Tragedi Yang Tidak Pernah Sepi

Tragedi Yang Tidak Pernah Sepi

Aku bangun daripada kerusi, berjalan ke arah suis lampu yang terletak membelakangi meja kerja. Memang itu kebiasaan di pejabat, memadam lampu pada waktu rehat tengah hari. Aku berpaling untuk duduk kembali. Ternampak Nisrin sedang memandang tepat ke muka aku. Terus aku bertanya “Kenapa, aku ada buat salah ke?”

“Aku nak membaca” Nisrin menjawab pendek. Aku lihat ada buku di tangannya. Aku terus berpatah balik untuk membuka suis lampu bahagian tengah, bahagian tempat duduk Nisrin sambil mengucapkan maaf walaupun aku merasakan tidak melakukan apa-apa kesalahan. Tidak mengapalah jika adakala ia membuatkan hati kawan-kawan menjadi senang.

Nisrin memang agak gemar membaca untuk mengisi ruang senggang. Tapi kali ini buku yang dipegangnya terlihat seakan novel. Aku pun duduk kembali dan tidak mahu ambil pusing, menongkat dagu sambil memejam mata – tidur-tidur ayam.

Entah beberapa minit kemudian aku terdengar seakan-akan ada orang berjalan menghampiri. Kemudian sayup-sayup seperti ada suara yang berkata-kata, tapi aku masih tidak membuka mata. Terasa umpama mimpi sahaja. Namun suara itu makin lantang “Kau pernah baca novel Hamka tak?”. Aku terkejut dan terus membuka mata, rupanya Nisrin yang bertanya.

“Hamka? Ada juga.” Aku membalas pendek dan tergamam. Memang ada juga beberapa tulisan Hamka yang aku baca dan simpan termasuk dua novelnya iaitu ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ dan ‘Di Bawah Lindungan Ka’bah’. Tetapi kedua-dua novel tersebut sudah lama dahulu aku baca.

Nisrin yang semenjak tadi memandang muka aku meneruskan pertanyaannya “Pernah baca ‘Di Bawah Lidungan Ka’bah’ tak?”

“Pernah” jawab aku lalu terus menyambung dengan penjelasan “Tapi dah lama-lah Nisrin. Sudah ingat-ingat lupa.”

“Aku baru baca separuh. Tapi jalan ceritanya sedih……” belum habis Nisrin menjawab aku pun menambah “Memang cerita tu dari awal sampai hujung sedih dan tragik. Kisah ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ pun nak sama juga.” Nisrin terdiam, reaksi mukanya penuh tanda tanya. Suasana senyap seketika.

Aku kembali berbicara “Aku pun tak pernah terfikir sebelum ini. Tapi rasanya kedua-dua novel Hamka tu mungkin bergenre tragedi.”

“Tragedi?” tanya Nisrin dan terus aku menjawab “Aku sendiri pun tak pasti dan tak pernah pula aku baca kritikan terhadap novel-novel Hamka yang menyebut tentang perkara ini. Cuma seingat aku tulisan Hamka ini ada persamaan dengan novel tulisan Ernest Hemingway dan Naguib Mahfouz.” Aku mengimbau dan cuba mengingati kembali buku-buku (Ernest) Hemingway yang bertajuk ‘For Whom the Bell Tolls’ dan ‘The Old Man and the Sea’ serta tulisan Naguib (Mahfouz) ‘Midaq Alley’ dan ‘The Beginning and the End’ terjemahan Bahasa Melayu yang pernah aku baca.

Raut muka Nisrin masih seumpama penuh tanda tanya. Dia bersuara lagi “Tragedi tu maksudnya jalan kisah yang tragik? Memang jalan ceritanya sedih. Tapi bukan ke novel ni menceritakan percintaan yang secara halus mengkritik adat-adat yang ketinggalan?”

“Betul apa yang kau cakap.” Aku mengiyakannya dan menambah “Tapi ada perbezaan antara genre dan tema. Kita ambil cerita Star Wars jadi contoh, genrenya sci-fi atau sains fiksyen. Tapi bertemakan percintaan, setiakawan, perjuangan dan sebagainya.”

Genre adalah olahan gaya seni yang tersendiri terhadap bentuk penceritaan seperti tragedi, komedi, satira, fiksyen, non fiksyen, penyiasatan, dokumentari dan sebagainya. Tema pula ialah jalan cerita, motif atau topik yang disentuh atau dibincangkan seperti percintaan, perjuangan, pembebasan, kesetiaan dan lain-lain lagi. Olahan seni dan tema ini boleh disampaikan melalui penulisan, persembahan teater mahupun di layar televisyen.

“Jadi kau nak samakan genre karya Hamka seperti Ernest Hemingway dan …..” Nisrin seperti mahu mengingat kembali nama yang aku sebutkan tadi. Aku menolongnya “Naguib Mahfouz.”

“Tak pernah dengar nama tu.” Nisrin tersenyum lantas bertanya kembali “Penulis dari mana?”. “Mesir.” Jawab aku.

Ernest Hemingway adalah penulis kelahiran Amerika Syarikat, lahir pada 21 Julai 1899 dan meninggal pada 2 Julai 1961. Naguib Mahfouz pula dilahirkan di Mesir pada 11 Disember 1911 dan meninggal pada 30 Ogos 2006. Hamka pula berusia sekitar tiga tahun lebih tua berbanding Naguib dan lebih muda berbanding Hemingway.

Hemingway dianugerahkan Nobel Prize kesusasteraan pada 1954 manakala Naguib pula menerimanya pada tahun 1988. Anugerah ini tentu sahaja mengangkat hasil karya mereka berdua. Terutamanya Naguib, ada karyanya yang telah dilarang atau ‘digam’ dan cuma benar-benar dihargai dunia arab dan di negaranya sendiri setelah beliau dianugerahi Nobel Prize.

Naguib sendiri telah melalui masa-masa sukar dan pernah menerima ancaman bunuh setelah menghasilkan novel bertajuk ‘Children of Gebalawi’. Di usia tua pada tahun 1994 beliau pernah diserang dan ditikam di bahagian leher namun beliau terselamat.

Hemingway pula terlibat dan ada peranan langsung di dalam Perang Dunia pertama serta kedua dan Perang Saudara Sepanyol. Pada Perang Dunia pertama beliau terlibat sebagai pemandu ambulans di Itali. Pada Perang Saudara Sepanyol pula beliau bertindak membuat laporan untuk sebuah akhbar. Pada Perang Dunia kedua pula menyaksikan beliau terlibat sebagai perajurit.

Mungkin kesusahan dan kepayahan yang dilalui dalam pengalaman hidup mereka telah membuatkan mereka sangat mahir untuk menghasilkan penulisan berbentuk tragedi.

“Bagaimana nak membezakan karya tragedi dengan karya fiksyen atau non fiksyen lain yang mempunyai unsur-unsur sedih?” kumandang suara Nisrin lagi.

“Aku sendiri pun tak mahir. Tapi selalunya novel tragedi akan dipenuhi dengan kisah tragik dan berakhir dengan kematian hero atau heroine-nya. Tema sedih pula selalunya akan diisi dengan beberapa babak sedih sahaja, namun selalunya berakhir dengan happy ending.”

Aku menyambung “Di dalam ‘For Whom the Bell Tolls’, kita boleh membaca tentang kisah malang yang bertimpa-timpa. Kekasih kepada heronya telah mengalami kehidupan yang tragik, ibu bapanya telah dihukum bunuh malah dia telah diperkosa oleh musuh.”

For Whom the Bell Tolls’ adalah penulisan Hemingway tentang kisah rekaan yang diilhamkan pengalaman beliau semasa terlibat dengan Perang Saudara Sepanyol. Di dalam review yang asal oleh majalah Time ada dinyatakan novel tersebut sebagai “a grave and sombre tragedy of Spanish peasants fighting for their lives.

Sebagai pembuka kata buku tersebut Hemingway mencatatkan puisi oleh John Donne yang merujuk kepada amalan membunyikan genta oleh gereja apabila berlaku kematian. Sedikit dari puisi tersebut dicatatkan sebagai “And therefore never send to know for whom the bell tolls; It tolls for thee.” Daripada puisi inilah terilham tajuknya. Namun ada beberapa pendapat yang menyatakan bahawa karya Hemingway bertajuk ‘A Farewell to Arms’ lebih memenuhi karakteristik sebuah karya tragedi.

“Buku Naguib pula macam mana?” Nisrin seperti sangat berminat untuk tahu.

“Di dalam novel ‘The Beginning and the End’ Naguib menceritakan tentang kisah satu keluarga, ibu dan anak-anaknya yang miskin di Kaherah. Hidup mereka yang sedia malang bertambah susah dengan kematian suami yang juga bapa kepada anak-anaknya. Kemudian setiap orang daripada mereka terlibat dengan konflik kebendaan dan moral yang sangat menyedihkan.”

Aku menambah lagi “Aku ingat sangat pengakhiran kedua-dua novel tragedi itu. Babak akhir ‘For Whom the Bell Tolls’ mendebarkan dan dan keheningan suasananya dapat dirasai. Kita tidak tahu sama Robert Jordan yang sepi, lesu dan tercedera itu selamat atau tidak daripada serangan musuh.”

Keinginan Nisrin untuk tahu bertambah “Dia kena tembak!? Dia mati ke?”. “Aku tak tahu. Kau kena baca sendiri.” Jawab aku dengan nada mendatar. Dahi Nisrin kelihatan berkerut, bibirnya sedikit mencebik. Kemudian aku menyambung “Kau rasa dia terselamat? Mungkin Hemingway mahu pembaca mencipta sendiri babak penamat. Macam teori iceberg yang pernah dia sebut.”

“Macam itu juga dengan watak utama ‘The Beginning and the End’, kalau tak silap aku Hasanein namanya. Dia seumpama sedih dan kesal dengan hidupnya sambil berdoa sayu di atas busur jambatan yang merentangi Sungai Nil.” Aku menyambung lagi “Zainuddin pula, protagonis dalam cerita Hamka ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ juga berakhir sayu setelah mengalami kesusah-payahan hidup akibat pertembungan adat, kematian ibu semenjak dia kecil, malah hilang kekasih tidak kesampaiannya di dalam peristiwa kapal karam yang sangat tragik.”

Begitulah sedikit sebanyak tentang karekteristik karya tragedi yang dimulakan semenjak zaman Greek kuno lagi diantaranya oleh Aeschylus, Sophocles dan Euripides di dalam drama mereka. Malah (William) Shakespeare juga ada menghasilkan karya tragedinya yang hebat seperti Hamlet.

Walaupun beberapa karya tragedi dan wira tragik moden seumpama karya Hemingway, Naguib atau Hamka dikatakan tidak memenuhi beberapa karakteristik yang digariskan oleh Aristotle di dalam ‘Poetics’ dan (Georg Wilhelm Friedrich) Hegel, namun perasaan pembaca terhadap tragedi itu tetap wujud dan menebal. Sementelahan di dalam karya tragedi moden seperti Hemingway, Naguib atau Hamka, mereka cuma menceritakan latar marhaen dan hero tragik yang miskin dan sangat dekat di hati pembaca. Ia tidak seperti genre tragedi klasik – malah Hamlet oleh Shakespeare – yang menggunakan latar bangsawan, kerabat diraja, kayangan dan dewa.

“Sedih. Itu rupanya olahan tragedi. Jadi pengakhiran ‘Di Bawah Lidungan Ka’bah’ ni lebih kurang macam tu juga ke?” Tanya Nisrin sambil mengangkat novel miliknya itu untuk ditunjukkan kepada aku.

“Kau bacalah sendiri. Kalau aku cerita nanti jadi tak surprise-lah. Hilang kejutan. Lepas tu nilai sendiri, tragedi atau tidak?”

Tetapi Nisrin masih bertanya seumpama masih tidak berpuas hati “Hamka adalah seorang ulama. Bagaimana dia boleh terpengaruh dengan penceritaan tragedi yang mengisahkan tentang nasib malang yang bertimpa-timpa?”

“Itu aku tak tahu. Namun Hamka menceritakan latar kesusahan hidup pada zamannya dan apa yang dilaluinya sendiri. Masyarakat ketika itu susah dan miskin dan bertarung dengan takdir dan keadaan sosial mereka. Malah zaman itu adalah zaman perang. Nasib yang sama juga pasti dialami oleh Naguib dan Hemingway. Mungkin Hamka tidak percaya kepada nasib malang yang bertimpa-timpa. Tapi sebagai orang yang arif agama, Hamka pasti percaya dan berpegang kepada konsep ujian.” Sekadar itu penjelasan aku.

“Betul juga ya. Memang ada orang yang diuji sebegitu berat di dalam kehidupan mereka.” Nisrin seumpama sugul.

Aku menambah “Mungkin kisah Hemingway yang paling tragik dan berakhir tragedi. Dia mati dengan menamatkan nyawanya sendiri.”

Pada tugu peringatan Hemingway tercatat eulogy:

“Best of all he loved the fall
the leaves yellow cottonwoods
leaves floating on trout streams
and above the hills
the high blue windless skies
…Now he will be a part of them forever.”

Ini adalah bait-bait eulogy ciptaan Hemingway sendiri yang didedikasikan kepada kawan-kawannya. Tetapi eulogy itu juga adalah yang terbaik bagi mengenang dirinya sendiri setelah beliau pergi.

Forget me not.

Rizuan Abdul Hamid adalah seorang yang berasal dari Ipoh dan telah lama berhijrah mencari rezeki dan pengetahuan di Lembah Klang. Beliau adalah homo sapiens yang cuba menjadi insan.

*Segala watak dan situasi dialog adalah rekaan semata-mata dan tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang sudah tiada. Namun segala mesej dan informasi yang disampaikan adalah benar sekadar kemampuan penulis. *

Foto: Corbis / Getty Images

 

Share this Post: