Tahukah Anda: Sayur Ini Ciptaan Manusia!

Tahukah Anda: Sayur Ini Ciptaan Manusia!

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, brokoli merupakan sejenis tumbuhan yang berupa seperti kubis bunga, Brassica oleracea italic. Menurut Kamus Dwibahasa Oxford Fajar Edisi Ketiga Dikemaskinikan, brokoli merupakan kubis bunga jenis hijau.

Perkataan brokoli berasal daripada perkataan jamak Itali “broccolo” yang bermaksud “puncak bunga kubis”, dan mempunyai bentuk “brocco” yang kecil, yang bermaksud "kuku kecil" atau "bercambah". Brokoli mempunyai kepala bunga yang besar, kebiasaannya berwarna hijau gelap, disusun dalam struktur seperti pohon pada cabang yang tumbuh dari tangkai yang tebal, dan berwarna hijau cerah. Brokoli menyerupai kubis bunga, iaitu merupakan kumpulan kultivar (proses tumbuhan yang hanya boleh dihasilkan melalui pembiakan terpilih) yang berbeza daripada spesies Brassica

Pada tahun 2019 sahaja, China dan India telah menghasilkan brokoli dan kubis bunga sebanyak 73% daripada keseluruhan tanaman sayur dunia. Brokoli merupakan sayuran buatan manusia. Ya, tumbuhan ini telah dicipta dengan pembiakan kubis liar berbeza jenis pada lebih dari 2000 tahun yang lalu oleh seorang petani Itali.

Brokoli telah dianggap sebagai makanan yang berharga oleh penduduk Itali sejak Zaman Roman, tetapi brokoli telah digelar sebagai “Asparagus Itali” semasa diperkenalkan pertama kali di England pada pertengahan abad ke-18. 

Terdapat rekod bahawa seorang pekebun bernama Thomas Jefferson telah menjalankan uji kaji ke atas biji benih yang dibawa olehnya dari Itali pada akhir tahun 1700-an, tetapi tumbuhan ini tidak pula menjadi makanan yang terkenal di Amerika Syarikat meskipun penanaman tumbuhan ini secara komersial telah dibuat sejak 1500-an sehinggalah imigran dari Itali Selatan membawanya ke Amerika Syarikat pada awal tahun 1920-an. 

Permintaan terhadap brokoli telah bertambah sebanyak tiga kali ganda sejak 30 tahun yang lalu disebabkan oleh tumbuhan ini boleh dimasak dengan pelbagai kaedah dan memberi manfaat kepada kesihatan.

Brokoli diciptakan untuk mempunyai rasa yang lebih sedap berbanding sayuran lain yang lebih menepati cita rasa manusia. Kubis liar mempunyai tunas bunga yang kecil dan dwitahunan. Ini bermaksud, tumbuhan ini hanya akan berbunga dua tahun sekali.

Dalam persekitaran yang terkawal, kadar pertumbuhan boleh dipaksa untuk menghasilkan brokoli dengan kadar yang lebih banyak. Pekebun akan membuang tumbuhan yang mempunyai rasa yang kurang sedap apabila pucuk yang lebih besar dan sedap telah tumbuh dan mula menghasilkan tumbuhan baru melalui pucuk tersebut. Disebabkan oleh pekebun memilih kelompok yang terbaik, terdapat peluang yang lebih baik untuk mendapatkan pucuk yang lebih besar dan sedap pada generasi akan datang.

Sayuran ini dikatakan mempunyai nutrisi yang paling banyak berbanding sayuran yang lain. Brokoli merupakan sayuran yang antara terawal terlintas di fikiran sekiranya kita bercadang untuk memasukkan sayuran hijau ke dalam diet. Brokoli amat padan untuk dikategorikan sebagai tumbuhan hijau yang boleh dimakan kerana tumbuhan ini terhasil daripada keluarga kubis.

Sayuran hijau ini boleh dikatakan sebagai “pusat jana kuasa” bagi nutrisi. Sayuran ini terkenal dengan membantu sistem pencernaan, sistem kardiovaskular dan imunisasi, mempunyai antiradang dan mencegah daripada pertumbuhan sel barah kerana mempunyai ciri yang dapat mengurangkan estrogen di dalam badan manusia. Tambahan pula, brokoli mempunyai natrium dan kalori yang rendah iaitu hampir 31 kalori setiap sajian.

Sayuran ini juga bebas kandungan lemak tepu. Brokoli dipenuhi dengan serat mudah larut yang mengeluarkan kolestrol dalam badan dan sekali gus menyebabkan pengurangan kolestrol. Tambahan pula, brokoli mempunyai kandungan kalsium yang tinggi dan vitamin K yang penting untuk kesihatan tulang dan mengelakkan daripada berlakunya tulang rapuh (osteoporosis).

Brokoli juga dipenuhi dengan nutrisi lain seperti magnesium, zat besi dan fosforus. Brokoli sangat sesuai untuk kanak-kanak, orang dewasa dan ibu yang menyusu kerana manfaat yang dimilikinya. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap sesuatu yang dimakan secara berlebihan pasti akan ada kesan buruk terhadapnya seperti kerengsaan (tidak menyenangkan) usus yang berpunca daripada kandungan serat yang terlalu tinggi yang didapati di dalam brokoli.

Menurut The Ohio State University Wexner Medical Center, orang yang mengambil ubat mencairkan darah perlu berhati-hati dengan pengambilan brokoli kerana vitamin K daripada sayuran mungkin dapat mengganggu keberkesanan ubat tersebut. Mereka yang menghidap hipotiroid juga harus mengehadkan pengambilan brokoli dalam pemakanan seharian mereka. 

Sekarang anda tahu!

Nursyazana Khidir Neoh adalah seorang graduan bidang perhutanan dari Universiti Malaysia Sabah. Kini bertugas sebagai Pembantu Pentadbiran di Penang Institute. Beliau juga aktif menulis artikel untuk terbitan Penang Monthly

Foto ihsan Google

Share this Post: