Tangan Tuhan, Iglesia Maradoniana, dan Fidel Castro

Tangan Tuhan, Iglesia Maradoniana, dan Fidel Castro

Diego Armando Maradona sosok legenda yang menggemparkan dunia di dalam dan di luar padang bola sepak. Kehebatannya di dalam padang sentiasa mengujakan peminat mahupun lawan yang menyaksikan persembahannya.

Lahirkan pada 30 Oktober 1960 di Lanus, Buenos Aires, anak kelima daripada tujuh orang adik beradik ini dibesarkan di perumahan setinggan di selatan Buenos Aires.

Bakat beliau dikesan oleh pencari bakat ketika berumur lapan tahun sewaktu sedang bermain bola sepak di kawasan perumahannya dan menjadi pemain utama untuk skuad Los Cebollitas, pasukan muda untuk pasukan Argentinos Juniors yang berpengkalan di Buenos Aires.

Sosok yang menjadikan bintang Brazil, Rivelino, dan bintang Manchester United, George Best, sebagai idolanya dalam bola sepak mula mempamerkan keajaiban dengan bola di kakinya ketika rehat separuh masa pasukan utamanya beraksi.

Andai hendak diceritakan tentang aksinya ketika di padang, kehebatannya sudah tidak perlu diragui lagi. Deretan piala dan pingat sepanjang kerjaya profesional bersama Boca Juniors, Barcelona serta Napoli telah membuktikan segalanya.

Sudah tentu puncak kejayaan Maradona ialah ketika beliau mengetuai La Albiceleste menjuarai Piala Dunia pada tahun 1986 dan menjaringkan gol beliau yang paling terkenal, ‘Gol Tangan Tuhan’ ketika menewaskan England pada suku akhir kejohanan tersebut.

Kehebatan beliau ketika bermain bola telah membuatkan peminatnya menubuhkan ‘Gereja Maradona’ atau pun Iglesia Maradoniana. Gereja yang ditubuhkan pada 30 Oktober 1998 yang juga merupakan hari lahir bintang Argentina tersebut.

Agama ini mempunyai 10 perintah, antaranya adalah penganutnya perlu mempertahankan jersi kebangsaan Argentina, menyebarkan kehebatan Maradona ke seluruh alam, serta hendaklah sentiasa berpijak kepada realiti dan jangan menjadi orang yang tidak berguna. Oh, anak-anak lelaki sulung kepada penganut agama ini juga perlu dinamakan Diego. 

Dibesarkan dalam keadaan serba miskin membuatkan Maradona sentiasa merasa terpanggil untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Usai perpindahannya ke Napoli daripada Barcelona, beliau telah dijemput ke sebuah perlawanan amal bersama satu kelab amatur di pinggir bandar Naples. 

Walaupun perlakuan itu tidak disenangi oleh hierarki kelab, Maradona tetap menyertai perlawanan tersebut dan bermain seolah-olah beliau sedang bermain dalam kejohanan yang besar.

Bahkan ada cakap-cakap belakang dan khabar angin yang mengatakan beliau turut mengeluarkan duitnya sendirinya untuk membayar insuran yang membenarkannya beraksi dalam perlawanan tersebut.

Ya, dan itulah Maradona saatnya berada di puncak beliau tidak segan untuk menyertai perlawanan amal menentang sebuah kelab amatur hanya untuk membantu kanak-kanak yang sakit dan memerlukan dana untuk menanggung kos perubatan.

Antara momen yang akan sentiasa dikenang ialah ketika Maradona melakukan sesi pemanas badan yang menghiburkan dalam perlawanan Napoli menentang Bayern Munich, 19 April 1989.

Tika lagu Live Is Life nyanyian kugiran Austria Opus berkumandang di Olympiastadion, Maradona mepersembahkan satu aksi pemanas badan yang memukau, di mana beliau menimbang bola menggunakan kepala, lutut, dada dan bahunya sambil tersenyum kepada para penonton.

Di luar padang juga, sosok legenda ini merupakan satu watak yang agak lantang bersuara dan mempunyai pandangan yang agak kontroversi.

Legenda yang mempunyai karakter yang agak liar ini tidak segan untuk menyatakan pandangan politik beliau.

Dibesarkan dalam keadaan miskin,bukanlah sesuatu yang pelik apabila beliau mempunyai pandangan politik yang bersifat ‘kekirian’ dan tidak pernah takut untuk menyatakan sokongan beliau terhadap ahli politik sosialis dan kiri di bumi Amerika Latin.

Dan persahabatan beliau bersama Fidel Castro, bapa revolusionari dan ahli politik kiri di Cuba juga bukanlah satu rahsia.

Pertama kali bertemu pada 1987, persahabatan mereka mula menjadi rapat pada awal 2000-an ketika Maradona bertarung dengan ketagihannya terhadap dadah dan Castro menjemputnya untuk melakukan rawatan di negaranya.

Malah, sosok kontroversi ini juga mengakui beliau mengganggap Fidel Castro itu lebih daripada seorang sahabat dan lebih kepada seorang ‘bapa keduanya’.

Maradona juga mencacah potret tatu pemimpin Cuba itu di betis kirinya selain mempunyai tatu Che Guevara di sebelah tangan kanannya, dua tokoh kiri yang dipandang tinggi oleh beliau.

Tidak hairanlah apabila Maradona juga berkongsi persahabatan dan pandangan yang sama bersama seorang lagi pemimpin kiri yang terkenal di Amerika Selatan, Hugo Chavez.

Dalam sebuah bual bicara rancangan televisyen yang dihos oleh Chavez, Maradona santai mengatakan beliau benci segalanya tentang Amerika Syarikat dan mengulangi pandangan yang sama ketika beliau menemu ramah Castro pada tahun 2005.

Saat Castro meninggal dunia pada 25 November 2016, Maradona menceritakan kesedihannya tatkala mengetahui sahabat dan bapa keduanya telah pergi meninggalkannya.

Beliau mengatakan kesedihan yang dirasainya hampir sama ketika bapanya meninggal dunia dan merupakan kesedihan yang paling mendalam pernah dirasainya.

25 November 2020, empat tahun setelah pemergian Castro, Maradona akhirnya meninggal dunia di rumahnya di Buenos Aires akibat serangan jantung.

Beliau meninggalkan legasi sebagai seorang pemain bola sepak yang hebat ketika bola berada di kakinya, seorang yang tidak takut untuk menyuarakan pandangan peribadinya, serta sebuah agama yang tidak bermusuh.

Amar Afiq adalah seorang peminat kugiran Queen dan pasukan bola sepak Arsenal. Beliau merupakan mantan mahasiswa jurusan Sains dan Bahasa Inggeris, namun lebih berminat memerhatikan keanehan manusia.

Foto hiasan ihsan Bolaskor

Share this Post: