades adalah antara gugusan bintang yang terdekat dengan bumi dengan jarak 444 tahun cahaya. Ini bermakna cahaya Pleiades yang kita lihat pada hari ini sebenarnya adalah cahaya yang terhasil lebih dari 400 tahun dahulu dan cuma kini ia baru tiba. Ia adalah cahaya yang sebenarnya terhasil bersamaan dengan tahun Portugis menyerang Kota Johor Lama iaitu pada 1576 dan 1578.
Walaupun kelihatan cuma enam atau tujuh bintang di dalam gugusan Pleiades jika dilihat dengan mata kasar, namun ia sebenarnya mengandungi 250 bintang-bintang kebiruan di dalam kelompok tersebut jika dilihat menggunakan teleskop. Di dalam Bahasa Jepun, Bintang Tujuh atau Pleiades dikenali sebagai Subaru.
Itulah asal usul nama jenama kereta Subaru. Cuba kalian lihat logo kereta Subaru, bintang enam dengan latar belakang biru. Sekarang pasti kalian sudah tahu mengapa, kan?
Di negeri Kedah dan beberapa tempat lain Bintang Tujuh turut dikenali sebagai Bintang Ketika. Nama Ketika bukanlah terkait dengan waktu tetapi berasal daripada perkataan Kartika. Perkataan Kartika berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu Krittika.
Bintang Krittika inilah yang dikatakan terukir di Candi Borubodur, tetapi ia diperdebatkan kerana ada pengkaji yang mengatakan ianya melambangkan tujuh bintang di dalam asterisma Big Dipper. Oh ya, nanti kita akan bincangkan serba sedikit tentang terma asterisma, buruj, dan gugusan. Kisah mengenai Bintang Tujuh atau Pleiades masih belum selesai.
Ada pentafsir yang menyatakan bahawa Surah An-Najm di dalam Al-Quran sebenarnya memaksudkan gugusan bintang Pleiades ataupun Thuraya di dalam Bahasa Arab. Namun ada juga pentafsir yang mengekalkan maksud umumnya iaitu bintang.
Pleiades sangat signifikan di dalam kepercayaan Arab jahiliah – mereka percaya munculnya gugusan bintang Pleiades pada waktu sebelum terbit fajar menandakan berakhirnya musim bencana dan malapetaka. Manakala ketidakmunculannya (kerana faktor pusingan orbit) menandakan bencana pada manusia, ternakan dan pertanian (buah-buahan) tidak subur. Ini seakan seiring dengan kaedah pertanian lama orang-orang Melayu dan Nusantara kerana munculnya Bintang Tujuh menandakan permulaan musim padi, namun sekarang tidak lagi dengan munculnya kaedah pertanian moden – tetapi orang Melayu tidaklah menganggap ianya petanda tuah ataupun malapetaka.
Oleh kerana itu ada ahli tafsir menganggap ayat pertama An-Najm yang bermaksud “Demi bintang (najm) ketika terbenam” bermaksud Pleiades ketika ketidakmunculannya. Ini kerana di dalam surah An-Najm ayat 49 pula Allah berfirman yang bermaksud “Dia-lah Tuhan (bintang) Syi’ra”. Bintang Syi’ra ataupun Sirius adalah bintang yang paling terang kelihatan dari Bumi dan ia disembah oleh masyarakat Arab jahiliah.
Oleh itu bagi sesetengah pentafsir, ayat pertama dan ayat 49 surah An-Najm bermaksud Allah mempertegaskan bahawa bintang tuah dan bintang sembahan mereka itu sebenarnya adalah makhluk Allah.
Penunjuk Arah Kiblat, dan Istilah-istilah Kumpulan Bintang
Semasa dipayungi bintang-bintang di langit, datuk turut sempat mengajarkan atau memberi panduan kepada saya untuk mengetahui arah kiblat. Kata datuk kepada saya, “pandang ke arah Bintang Tiga Beradik.” Bintang Tiga Beradik adalah sejalur asterisma bintang yang di terkenal di Nusantara kerana jalurnya menunjuk ke arah kiblat.
Asterisma Bintang Tiga Beradik turut dikenali sebagai asterisma Belantik. Di dalam ‘bahasa astronomi’ ia dikenali sebagai Orion’s Belt yang merupakan sebahagian daripada Buruj Orion. Di dalam Bahasa Inggeris ia dikenali sebagai Three Kings atau Three Sisters. Di dalam Bahasa Arab tiga bintang tersebut dinamakan sebagai Alnitak, Alnilam dan Mintaka.
Namun begitu apa sebenarnya perbezaan antara gugusan, asterisma, buruj? Malah ada satu lagi istilah di dalam Bahasa Melayu iaitu rasi.
Diantara empat istilah tersebut, gugusan mempunyai makna yang paling longgar kerana ia bukanlah istilah khas astronomi. Secara umum ia bermaksud sekolompok bintang yang dekat diantara satu sama lain jika dilihat dari Bumi. Tetapi jika dimaksudkan kepada gugusan seperti Pleiades, ia boleh bermaksud kluster ataupun kelompok bintang kerana kedudukan sebenar bintang-bintang tersebut di langit sememangnya saling saling berdekatan.
Asterisma atau istilah asalannya asterism pula ialah kedudukan bintang di langit yang kelihatan menonjol dan sejalur (di dalam barisan) jika dilihat dari bumi. Contoh yang sudah kita bincangkan tadi ialah asterisma Tiga Beradik atau Belantik dan asterisma Big Dipper.
Namun ada juga asterisma yang tidak berbentuk lurus atau barisan. Ada asterisma yang membentuk bentuk objek yang mudah seperti segitiga. Namun begitu, asterisma ini boleh sahaja menjadi sebahagian daripada buruj yang lain ataupun tidak.
Buruj pula ialah sekumpulan bintang yang apabila di sambung-sambungkan dalam garisan bayangan (illusory) akan membentuk seperti bentuk objek, manusia ataupun haiwan. Buruj dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai constellation. Ada sekitar 88 buruj bintang yang dikenali dalam astronomi moden pada hari ini.
Membaca tulisan saudari Kartini Jaafar (penyelidik bebas Persatuan Astronomi Pulau Pinang) di dalam satu artikelnya, daripada 88 buruj tersebut, 33 daripadanya telahpun dikenali dalam kebudayaan langit Malayonesia ataupun Austronesia sejak zaman dahulukala. Malayonesia ataupun Austronesia ialah rantau geografi yang meliputi kumpulan manusia yang pribuminya mempunyai persamaan dari segi pertuturan bahasa merangkumi kawasan Nusantara (termasuk Filipina), Kepulauan Pasifik (Micronesia, Melanesia dan Polynesia) sehinggalah ke Taiwan dan Madagascar.
Daripada 88 buruj tersebut, 12 daripadanya telah terpilih sebagai buruj-buruj zodiac. Khabarnya 12 buruj tersebut terpilih kerana ia berada pada ufuk tertentu jika dilihat dari bumi serta terkait ‘laluan’ Matahari di langit (jika dilihat dari Bumi). Ini juga sudah tentu sangat berkaitan dengan laluan orbital atau ekliptika Bumi mengelilingi Matahari. Sebenarnya ada 13 buruj jika menurut disiplin tersebut, namun cuma 12 buruj yang dipilih bagi menyesuaikannya dengan 12 bulan dalam setahun.
Di dalam Bahasa Melayu zodiac dikenali sebagai rasi. Ini kerana amalan menilik selalunya mencari ‘keserasian’ dalam jodoh ataupun setiap tindakan seseorang dengan sekeliling. Di beberapa tempat pula istilah ‘raksi’ terlahir daripada perkataan serasi. Daripada perkataan raksi itulah asalnya perkataan Rasi.
Rasi ini sebenarnya telah lama wujud dalam Dunia Islam meluas mula merangkumi kepelbagaian kebudayaan masyarakat dan etnik, namun begitu amalan ini sebenarnya kontroversi. Walaupun ada hujah yang mengatakan bahawa rasi bukanlah amalan menilik bintang sepertimana pengaruh Pleiades terhadap masyarakat Arab jahiliah – kerana zodiak ini cuma kajian keserasian umum bagaimana buruj-buruj bintang tersebut dapat mempengaruhi sikap dan perangai seseorang manusia – namun pendapat ini tidak saintifik dan cuma bersifat pseudosains.
Begitulah kebudayaan langit masyarakat manusia adakala terkeliru antara astronomi-falak dan astrologi-nujum.
Bintang Paling Terang
Sewaktu fajar kian terang dan matahari hampir terbit, datuk menunjukkan kepada saya Bintang Pagi (Morning Star) ataupun Bintang Timur. Ini kerana ia muncul tatkala malam sudah beransur pagi dan kedudukannya di timur yang hampir dengan kedudukan arah matahari terbit. Satu lagi nama Bintang Pagi ialah Kejora. Kata datuk, Bintang Pagi adalah bintang yang paling terang.
Namun begitu di kemudian hari saya mendapat tahu bahawa Bintang Pagi sebenarnya bukanlah bintang. Walaupun ia adalah bintang yang paling cerah dapat dilihat dari bumi, namun begitu ia bukanlah bintang. Ia sebenarnya ialah planet Venus ataupun Zuhrah.
Sebenarnya terdapat juga beberapa planet lain yang boleh dilihat dari bumi dengan mata kasar seperti Utarid (Mercury), Marikh (Mars), Musytari (Jupiter) dan Zuhal (Saturn). Sebenarnya sudah lama ahli astronomi mengetahui bahawa Bintang Pagi ialah planet Zuhrah. Namun bagi orang biasa, mereka menamakannya sebagai bintang sahaja kerana dilihat dengan mata kasar, memang sukar untuk membezakan ia dengan bintang.
Namun sekarang jika melihat ke langit pada waktu selepas subuh (jika kita berada di Semenanjung Malaysia), agak sukar untuk untuk mengenali Bintang Pagi kerana kewujudan stesen angkasa atau satelit (maaf ya, saya kurang pasti yang mana satu) yang turut mengeluarkan cahaya yang seakan-akan sama. Malah adakala kedudukannya juga terlihat berhampiran.
Tetapi saya terbaca ada ‘petua’ untuk membezakannya iaitu kedudukan Bintang Pagi ataupun Kejora seolah-olah tetap dan tidak banyak bergerak berbanding stesen angkasa atau satelit. Begitulah cara ahli astronomi silam mengetahui bahawa planet-planet lain yang kelihatan dari bumi ialah bukan bintang, iaitu dengan memerhatikan perbezaan pergerakannya di langit.
Namun begitu Bintang Pagi pada beberapa ketika akan kelihatan pada waktu petang pula sebenarnya. Lalu ia dinamakan pula sebagai Bintang Petang (Evening Star). Ini terjadi kerana faktor orbit dan putaran bumi.
Oleh itu walaupun Bintang Kejora adalah objek langit yang ketiga paling terang kelihatan dari bumi selepas Matahari serta Bulan dan dikatakan sebagai bintang yang paling terang, namun ia bukanlah bintang dalam maksud sebenarnya. Jadi, bintang apa yang paling terang sebenarnya?
Ya, sudah tentulah Matahari. Bukankah Matahari juga adalah bintang? Pasti ramai yang ingat, di sekolah kita sudah belajar perkara ini. Namun oleh kerana kita telah terbiasa bahawa Matahari ialah Matahari, maka terpaksalah kita mencari bintang apa sebenarnya yang kelihatan paling terang?
Ya, tadi kita sudah bincangkan nama bintang yang paling terang. Ia adalah bintang Sirius ataupun Syi’ra. Tetapi Sirius cumalah objek yang ketujuh paling terang kelihatan dari bumi selepas Matahari, Bulan, Zuhrah (Bintang Kejora), Musytari, Marikh dan Utarid.
Namun Sirius bukanlah bintang yang paling besar pernah ditemui oleh ahli astronomi. Banyak bintang yang jauh lebih besar berbanding Sirius, namun oleh kerana jaraknya sangat jauh dari bumi, mungkin ia kelihatan sangat kecil.
Jika kalian semua tertanya bahawa bintang apa yang paling besar penah berjaya dicerap oleh teleskop, saya tidak mahu kita membincangkannya. Maaf. Ini kerana penemuan-penemuan baru sering sahaja berjaya dilakukan seiring dengan peningkatan kemampuan teknologi.
Bintang Tamu Supernova
Sejarah juga mencatatkan tujuh bintang tamu yang sangat terang pernah kelihatan dengan mata kasar. Bintang tamu sebenarnya ialah panggilan orang China zaman silam terhadap kejadian supernova. Supernova tu apa pula ya?
Sebenarnya supernova ialah letusan bintang yang menandakan akhir hayatnya. Di dalam rekod masyarakat tamadun China yang silam, supernova dicatatkan sebagai ‘bintang tamu’ (guest star) kerana ia muncul secara tiba-tiba dan cuma bersifat sementara sahaja di langit malam.
Sememangnya supernova yang berlaku adalah lebih daripada tujuh kali. Tetapi ada yang tidak dicatatkan oleh sejarah kerana faktor keterbatasan penglihatan dan mungkin telah berlaku jauh lama dahulu. Mungkin ia berlaku pada zaman dinosaur, oleh itu sukar untuk kita tahu.
Antara supernova yang paling bersinar kelihatan dari Bumi ialah supernova SN 1006. Ia kelihatan pada 30 April hingga 1 May tahun 1006 masihi. Ali bin Ridwan iaitu ahli astronomi Islam dari Mesir telah mencatatkan peristiwa tersebut, beliau menyatakan langit malam menjadi terang kerana supernova tersebut malah saiznya melebihi daripada seperempat saiz Bulan.
Walaupun cahaya supernova SN 1006 cuma muncul di Bumi pada tahun 1006 masihi, namun sebenarnya letupan bintang tersebut telah berlaku jauh lebih lama dahulu. Ini kerana jarak bumi dengan bintang yang meletup itu ialah sekitar 7200 tahun cahaya.
Peristiwa ini turut dicatat di dalam dokumen-dokumen sejarah Tamadun Song serta catatan oleh Zhou Keming di China, catatan rahib dari Switzerland dan terdapat beberapa lagi catatan lain. Menurut ahli astronomi moden, cahaya yang terang sebegitu sebenarnya turut mampu dilihat pada siang hari.
Ada beberapa pendapat yang cuba mengaitkan Mahapralaya Kerajaan Medang di Jawa dengan perstiwa supernova SN 1006. Medang atau turut dikenali sebagai Mataram mengalami malapetaka besar (mahapralaya) sekitar zaman tersebut.
Kerajaan Medang dikatakan mengalami malapetaka perperangan, gempa bumi dan tsunami tatkala itu. Namun menurut sesetengah pendapat isitilah mahapralaya itu bersifat bersifat misteri dan ia mungkin juga mempunyai kaitan dengan supernova SN 1006. Namun pendapat ini tidak disokong oleh catatan yang jelas tentang keberadaan objek yang sangat terang di langit.
Begitulah bintang di akhir hayat, pergi dengan letusan yang gilang gemilang. Begitulah bintang dahulu kala menjadi sembahan dan tilikan, namun pada satu sisi lain ia menjadi pedoman terutamanya di dalam pelayaran dan petanda keagungan Tuhan. Malah bintang menjadi lambang keunggulan, kemasyhuran dan kegemilangan.
Bukan sekadar itu bintang turut menjadi manisfestasi kesenian, keindahan dan percintaan. Bak nyanyian Yuna “Terukir di bintang, Tak mungkin hilang cintaku padamu…”
I rest my case
Rizuan Abdul Hamid berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.
Foto: Geologic
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.