Tanaman Pendamping

Tanaman Pendamping

Seperti manusia yang mempunyai teman untuk sama-sama berkongsi, membantu dan menginspirasi, tumbuhan juga begitu.

Sekitar 10 tahun lalu, wujud satu cabang baharu dalam hortikultur iaitu Companion Planting hasil daripada pengalaman dan pemerhatian para petani seluruh dunia.

Dalam bahasa Melayu, Companion Planting boleh diterjemahkan sebagai Tanaman Pendamping.

Ingat lagi artikel saya yang lalu mengenai keluarga tanaman? Dalam artikel tersebut, saya menjelaskan tentang menggunakan tanaman yang boleh ditanam bersama-sama.

Tanaman pendamping pula adalah tumbuhan yang dapat ditanam bersama-sama dan mampu memberi menfaat kepada rakannya untuk menambah kesuburan dan membantu meningkatkan hasil tanaman. 

Bagaimana?

Mari kita lihat beberapa contoh yang menarik.  

Mengikut hukum keluarga tanaman, tomato boleh ditanam dengan Bayam (keluarga berbeza) tetapi tahukah anda jika kita  taburkan biji benih karot di sekeliling perdu pokok tomato dan biarkannya tumbuh pokok tomato akan tumbuh subur?  

Nampak pelik tetapi inilah fakta yang diketahui seluruh dunia. 

Satu lagi contoh yang sangat dikenali seluruh dunia ialah trio tanaman yang dikenali sebagai "3 sisters". Sebut sahaja 3 sisters pasti ramai yang tahu.

Tiga beradik ini terdiri daripada jagung, kacang panjang (atau buncis) dan labu. Tiga beradik ini sangat menarik jika ditanam di laman anda.

Mudah saja, mulakan dengan menyemai jagung. Apabila tinggi mencapai 3 ke 4 kaki, semai pula labu dan kacang di sekitar sejengkal dari perdu jagung.

Yang menariknya, tanpa memerlukan tiang atau tali, kacang tadi akan mencari sendiri pokok jagung untuk dipanjat. Labu tadi tidak akan menjalar jauh selain dari sekitar jagung itu sahaja sambil menutup bumi.

Trio 3 beradik ini memberikan tiga hasil berbeza dalam satu kawasan yang terhad.

Saya kongsikan lagi beberapa contoh rakan tanaman yang paling mudah seperti cili dan selasih, timun dan bunga marigold, pudina dan daun salad, terung dan cili.

Akhir sekali untuk kali ini, jika ada kawan maka mestilah juga ada musuhnya!

Ini dipanggil "bad neighbors". Jadi janganlah tanam mereka ini berdekatan. 

Contohnya, pudina dan kailan, kekacang dan sawi, timun dan tembikai, jagung dan kobis.

Secara ringkasnya, hukum keluarga tanaman adalah kumpulan tanaman yang boleh ditanam bersama-sama manakala hukum 'Companion Planting" adalah kumpulan tanaman yang boleh ditanam bersama-sama dan memberikan manfaat antara satu sama lain. 

Hukum bagi "Bad neighbors" ini pula adalah kumpulan tanaman yang sama sekali TIDAK boleh ditanam bersama-sama. 

Semoga bermanfaat dalam membantu anda membina laman makanan idaman anda!

Nazrul Azam berasal dari Ipoh dan telah lebih 20 tahun menetap di Nibong Tebal. Seorang petani organik 'old school' yang baru bertukar status ke OKU. Ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan rakan-rakan marhaen.

Share this Post: