TOMATO DAN ORANG ITALI

TOMATO DAN ORANG ITALI

Tomato, bahan asas untuk piza dan pasta, dua hidangan utama masyarakat Itali yang tidak asing lagi. Dua hidangan ini bahkan menjadi kebanggaan mereka serta terkenal di seluruh pelosok dunia.

Tomato memainkan peranan yang besar dalam kedua-dua hidangan ini. Daripada sos tomato, perbezaan halus dalam rasa, warna dan tekstur dalam setiap hidangan dapat dirasakan dan mampu memberi tanggapan yang berbeza terhadap sesuatu hidangan.

Tomato merupakan sumber vitamin C, potassium, folat dan vitamin K yang hebat. Tomato juga kaya dengan lycopene iaitu bahan yang bertanggungjawab dalam memberi warna merah kepada tomato.

Lycopene adalah antioksidan semula jadi yang hebat serta mempunyai pelbagai manfaat kesihatan termasuklah mampu mengurangkan risiko penyakit jantung dan risiko kanser.

Tomato bersaiz sederhana hanya mempunyai kira-kira 22 kalori di dalamnya yang menjadikan tomato makanan diet yang sempurna.

Tetapi tahukah anda?

Penggunaan sos tomato dalam pasta adalah inovasi yang agak baru iaitu hanya bermula pada akhir abad ke-19.

Tomato berasal dari Itali?

Pengenalan tomato dalam hidangan Itali yang agak lewat itu membuktikan bahawa tomato sebenarnya bukan berasal dari Itali.

Tomato pertama kali ditemui oleh penakluk berbangsa Sepanyol semasa meneroka dan kemudian menakluki benua Amerika. Tomato berkemungkinan besar berasal dari pergunungan Andes Peru dan kemudiannya ditemui di kebanyakan bahagian Amerika Selatan, Amerika Tengah sehingga ke Mexico.

Tomato mula memasuki Itali pada tahun 1548, dengan sambutan yang dingin. Sama seperti terung, tomato mengambil masa beratus-ratus tahun untuk menjadi bahan yang diterima dalam diet Itali kerana tomato dan terung dipercayai boleh memberi kesan yang tidak baik kepada badan.

Sehingga awal abad ke-18, tomato mula mendapat tempat dalam diet Itali disebabkan faktor perubahan budaya dan amalan pemakanan masyarakat Itali ketika itu.

Kemajuan dalam sains pemakanan pada ketika itu telah membuktikan bahawa tomato, apabila dimasak dan disediakan dengan betul, boleh menjadi sumber nutrisi penting yang mampu membantu penghadaman makanan.

Dan akhir sekali, pada abad ke-19, tomato berkembang pesat menjadi simbol penyatuan masakan Itali, dan kekal sehingga ke hari ini.

Pelbagai jenis tomato

Hari ini, di kebanyakan negara, tomato hanyalah tomato. Tetapi tidak di Itali. Di sini, tomato bukan sekadar tomato.

Terdapat pelbagai jenis tomato dan setiap satunya mempunyai nilai rasa, perbezaan dan fungsi yang tersendiri dalam masakan Itali.

Sebagai contoh, ada jenis tomato yang terbaik untuk dijadikan salad dan ada jenis tomato yang terbaik untuk dijadikan sebagai sos tomato dan lain-lain jenis masakan lagi.

Antara jenis tomato yang popular di Itali adalah tomato Roma, tomato San Marzano, tomato cherry, tomato Campari, tomato Santorini, tomato Camone, tomato Cuore Di Bue, tomato Datterino, tomato Pachino, tomato Di Manduria dan tomato Pomodoro.

Dalam pelbagai jenis tomato yang tersenarai ini, tomato San Marzano, tomato plum yang panjang berwarna merah terang, memiliki rasa halus, hampir tiada biji dan sedikit pahit ini dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai “Raja Tomato”.

Berjuta-juta tomato San Marzano digunakan setiap hari bagi menghasilkan sos piza yang sempurna di seluruh dunia.

Walaupun tomato San Marzano biasanya digunakan dalam pelbagai jenis hidangan Itali, tomato ini telah ditetapkan sebagai satu-satunya jenis tomato yang boleh digunakan untuk Vera Pizza Napoletana, iaitu piza asli Neapolitan.

Tomato adalah satu pertiga daripada seluruh jiwa Itali.

Ada yang mengatakan bahawa 3 warna bendera Itali mewakili bukit-bukit di Itali dengan warna hijau, gunung yang dilitupi salji dengan warna putih dan darah yang tertumpah dari perang kemerdekaan dengan warna merah.

Menariknya, ada pendapat lain yang mengatakan bahawa hijau adalah untuk pesto, putih untuk sos besciamella dan merah untuk tomato − ketiga-tiga bahan ini terdapat dalam satu hidangan lasagna tiga warna.

Selain itu, ada juga yang mengatakan bendera itu mewakili salad caprese yang ringkas tetapi indah − hijau untuk basil, putih untuk mozzarella, dan merah untuk tomato.

Itali tanpa tomato?

Tidak sempurna.

Syarmila Ishak merupakan anak Kedah yang mahu rantau seluruh dunia dan minat membaca novel tentang kehidupan atau apa-apa sahaja bacaan yang memberi inspirasi.

Rujukan:

http://www.grandvoyageitaly.com/piazza/how-the-tomato-became-part-of-italian-culture

https://www.ferraroslasvegas.com/what-was-italian-food-like-before-tomatoes/

https://scholarblogs.emory.edu

https://www.tasteatlas.com/most-popular-tomatoes-in-italy

kredit foto: tuscookany.com

Share this Post: