The Pocket Rocketman

The Pocket Rocketman

Siapa tidak kenal dengan nama Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek Malaysia. Pemuda bertubuh kecil ini merupakan seorang atlet yang sentiasa membanggakan nama negara di persada antarabangsa.

Nama beliau sering meniti di bibir peminat sukan kerana menjadi antara atlet yang hampir pasti akan sentiasa membawa pulang pingat di kejohanan sukan antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Komanwel, Sukan Asia mahupun Sukan Olimpik.

Susuk tubuhnya kecil, tetapi daya kekuatan fizikalnya menakjubkan sehingga diberi gelaran The Pocket Rocketman. Selain semangat juangnya yang sangat tinggi, beliau juga terkenal dengan nilai seorang ahli sukan yang tidak pernah berputus asa.

Permulaan Karier

Azizulhasni Awang atau nama samarannya Jijoe hanya berketinggian 1.68 meter dengan berat badan 67 kilogram. Anak kelahiran Dungun, Terengganu ini mula berkecimpung dalam sukan berbasikal sejak usia muda ketika dilatih oleh Pasukan Berbasikal Dungun.

Bakatnya disedari oleh Rozimi Omar, jurulatih lumba basikal tempatan ketika berlatih di pusat latihan Bukit Pak Sabah, Dungun. Beliau bertambah aktif dalam sukan ini ketika menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil sebelum menyertai kelab berbasikal Australia Bike Technologies pada 2009.

Di Australia, beliau menjadi mahasiswa di Universiti Deakin, Australia dalam jurusan Perdagangan dan turut sempat bergraduasi dari Universiti Victoria, Melbourne dengan kelulusan Sarjana Muda Sukan Gerakan.

Semua bermula apabila bapanya menghadiahkan beliau sebuah basikal terpakai selepas berjaya meraih keputusan cemerlang dalam ujian Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Sejarahnya, Azizulhasni Awang kerap melihat abangnya yang aktif berbasikal. Ia sedikit sebanyak mendorong beliau untuk meminati sukan tersebut.

Pada usia belasan tahun ketika itu, beliau sudah mula menyertai Kejohanan Berbasikal Kebangsaan. Beliau berusaha meminjam basikal daripada seorang rakannya untuk menyertai kejohanan tersebut. Usahanya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menjadi juara dalam kategori bawah 12 tahun.

Di Sebalik Kejayaan

Di sebalik kejayaan Azizulhasni Awang, pasti ada beberapa individu yang membantu dan menyokongnya sehingga beliau berjaya dalam sukan basikal trek hari ini.

Ceritanya bermula apabila beliau pernah digugurkan daripada program pelapis di Sekolah Sukan Bukit Jalil ketika baru berusia 18 tahun. Namun, kariernya diselamatkan oleh Datuk Ng Joo Ngan, bekas atlet berbasikal kebangsaan. Datuk Ng Joo Ngan telah berusaha membuat rayuan kepada pihak atasan untuk terus memberi peluang kedua kepada Azizulhasni Awang membuktikan keupayaannya.

Selain jurulatih John Beasley, Datuk Ng Joo Ngan atau lebih mesra dipanggil Uncle Joo oleh Azizulhasni juga merupakan individu yang bertanggungjawab memperjuangkan bakat Azizul Hasni Awang untuk menjadi pelumba basikal trek yang disegani di seluruh dunia.

Persaingan Menuju Puncak

Sudah menjadi tradisi bagi apa jua sukan yang dipertandingkan, pasti akan dicabar dan ditandingi oleh pemain-pemain lain. Begitu juga situasi yang dialami oleh Azizulhasni Awang, sentiasa mendapat tentangan sengit daripada jaguh-jaguh basikal trek dari setiap pelusuk benua.

Sebelum tahun 2013, beliau sentiasa dicabar hebat oleh pelumba Great Britain, Sir Chris Hoy yang merupakan juara dunia sebanyak 11 kali dan juara Olimpik enam kali. Selepas persaraan jagoan Great Britain itu, Azizulhasni Awang kini kerap dicabar pula oleh pelumba baharu daripada Belanda, Harrie Lavreysen dan beberapa pelumba lain daripada Asia seperti Jai Angsuthasawit, Yudai Nitta, Yuta Wakimoto dan ramai lagi.

Di sudut ranking dunia pula, Azizulhasni Awang kini berada pada kedudukan pertama dunia bagi acara pecut pada tahun 2021, menewaskan pencabar utama iaitu pelumba Jepun Fukaya Tomohiro dan Webster Sam daripada New Zealand.

Sementara itu, beliau juga berjaya membantu pasukan basikal trek Malaysia menghuni tangga kelima dunia bagi acara Keirin. Untuk rekod, Azizulhasni mula mendominasi ranking dunia sejak tahun 2008 apabila mengungguli takhta bagi acara Keirin.

Kebiasaannya memang acara Keirin merupakan acara kegemaran dan kepakarannya kerana sering menewaskan musuh dalam kategori ini. Sebaliknya berlaku pada tahun 2021 apabila beliau diiktiraf pula sebagai raja pecut dunia yang berada di ranking pertama oleh badan Basikal Trek Dunia (UCI).

Pencapaian 

Banyak pingat, anugerah dan pencapaian peribadi yang pernah diraih Azizulhasni Awang dalam sukan berbasikal trek.

Beliau mula menggondol pingat dalam pentas antarabangsa sejak tahun 2007 pada kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA) apabila meraih pingat emas dalam acara berpasukan dan pingat perak bagi acara pecut. Tahun itu juga beliau membuktikan bahawa beliau adalah penakluk acara Keirin Asia setelah menjadi juara bagi acara itu dalam kejohanan Asia di Bangkok.

Sebanyak 15 pingat emas berjaya dikumpul beliau untuk pertandingan antarabangsa sehingga tahun 2019 seperti Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia, Sukan Asia, Sukan SEA, dan Sukan Olimpik. Pada peringkat tempatan pula, beliau telah memenangi Anugerah Olahragawan Negara sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2009, 2010 dan 2017.

Kontroversi

Azizulhasni seorang atlet kebangsaan yang sentiasa terpelihara daripada sebarang masalah disiplin. Namun berlaku ketika Sukan Komanwel Glasgow pada tahun 2014 apabila beliau telah mengundang kontroversi pada pertandingan itu kerana telah memakai sarung tangan bertulis “Save Gaza”.

Peribadinya, beliau mengatakan bahawa tindakannya itu hanya berunsur solidariti kepada masyarakat di sana. Walau bagaimanapun, perbuatan itu telah ditegur secara rasmi oleh jawatankuasa kejohanan dan diberi amaran akan menyingkirkan penyertaannya sekiranya beliau mengulangi tindakan itu.

Beliau telah memohon maaf sekiranya tindakan itu memberi perspektif negatif serta menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Khidmat Sosial

Selain cemerlang ketika bertarung, beliau juga amat disegani oleh masyarakat di Malaysia khususnya. Kerja sosial yang paling mencuri tumpuan ramai pihak di Malaysia ialah selepas tragedi kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat pada tahun 2017. Jaguh basikal trek ini telah melakukan lawatan ke tapak tersebut di samping telah berusaha menyumbang derma dan bantuan kepada pusat tersebut.

Kesanggupannya melelong sarung tangan yang digunakan ketika Sukan Olimpik Rio 2016 sehingga mampu mengutip lebih RM5,000 menunjukkan beliau seorang yang prihatin kepada kebajikan masyarakat.

Selain itu, beliau juga pernah bertungkus lumus membantu mangsa banjir di kawasan Pantai Timur pada tahun 2014. Sikap murni ini telah mendapat reaksi positif pelbagai pihak.

Kecederaan 

Sepanjang beraksi di atas trek velodrom, Azizulhasni Awang juga pernah berhadapan dengan beberapa siri kecederaan yang merencatkan aksinya untuk tempoh masa tertentu.

Peristiwa yang paling mencuri tumpuan ialah situasi beliau yang bertindak berani meneruskan aksinya sehingga tamat perlumbaan meskipun terlibat dengan kemalangan dengan pelumba lain selepas persaingan bermula.

Kes itu berlaku ketika berlangsungnya kejohanan Piala Dunia Trek Manchester pada tahun 2011. Kemalangan itu juga telah mengakibatkan betis beliau tertusuk serpihan kayu sepanjang 20 centimeter.

Terakhir, pada tahun 2019 beliau turut mengalami nasib malang kerana terlibat dengan kemalangan dalam kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia di Brisbane dan kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Poland.

No 1 Dunia

Pencapaian Azizulhasni Awang yang terkini ialah beliau berjaya kembali menjadi pelumba basikal trek yang menghuni kedudukan teratas dalam ranking dunia setelah mengumpul 1600 mata bagi kategori acara pecut berdasarkan carta yang telah dikeluarkan oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) pada awal tahun 2021.

Bagi acara Keirin pula, beliau berada di tangga kedua setelah mengumpul sebanyak 1740 mata, ketinggalan sebanyak 50 mata di belakang pelumba Colombia, Kevin Chavarro tetapi masih jauh meninggalkan Juara Asia Yuta Wakimoyo dengan 1715 mata. Kejayaan ini dapat meransang keyakinan dan memberi semangat kepada beliau untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada bulan Julai 2021.

Kejayaan demi kejayaan yang dilalui Azizulhasni Awang setelah lebih sedekad berkecimpung dalam sukan ini. Seluruh rakyat Malaysia pasti kagum dan berbangga dengan semua pencapaian beliau yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di serata dunia.

Beliau mungkin berada di akhir usia kegemilangan kerana beliau kini sudah menjangkau usia 33 tahun. Diharapkan Malaysia dapat mencari pelapis baharu dalam sukan ini yang setanding dengan Azizulhasni Awang pada masa akan datang.

Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone.

Foto: Utusan

Share this Post: