Tiga Taktik Scam yang Selalu Menjerat Orang Kita

Tiga Taktik Scam yang Selalu Menjerat Orang Kita

Scam bermaksud sejenis aktiviti yang berlaku dengan cara menampilkan sesuatu perkara atau tawaran seolah-olah benar, tetapi hakikatnya hanyalah siri penipuan semata-mata untuk mendapat wang atau harta mangsa secara licik.

Scammer boleh bergerak secara kumpulan ataupun secara individu, dan selalunya mahir dalam memainkan emosi mangsa dengan membuat persediaan awal seperti stalking dan mempelajari latar belakang serta gerak-geri mangsa.

Di sini adalah tiga cara yang biasanya digunakan scammer dalam membuat kerja menipu terutama sekali melalui taktik kotor akaun palsu untuk menipu mangsa:

Phising

Scammer mencipta sebuah laman web bank palsu yang menyerupai laman web asli bank tempatan. Mangsa yang tidak menyedari perbezaan antara palsu dan asli akan melayari laman palsu termasuk cuba mendaftar masuk ke akaun mereka dengan menggunakan ID, kata laluan berserta nombor TAC yang diminta.

Scammer di belakangnya akan menerima maklumat mangsa (ID, kata laluan dan TAC tersebut) melalui laman web bank palsu dan menggunakan maklumat tersebut untuk mendaftar masuk ke dalam laman web bank yang sebenar.

Dari sini, wang mangsa akan dipindahkan ke akaun ketiga atau ke beberapa akaun yang berbeza secara atas talian supaya lebih sukar untuk dijejaki.

Untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa kepada taktik phising ini, hati-hati apabila mendaftar masuk ke laman web bank yang dihantar melalui emel atau telefon. Baca pautan atau link laman web tersebut dengan teliti dan bandingkan dengan yang boleh dicari melalui enjin carian seperti Google. Contohnya adakah ia mempunyai https://... ataupun teliti perbezaan font yang digunakan pada pautan dan laman web tersebut.

Email Hijack

Syarikat A biasanya berurus niaga melalui emel dengan syarikat B. Sindiket (sekumpulan scammer) mencipta sebuah email yang mirip dengan syarikat A dan menyamar sebagai mereka untuk menghantar emel berkaitan urusan transaksi wang ke syarikat B.

Syarikat B yang tidak menyedari emel palsu tersebut, membuat bayaran kepada akaun bank yang ditetapkan oleh sindiket tersebut. Anggota sindiket juga akan berlakon seperti agen khidmat pelanggan dan mengesahkan transaksi – supaya kedengaran lebih profesional dan seakan tulen.

Sindiket yang menyamar sebagai syarikat berkaitan kemudian akan memindahkan wang mangsa secara atas talian ke akaun ketiga. Sindiket tersebut turut akan mengeluarkan wang secara tunai dan dimasukkan dalam beberapa akaun lain dalam kalangan kumpulan scammer sendiri. Scammer ini kemudiannya akan pindahkan wang mangsa ke akaun lain seperti Western Union Money Transfer melaui kaunter bank ataupun perbankan atas talian.

Sebagai langkah pencegahan, pekerja yang mengendalikan transaksi syarikat perlu membiasakan diri membuat pengesahan dengan teliti seperti menelefon ke syarikat yang berkaitan dengan urusan, selain menyemak nombor akaun syarikat yang berurusan yang selalunya disimpan dalam rekod.

Love scam

Mangsa berkenalan dengan scammer melalui media sosial dan biasanya scammer akan mencipta akaun palsu dengan menggunakan gambar perempuan seksi ataupun lelaki kacak mengikut jantina mangsa yang menjadi sasaran.

Scammer akan belajar mengenai latar belakang dan gaya kehidupan mangsa. Contohnya, individu yang baru memutuskan hubungan perkahwinan, pertunangan atau percintaan dengan kekasih yang mungkin dilihat kesunyian dan sedang mencari teman hidup.

Scammer akan bermula dengan mainan psikologi seperti menggunakan kata-kata manis dan pujian untuk mengambil hati mangsa, sehingga hubungan tersebut  dipercayai dan mulai dianggap sebagai rakan atau teman, dan di sinilah terciptanya peluang untuk scammer dipercayai oleh mangsa.

Mangsa akan dijanjikan dengan tawaran barangan seperti kiriman hadiah dari luar negara yang bernilai tinggi, tetapi kiriman tersebut ditahan oleh kastam. Mangsa kemudian akan diminta oleh scammer untuk melangsaikan bayaran tertentu agar kiriman tersebut boleh dilepaskan oleh kastam dan seterusnya dihantar kepada mereka.

Mangsa yang terpedaya dengan janji-janji manis oleh scammer selalunya akan membuat bayaran kepada akaun bank yang telah dicipta. Selepas membuat pembayaran tersebut, scammer akan mencari alasan seolah sibuk dengan kerja dan menghilangkan diri. Selepas beberapa hari menunggu, kiriman yang dijanjikan tidak wujud dan baharu mangsa sedar telah ditipu.

Untuk mengatasi love scam ini, jangan terlalu mengikut perasaan dan terlalu mudah mempercayai kenalan baru yang hanya dikenali dalam masa singkat melalui media sosial. Elakkan perasaan tamak kerana inginkan habuan yang bernilai tinggi seperti dijanjikan, sehingga sanggup membayar dengan wang sendiri kerana melihat nilai habuan yang begitu menguntungkan.

Scammer hanya berjaya menipu akibat kecuaian mangsa yang terlalu mengambil mudah dan senang mempercayai seseorang yang asing sehingga kelabu mata. Kita harus berhati-hati dan sentiasa menyemak dengan teliti setiap perkara sebelum melakukan sesuatu yang melibatkan perkara sensitif seperti wang ataupun harta.

Adam Hafiz @ Lester Tan adalah seorang pengamal hidup aktif dan pemerhati isu semasa berkaitan budaya popular dan ekonomi digital. Berasal dan membesar di Bukit Mertajam, beliau kini berkhidmat bersama Penggerak Komuniti Pulau Pinang.

Foto: Getty Images

Share this Post: