Tentang Kebodohan - Dari Kaca Mata Carlo M. Cipolla

Tentang Kebodohan - Dari Kaca Mata Carlo M. Cipolla

Selalunya bila kita bicara tentang kebodohan, yang terdetik dalam minda kita pada awalnya mesti tentang berapa tinggi ilmu seseorang itu. Kita akan menganalisa sejauh mana tingkat pembelajaran individu tersebut atau pengalaman individu tersebut dalam alam pekerjaan biasanya. Carlo M Cipolla mempunyai pandangan yang berbeza. Beliau menukilkan pandangan beliau tentang kebodohan dalam buku “The Basic Laws of Human Stupidity” pada tahun 1976. Apa bezanya pemikiran beliau tentang kebodohan berbanding definisi biasa? 

Mendefinisikan Kebodohan

Penulis menerangkan bahawa kerana manusia sentiasa bersosial, maka interaksi antara manusia sentiasa akan memberikan kebaikan dan keburukan kepada diri sendiri dan orang lain.

Carlo M Cipolla membina rajah dibawah bagi melihat kesan interaksi dan jenis-jenis kelompok manusia:

 

Dari rajah diatas dapat dirumuskan bahawa 

1. Mereka yang bodoh ialah mereka yang cenderung memberikan kerugian kepada diri sendiri dan orang lain.

2. Orang yang bijak ialah mereka yang cenderung memberikan kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain. 

3. Mereka yang tidak berdaya cenderung untuk membantu orang lain tetapi perbuatan mereka tidak mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri.

4. Mereka yang jahat mahukan kebaikan kepada diri sendiri dengan memberikan kerugian kepada orang lain 

Hukum-hukum Asas Kebodohan Manusia

Penulis kemudian menyatakan lima hukum-hukum asas kebodohan manusia,

1. Manusia memandang rendah jumlah individu yang bodoh di dalam sesuatu kawasan. 

2. Kemungkinan seseorang itu bodoh bebas dari ciri-ciri lain individu tersebut. 

3. (Hukum emas) Orang bodoh itu ialah mereka yang memberikan kerugian kepada orang lain ataupun kepada sesuatu kumpulan tanpa memberikan sebarang kebaikan kepada diri sendiri, malah mungkin mampu mendatangkan keburukan pada dirinya sendiri. 

4. Orang yang tidak bodoh selalu memandang rendah kuasa orang bodoh untuk merosakkan. Orang yang tidak bodoh sentiasa lupa bahawa pada setiap masa atau tempat dan dalam keadaan apapun, berurusan dengan orang bodoh hanya akan mendatangkan musibah. 

5. Orang bodoh adalah jenis manusia yang paling bahaya. 

Bagi penulis, berdasarkan hukum kedua, manusia itu tidak dilahirkan sama, ada yang bodoh dan ada yang tidak. Ciri-ciri lain seperti budaya atau tempat tidak mempengaruhi kebodohan. Jumlah mereka tidak dipengaruhi oleh jumlah sesuatu kelompok atau kumpulan. 

Di sini kita lihat penulis lari dari maksud kebodohan yang biasa. Berdasarkan pandangan ini, kelompok seperti negara dunia ketiga atau pertama, lelaki atau wanita, jumlah orang bodoh dalam kelompok–kelompok ini adalah sama. 

Kebodohan dan Kemerosotan Masyarakat

Adalah salah untuk menyangka kemerosotan masyarakat adalah disebabkan jumlah individidu yang bodoh melebihi jumlah kumpulan manusia yang lain. 

Apa yang menjatuhkan masyarakat ialah apabila

1. Kelompok orang bodoh dibiarkan oleh kelompok lain untuk lebih aktif dan mengambil lebih banyak keputusan

2. Ada perubahan komposisi masyarakat, dimana Kawasan Hs S dan Bs melebihi Hi, I, Bi, berdasarkan rajah dibawah, 

Dalam masyarakat yang merosot, jumlah orang bodoh masih sama, tapi dapat dilihat bahawa kelompok yang berkuasa dipenuhi oleh kelompok Bs (Bandit/Jahat yang hampir dengan kawasan stupid/bodoh) dan Hs (Helpless/tidak berdaya yang cenderung ke kebodohan). 

Didalam keadaan tersebut, kelompok manusia yang tidak bodoh membenarkan potensi merosakkan golongan bodoh menjadi lebih kuat, dan keadaan ini kemudiannya membawa masyarakat tersebut, seperti apa yang ditulis penulis, ke neraka.

Antara pengajaran yang kita boleh dapati dari pandangan Carlo M Cipolla ialah, 

1. Kebodohan dari satu sudut pandang merupakan interaksi kita dengan manusia lain. Oleh itu, tidak kiralah sekiranya seseorang itu tidak punyai ilmu yg tinggi, selagi interaksi dia membawa manfaat kepada dirinya dan orang lain, dari sudut pandang ini dia ialah orang yang bijak. 

2. Jangan pandang rendah kebodohan. Ada orang yang mungkin dilihat seperti mempunyai ilmu yang tinggi, tapi mereka masih mungkin bodoh dari sudut pandang ini. Ingat bahawa kelompok ini merupakan jenis manusia yang paling bahaya. 

3. Masyarakat akan rosak apabila kelompok tidak berdaya dan jahat yang cenderung kepada kebodohan dibiarkan berkuasa. Oleh itu, kelompok–kelompok ini harus dikenali siapa dan dielakkan dari menguasai tampuk pemerintahan. 

4. Jauhkan diri dari orang bodoh. 

Notakaki adalah seorang penulis yang mencari jawapan kepada soalan-soalan yang berlegar dalam kepala.

Foto: Orlando / Three Lions / Getty Images

Share this Post: