SURAT | Selamatkan Feri Pulau Pinang, Selamatkan Ikon Negeri

SURAT | Selamatkan Feri Pulau Pinang, Selamatkan Ikon Negeri

Alangkah sedihnya jika feri yang selama ini menjadi penghubung antara penduduk Tanah Besar Semenanjung dengan bahagian di sebelah Pulau Pinang ditamatkan dan digantikan dengan perkhidmatan pengangkutan air yang lain, bot katamaran yang disebut-sebut.

Kita seharusnya tidak menolak pemodenan namun kita juga tidak boleh mengetepikan sumber lama sedia ada yang masih boleh ditingkatkan kualiti dan perkhidmatannya.

Sejak kebelakangan dalam tahun ini, media melaporkan bahawa perkhidmatan feri akan ditamatkan. Baru-baru ini pula di dalam parlimen, Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa “Feri sekarang usianya 47 tahun, hendak cari alat ganti pun tiada, jadi terpaksalah kita gunakan katamaran.

Jika dilihat secara kasar dan dari luaran bot katamaran dilihat sebuah bot yang moden dan penumpang penjalan kaki semestinya sangat teruja untuk menggunakannya. Namun, perkara yang menjadi permasalahan dengan bot katamaran ini adalah tiada ruang untuk penumpang berkenderaan ringan seperti motosikal, kereta, van dan lori empat tayar.

Cadangan menggunakan bot katamaran ini juga tidak jelas diperincikan kepada orang awam mengenai jenis bot katamaran yang mahu digunakan. Sememangnya terdapat bot katamaran besar yang mempunyai ruang kepada kenderaan namun harganya begitu mahal dan mengikut perkiraan daripada kerajaan persekutuan bot katamaran yang dicadangakan hanya boleh memuatkan penumpang penjalan kaki.

Perkara ini menimbulkan kekhuatiran penumpang-penumpang berkenderaan terutama penunggang motosikal yang memikirkan risiko keselamatan jalan raya dan pemandu kereta terutama pada waktu kemuncak dan ketika musim hujan.

Berdasarkan Statistik Pengangkutan Malaysia, 2018 yang mengambil data daripada Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman mengenai statistik  kemalangan jalan raya mengikut negeri, Malaysia, 2009-2018 telah menunjukkan trend kemalangan jalan raya meningkat dari tahun 2009 – 2018 secara keseluruhannya. 

Begitu juga di Pulau Pinang, trend kemalangan raya juga meningkat iaitu  daripada 33,719 kes pada tahun 2009  kepada 45,734  kes pada tahun 2018. Kebanyakan kes kemalangan yang berlaku adalah melibatkan jumlah yang besar bagi motosikal dan kereta.

Berdasarkan tinjaun oleh Berita Harian pada 27 Ogos 2020 yang lalu dan Buletin Mutiara pada 9 Disember 2020 baru-baru ini menunjukkan bahawa rata-rata pengguna tidak bersetuju dengan cadangan memberhentikan perkhidmatan feri yang turut memikirkan soal keselamatan di jalan raya. Perkhidmatan feri ini bukan sahaja menyediakan ruang kepada penumpang penjalan kaki malahan menyediakan ruang kepada kenderaan ringan juga.

Menurut Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Rakyat pada 7 Disember 2020 yang lalu menyatakan bahawa seramai 1.5 juta penumpang menggunakan perkhidmatan feri dalam tempoh setahun dan daripada jumlah tersebut sebanyak 200,000 adalah penumpang berkenderaan. 

Jika jumlah penumpang berkenderaan tersebut mahu dibandingkan dengan jumlah penumpang penjalan kaki sememangnya wujud jurang jumlah yang besar. Namun, angka 200,000 itu juga bukanlah angka yang kecil yang tidak perlu dihiraukan.

Feri telah menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai dan kenderaan sejak dari tahun 1894, lebih dari 100 tahun dan telah menjadi ikon kepada Pulau Pinang.

Maka, kita menyeru kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan semula cadangan mengantikan feri yang begitu ikonik itu sepenuhnya dengan bot katamaran. Tingkatkan kualiti dan perkhidmatannya bukannya tamatkan begitu sahaja.

Hazizi Padzil, Pengerusi Persatuan Kemajuan NUSA Pulau Pinang

Foto ihsan Jom Jalan

Share this Post: