Tiga Jari Buat Maha Vajiralongkorn

Tiga Jari Buat Maha Vajiralongkorn

Ibarat jatuhan domino, Asia Tenggara terus bergolak. Seperti krisis ekonomi hujung dekad 90-an dan 2008 yang membawa keluar anak muda ke jalanan di bandar-bandar utama dunia, kesan buruk ekonomi terutama akibat pandemik Covid-19 mula menampakkan akibat yang sama hari ini.

Ibu kota Thailand – bumi yang berbangga dengan sejarah sifar penjajahan dan keagungan kerabat Dirajanya sedang berontak. Lèse-majesté, undang-undang yang memelihara kekebalan penghuni Phra Borom Maha Ratcha Wang tidak mampu lagi menjadi tembok penghalang. Sekatan akses media sosial juga tidak memadam api kemaraan kaum mudanya untuk terus menghitamkan jalan raya di Bangkok. Tiga jari ke udara terus jadi simbol melawan.

Apa yang sedang berlaku?

Secara ringkas, protes yang sedang berlangsung hari ini bermula sekitar Julai yang lepas, selepas berakhirnya perintah berkurung Covid-19. Ia adalah manifestasi kepada keresahan rakyat yang terkesan, dengan diketuai oleh anak-anak mahasiswa di kampus dan pelajar-pelajar dari sekolah tinggi. Mereka menuntut perlembagaan baharu, pembubaran parlimen, serta menamatkan penganiayaan politik ke atas pengkritik kerajaan.

Namun siri-siri demonstrasi yang membawa kepada kelahiran perlawanan hari ini sudah bermula sejak tahun lalu lagi apabila pemimpin pembangkang, Thanathorn Juangroongruangkit dibatalkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen, manakala parti pimpinannya Future Forward Party diharamkan. Krisis politik pasca pilihan raya ini telah membuka sebuah perlawanan baharu buat rakyat di sana. Kali terakhir pemberontakan dan perlawanan politik jalan raya sebegini dirakam adalah lebih sepuluh tahun lalu melalui pertembungan antara ‘baju merah’ dan ‘baju kuning’.

Siri-siri demonstrasi yang mengambil tempat sejak tahun lalu terhenti sebentar akibat serangan pandemik sehinggalah pada 10 Ogos yang lalu, sekumpulan mahasiswa yang diketuai pelajar dari Universiti Thammasat, Panusaya “Rung” Sithijirawattanakul mengeluarkan 10 tuntutan reformasi ke atas sistem monarki mereka. Antara tuntutannya adalah melucutkan imuniti atau kekebalan terhadap undang-undang yang dimiliki raja, mendedahkan aset-aset raja kepada masyarakat awam, dan menyekat campur tangan politik oleh istana dengan menghalang raja daripada menyatakan pandangan dan sokongan politik termasuklah sebarang dokongan ke atas tindakan kudeta.

Simbol Tiga Jari

Hari ini, tiga jari ke udara menjadi simbol perlawanan mereka. Iya, anda tidak silap - simbol ini adalah simbol yang sama digunakan dalam siri novel dan filem distopia Hunger Games.

Penggunaan simbol tiga jari ke udara sebagai tanda melawan pemerintah pertama kali dilaporkan oleh media apabila 5 orang pelajar telah mengacungkannya ke udara dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha bagi membantah kudeta 22 Mei 2014 yang dipimpin beliau.

Simbol yang mungkin dianggap sebagai hanya kreativiti fiksyen ini bagaimanapun menjadi tular dan ancaman tulen sehingga diharamkan penggunaannya, manakala filem Hunger Games yang menjadi inspirasi kepada pelajar tersebut turut dihentikan tayangannya di panggung-panggung tempatan. Simbol ini kembali digunakan kali ini dalam skala besar oleh demonstrasi pasca 2019 sekarang.

Sejarah Melawan

Pergolakan politik di Thailand bukan perkara baharu. Jika kita menganggap perebutan kuasa politik di Malaysia sudah cukup panjang dan berserabut, Thailand lebih berselirat. Sebagai gambaran besar ke atas konteks hari ini, pergolakaan politik di Thailand yang disaksikan sekarang sebenarnya bermula dan tidak pernah berakhir sejak jatuhnya bekas Perdana Menteri paling dikenali dahulu, Thaksin Shinawatra pada 2006 dahulu. Kesannya? Thailand sehingga kini masih belum tuntas dengan perlembagaan mereka.

Dari segi sejarahnya pula, perebutan kuasa politik melalui jalan kudeta melibatkan tentera di Thailand sudah bermula sejak 1947 – kira-kira 15 tahun selepas kuasa mutlak rajanya diganti dengan sistem raja berperlembagaan pada 1932. Untuk rekod, Thailand sudah melalui 13 kali kudeta yang berjaya, dan 9 yang tidak berjaya. Sebagai perbandingan, Thailand juga sudah melalui 28 kali pilihan raya umum sejak 1933. Menceritakan sejarah panjang kudeta dan pilihan raya di Thailand hampir pasti memerlukan sebuah artikel lain.

Menilik Perlawanan

Sehingga kini, dalam berhadapan dengan protes yang sedang berlangsung, kerajaan Thailand masih mengambil sikap pasif agresif. Beberapa tindakan ad-hoc diambil untuk meneliti perkara-perkara yang dibangkitkan, namun elit-elit politik dilaporkan masih berkeyakinan untuk terus memerintah seperti biasa, dan menganggap diri mereka sebagai pelindung kepada kedaulatan institusi diraja.

Dalam sejarah-sejarah perlawanan lampau, hampir pasti puluhan kematian akan dilaporkan akibat pertembungan yang bertukar ganas. Namun demonstrasi kali ini dianggap sebagai lebih tersusun dan siaga – terima kasih kepada penggunaan teknologi komunikasi. Jeritan dan laungan banyak digantikan dengan bahasa tubuh dan simbol-simbol tangan, persis demonstrasi di Hong Kong dan gerakan Occupy suatu masa dahulu.

Walaupun demonstrasi hari ini dianggap sebagai amat signifikan, ia bukan pemberontakan kali pertama yang dirakam di Thailand. Tindakan menentang institusi diraja masih dianggap tabu besar buat masyarakat majoriti Buddha di negara tersebut. Malah, mana tahu – seperti baju merah yang mendapat tentangan dari baju kuning, akan muncul sekumpulan lain yang hanya menunggu masa untuk bertindak balas. - ALTERNATIF

Foto ihsan AFP

Share this Post: