Ujang, Harimau Menangis, dan Harta Intelek

Ujang, Harimau Menangis, dan Harta Intelek

Jika diingati, ada dua benda yang bagi kesan kepada rakyat Malaysia baru-baru ni. Bukan, ini bukan tentang Arwah Adik Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, anak Syurga yang meninggal di Jasin, Melaka tu. 

Tetapi pasal pemergian bekas kartunis Majalah Ujang, Allahyarham Roslan Kassim yang popular dengan gelaran ‘Petai’ dan dikenang sebab hasilkan naskah padu macam kartun Dukun Petai dan Majalah Apo?. 

Dan satu lagi, sudah tentulah kes emak Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed yang dengan confident menghebahkan pada semua orang, niatnya untuk buat permohonan trademark (daftar cap dagang) Harimau Menangis melalui Syarikat Noor Khan Enterprise, sehingga heboh satu Malaysia. 

Gimik Pemasaran dan Nostalgia Majalah Ujang

Memang dia sudah batalkan permohonan itu, tetapi satu perkara yang jelas, walaupun teruk dikecam dengan warganet - hal yang berlaku ini sudah melariskan perniagaannya. Senang cerita, gimik pemasarannya padu lah, walaupun dengan cara yang kurang molek. 

Senang sahaja dia viralkan produk baru dia. Cetus kontroversi, kemudian sekarang satu Malaysia tahu dia jual daging Harimau Menangis. Bila kecoh sahaja isu ini, dengan penuh semangat semua ejen jualan promosikan iklan Harimau Menangis dalam group Facebook dan Whatsapp dengan yakinnya.

Tetapi bila sebut hal cap dagang ni, sudah tentu nostalgia kes pengasas Majalah Ujang, Ibrahim Anon aka Kartunis Ujang pula menggamit memori kita. Macam yang kita tahu, dahulu Ujang ini antara yang menjadi jutawan disebabkan komiknya yang jadi fenomena sampai ke negara jiran. 

Malangnya, semua karya atau lukisannya dipatenkan oleh pemilik bersama syarikat tu sebagai harta intelek.

Hal ini menyebabkan Ujang tidak boleh lagi mengambil mana-mana bahagian dalam majalah itu untuk dicetak semula dalam sebarang bentuk sama ada cetakan, penukaran, penyamaran, edaran, penyerahan atau mempamerkan dalam media cetak, digital dan pelbagai lagi tanpa kelulusan. Walaupun dia adalah pengasas dan pernah jadi pemilik besar syarikat tu, tetapi disebabkan dia tidak mempunyai hak milik pada harta intelek syarikat itu, maka dia tidak boleh terbitkan balik sesuka hati dia. 

Ujang kemudian terpaksa terbit beberapa majalah baru - Varia Lawak, Lanun dan Lubuk, sambil turun naik mahkamah dan menanggung kerugian sebanyak jutaan ringgit. Akhirnya, kartunis legenda tu diisytiharkan muflis, sebelum mengambil masa yang lama untuk bangkit semula. 

Kes Harimau Menangis dan Majalah Ujang ni memberikan kesedaran kepada kita semua tentang pentingnya menjaga hakcipta.

Antara Daftar Paten, Cap Dagang dan Harta Intelek

Untuk memahami isu ini, kita kena faham dahulu beza paten dan cap dagang. Di Malaysia, harta intelek boleh didaftarkan melalui permohonan yang dibuat kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), iaitu badan yang terlibat bagi urusan pendaftaran dan pentadbiran berkaitan harta intelek.

Di bawah Akta Paten 1983, paten ialah dokumen yang kita dapat apabila berjaya hasilkan sesuatu ciptaan baru, sama ada dalam bentuk produk atau proses. Daftar paten adalah satu kaedah untuk kita mendapatkan hak ekslusif terhadap produk atau proses baru tu. 

Jadi, orang lain tidak boleh salah guna perkara yang kita patenkan itu, sebab ia dilindungi undang-undang. Tetapi, tempoh perlindungan paten ini hanya 20 tahun sahaja dari tarikh difailkan, jadi bukanlah selama-lamanya kita ada hak.

Sementara itu, di bawah Akta Cap Dagang 2019, daftar cap dagang ini macam logo atau jenama yang kita daftarkan untuk kita guna terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan bagi tujuan perniagaan. Daftar cap dagang ini pula kena diperbaharui setiap 10 tahun. 

Bukan setakat logo, bau dan bunyi pun boleh didaftar sebagai cap dagangan. Tetapi tidak semudah manalah, sebab ada beberapa prosedur dan kriteria yang perlu dipenuhi.

Contohnya, syarikat Hisamitsu Pharmaceutical Co. dari Jepun mendaftarkan bau pelekat Salonpas. Syarikat dari Amerika Syarikat, Metro-Goldwyn-Mayer Lion Corp pulak mendaftarkan bunyi ngauman singa yang selalu kita tengok setiap kali filem atau kartun hendak mula. 

Teringat pula pada watak ‘Selebet’ dalam kartun ‘Usop Sontorian’ dulu. Suaranya memang lain macam...

Bolehkah Halang Orang Lain Pakai Nama Produk Yang Guna Istilah Harian?

Antara persoalan yang ramai orang selalu tanya, bolehkah kita daftarkan nama guna istilah harian macam kambing perap atau ayam panggang untuk dijadikan hak cap dagangan?

Ada banyak sebenarnya kes pasal daftar cap dagang ni. Antaranya dua kes yang boleh kita rujuk. 

Satu, kes Shizens Cosmetic Marketing (M) Sdn Bhd v. LVMH Perfumes and Cosmetics (M) Sdn Bhd, Civil Suit No: WA-24IP-21-11/2017 (Mar. 19, 2019). Dalam kes ini, hakim tegaskan bahawa istilah ‘Lip Tattoo’ bukan perkataan harian atau am, jadi Plaintif berhak untuk guna secara ekslusif jenama tu.

Tapi, dalam kes Ooi Siew Bee & Ors v. Zhu Ge Kong Ming Sdn Bhd [2020] 1 LNS 261, hakim dalam kes ini menetapkan satu prinsip undang-undang yang jelas dan signifikan. Dalam kes ni, perkataan ‘Huan Zhai Jin’ (membayar hutang) diputuskan sebagai perkataan harian yang digunakan oleh banyak pihak dalam upacara sembahyang orang Cina. Jadi, mahkamah putuskan bahawa perkataan harian atau perkataan am tak boleh diberikan hak cap dagangan, untuk elakkan peniaga lain atau orang awam dizalimi. 

Sama juga halnya dengan kes daging Harimau Menangis tadi, MyIPO mesti tidak akan luluskan nama itu untuk jadi hak ekslusif Datin Kartini, sebab sudah terlalu ramai orang yang jual daging yang sama, sampai sudah boleh masuk kategori jadi monopoli kalau dia saja yang ada daftar cap dagang tersebut. 

Dah tentulah nanti ramai peniaga kecil-kecilan akan kena saman dengan pemilik cap dagangan daging Harimau Menangis, kalau MyIPO luluskan pendaftaran dia. Isy! Tak patut… tak patut.

Tentang Orang Kita dan Kesedaran

Walaupun isu sebegini menimbulkan polemik dalam kalangan warganet, kalau kita tengok dari sudut positif, kesedaran untuk melindungi harta intelek berjaya diterap dalam masyarakat negara Malaysia tercinta ini. Tetapi, macam biasalah, harap kesedaran ni bukannya bermusim.

Berbalik pada hal daging Harimau Menangis ni, mungkin ada pula yang tanya kenapa mahal sangat? Jawapannya adalah kerana dalam seekor lembu, bahagian daging Harimau Menangis ini terlalu sedikit. Dalam 1kg ke 1.5kg saja. Kalau nak makan pun, terpaksa tempah dengan tukang sembelih atau penjual daging segar. 

Dan Harimau Menangis ni bukanlah sejenis resepi pun, tetapi bahagian daripada lembu - ada yang kata sama dengan daging Batang Pinang (Short Loin/Beef Tenderloin), ada jugak yang sebut dekat dengan daging Batang Pinang tapi belah bawah/pinggang (Sirloin). Tidak kurang juga yang jelaskan Harimau Menangis tu sebenarnya kat bahagian dada antara dua kaki depan lembu (Point Cut Brisket).

Yang pasti, daging kat bahagian itu dikatakan paling empuk, lembut, sedap dan mudah masak sebab otot bahagian kaki tu paling kurang bergerak. Yang jadi lagi sedap apabila diperap dengan sos pencicah yang pedas-pedas manis. Terangkat, beb!

Apa pun, satu benda menarik yang kita semua kena tahu adalah orang asal Kelantan tidak guna istilah daging Harimau Menangis atau daging batang pinang. Sebaliknya mereka gunakan istilah ‘daging musir’. Lembu punya daging, harimau jugak yang dapat nama!

Che Din adalah seorang blogger sukan yang sukakan sejarah; seorang 'history buff'. Penyokong Merah Kuning ini juga seorang pengumpul tegar jersi langka Liga-M.

Foto: Seriouseats

Share this Post: