Bulan ramadhan adalah peluang kepada semua umat Islam untuk gandakan pahala ibadah kepada Allah. Begitu juga khususnya kepada kaum Adam yang telah bergelar suami dan bapa untuk memikul amanah dan gandakan ganjarannya di bulan yang mulia ini.
Sebagai suami, ada beberapa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Ada yang menjadi kewajipan, dan ada juga sangat dituntut untuk disempurnakan.
1. Menunaikan zakat fitrah
Seperti setiap tahun berpuasa, menjadi tanggungjawab bagi setiap umat Islam untuk menunaikan zakat fitrah. Bagi seorang suami, adalah menjadi kewajipan kepadanya untuk menunaikan zakat bagi dirinya, isteri serta anaknya.
Jika seorang lelaki yang terpaksa menjaga ibunya berseorangan, atau masih ada saudara perempuan yang belum berkahwin, menjadi tanggungjawab juga kepadanya untuk tunaikan zakat. Jangan lupa perkara ini. Ada golongan bapa yang tidak pernah ambil peduli urusan zakat fitrah anaknya sendiri hinggakan si ibu yang terpaksa tanggung.
2. Terawih berjemaah
Tahun lepas adalah tahun yang paling indah kerana semasa PKP, masjid ditutup untuk berjemaah terawih seperti Ramadhan yang sebelumnya. Namun, tahun ini, solat terawih sudah boleh dilakukan di masjid dengan SOP yang ketat.
Namun, jika tidak ada peluang untuk berjemaah di masjid, sangat bagus kalau dapat berjemaah bersama anak isteri di rumah. Tidak perlu pun kita baca surah panjang dalam solat tersebut. Jika tidak hafal banyak surah pun, boleh saja gunakan stand, dan baca Quran semasa solat. Lagi ramai ahli keluarga, lagi menarik. Pahala berjemaah insyaallah dapat berganda.
3. Elak tunjuk teladan buruk
Sebagai suami atau bapa, jangan ada yang pernah tinggal puasa. Mungkin ada orang yang tidak pernah puasa semasa zaman bujangnya, tetapi apabila sudah menjejaki alam perkahwinan sepatutnya tidak berlaku lagi hal yang sama.
Ada kes yang isteri tuntut fasakh di Mahkamah Syariah disebabkan suaminya tidak pernah berpuasa. Bahkan, ada yang makan secara terang-terangan di hadapan anak-anak dalam rumah. Mungkin tak ada orang yang lihat, tetapi malulah sikit pada anak-anak dan Allah. Lagi malu kalau suami kena tangkap masuk van jenazah.
4. Bekerja cari rezeki, jangan malas
Bulan puasa ini, meskipun kita tidak boleh makan dan minum pada siang harinya, tidak bermakna kita tidak boleh keluar bekerja mencari rezeki seperti biasa. Bagi orang yang ada kerja, memang tidak dapat lari daripada tugasnya.
Tetapi, bagi lelaki yang kerja sendiri, jangan jadikan puasa sebagai alasan anda untuk tidak bekerja. Ingat, kerja anda mencari rezeki bagi anak isteri di bulan ini tetap dikira ibadah. Dan ibadah ini jika dibuat dengan ikhlas, insyaallah banyak ganjarannya di bulan puasa. Siapa tahu, rezeki melimpah ruah juga boleh dapat di bulan yang mulia ini. Jangan asyik tidur sahaja sebab letih berpuasa.
5. Sediakan keperluan persiapan raya
Jika waktu bujang, mungkin ada yang tidak kisah sangat kalau bab belanja raya. Tetapi, bila dah berkahwin, baju raya isteri jangan lupa. Kelengkapan hari raya juga satu kewajipan yang perlu dipikul seorang suami. Belum kira lagi kalau ada anak.
Setiap anak berhak dapat kelengkapan hari raya oleh seorang bapanya. Jangan pula jadi lelaki yang lepas tanggungjawab anak-anak bila sudah berpisah dengan bekas isteri. Ada sebilangan lelaki yang tak pernah ambil peduli tentang nafkah raya anak. Ada juga yang anggap, dah pisah, anak-anak duduk dengan bekas isteri, jadi bekas isteri tanggung.
Baik tak payah kahwin kalau ada yang masih ada pemikiran sedemikian.
Jadi, lelaki yang bertanggungjawab dalam rumahtangga ini adalah dambaan semua isteri. Jika gagal dalam tunaikan tanggungjawab, maka sikit demi sedikit tiang seri rumahtangga tersebut akan terhakis.
Percayalah. Semoga bermanfaat untuk bacaan dan ingatan semua.
Fahmi Ramli adalah seorang peguam Syarie yang bertapak di Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Seorang yang aktif dalam penulisan berkaitan perundangan Syariah dan merupakan Timbalan Setiausaha PGSM Kedah. Penulisannya ditanda dengan tanda pagar #syarieavengers
Foto: tehsariwangi.com
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.