Tergugat Seekor Singa Kerana Tulisan Cina

Tergugat Seekor Singa Kerana Tulisan Cina

Tular sebuah video berkaitan seorang lelaki yang lebih dikenali sebagai Tok Singa. Tok Singa ini telah menyembur cat hitam pada tulisan bahasa Cina yang terdapat di atas papan tanda jalan Gat Lebuh Armenian dan Pengkalan Weld antara lainnya, di Pulau Pinang. 

Mendabik dada dengan perbuatan vandalisme tersebut secara terang-terangan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum. Perbuatan tersebut bukan sebuah penghinaan terhadap kaum atau bahasa Cina sebaliknya ke atas dirinya sendiri sebagai seorang provokator yang sengaja mewujudkan ketegangan dalam masyarakat majmuk negara kita. 

Di media sosial, para pengikut Tok Singa juga merasakan kalau aksi menyembur cat tersebut bukanlah jalan yang terbaik jika beliau ingin menekankan duduk letak Perlembagaan Persekutuan berkaitan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. 

Tanpa beliau sedari, perbuatannya bukan sahaja telah mencemarkan imejnya sebagai penduduk atau anak jati Pulau Pinang, tetapi yang lebih menyedihkan adalah meninggalkan persepsi buruk ke atas kumpulan yang betul-betul memperjuangkan perlembagaan negara termasuklah Bahasa Melayu.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bahasa kebangsaan merupakan bahasa Melayu (bahagian 12 : Am dan Pelbagai, Perkara 152). Walau bagaimanapun, perlembagaan kita turut menjamin kebebasan pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa lain, kecuali atas tujuan-tujuan rasmi. 

Tujuan-tujuan rasmi di sini bermakna apa-apa tujuan berkaitan urusan kerajaan, samada negara atau negeri, dan termasuklah apa-apa tujuan penguatkuasaan awam. Bagi tujuan penguatkuasaan ini misalnya, semua prosiding mahkamah dan dokumen-dokumen parlimen serta mesyuarat-mesyuarat mesti dilakukan di dalam bahasa Melayu. Ini garis jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan sebuah dokumen undang-undang bertulis tertinggi bagi negara Malaysia. 

Selepas merosakkan harta benda awam, Tok Singa lalu membuat kenyataan, “kita jangan rasis.” Ini dilakukan sebagai amaran kepada semua; bahawa beliau tidak suka perkauman. Tetapi dengan cara melarang tulisan bahasa lain selain bahasa yang cuma Tok Singa faham adalah salah satu sifat yang logiknya adalah rasis, angkuh, egoistik, dan pentingkan diri. 

Jikalau betul mengalirnya darah anak Pulau Pinang, beliau sepatutnya faham keharmonian pelbagai kaum, bangsa dan agama di negeri ini; satu-satunya negeri yang mempunyai Masjid, Tokong Cina, Kuil India dan Gereja di dalam kawasan yang sama. 

Sebenarnya apa yang cuba diketengahkan atau dibuktikan oleh Tok Singa?

Kita sudah masuk ke abad 21 yang bersandarkan perkembangan teknologi maklumat yang moden. Dalam zaman sebegini, sepatutnya seorang "pemimpin" seperti Tok Singa, apabila muncul di dalam media sosial terutamanya, harus bersikap lebih peka terhadap keperluan untuk membina masyarakat yang harmoni. Bukan beraksi sebagai provokator yang memainkan isu perkauman.

Takkanlah seekor singa boleh tergugat dengan tulisan Cina?

Adam Hafiz @ Lester Tan adalah seorang pengamal hidup aktif dan pemerhati isu semasa berkaitan budaya popular dan ekonomi digital. Berasal dan membesar di Bukit Mertajam, beliau kini berkhidmat bersama Penggerak Komuniti Pulau Pinang.

Foto ihsan Kwong Wah Yit Poh

Share this Post: