Surat Darurat

Surat Darurat

Bermula warkah surat rencana;
memikir akan nasib bangsa.
Adapun fakir bersuara;
hanyalah untuk pertiwi tercinta.
 

Sebagai anak muda yang mempunyai kesedaran; adalah paling menggusarkan apabila melihat beberapa isu berbangkit mutakhir ini.

Peningkatan kes Covid-19 yang masih melebihi tiga angka setiap hari, menunjukkan ada kewajaran dalam mempersoalkan kerajaan terhadap pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang bermula 11 Januari lalu. Walaupun ia seakan-akan langkah yang proaktif, hakikatnya cukup ironi dengan situasi yang kita hadapi sekarang.

Hal ini tidak terhenti disini sahaja, ia memberi kesan yang cukup dampak dan membebankan terhadap keadaan ekonomi, terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil. Adakah negara ini hanya untuk keparat segolongan pihak tertentu sahaja?

Malangnya sekali, demokrasi di negara ini sudah lama dirobek oleh segolongan pengkhianat; agak memalukan di peringkat antarabangsa dalam aspek pendemokrasian, terutamanya kebebasan media, Malaysia merudum 18 anak tangga ke 119 dari 180 negara, sebagaimana direkod Indeks Tahunan Kebebasan Akhbar oleh Reporters Without Borders (RSF).

Kebebasan merupakan hak keberadaan setiap individu sebagai seorang manusia. Tidak salah sekiranya tokoh seperti Jean Paul Sastre pernah menyatakan bahawa “we are condemned to be free,” meskipun kemudian pernyataan tersebut dianggap terlalu ekstrem yang seolah-olah menggambarkan kebebasan manusia tidak lagi tebatas.

Namun, kebebasan terikat dengan nilai yang saling bersinergi satu sama lain. Juga merupakan kebebasan yang dituju oleh demokrasi dalam mendudukkan rakyat sebagai pemegang arah kekuasaan tertinggi dalam menentukan soal kebijakan negara.

Dalam masyarakat sivil semisalnya, demokrasi di dalam kehidupan sesuatu bangsa, merupakan prasyarat untuk tecapainya kebebasan rakyat dalam pencapaian hak-hak politiknya.

Cukup mendukacitakan bahawa pelaksanaan Ordinan Darurat ini, tidak mendatangkan sebarang penyelesaian masalah.

Amat jelas, dalam beberapa tindakan kerajaan, kepentingan politik diutamakan. Ia juga memperlihatkan bahawa penyelewengan berlaku atas autonomi kuasa, sekaligus menyuburkan perluasan kuasa kuku besi dan kerajaan yang tidak terkawal.

Adalah wajar untuk mempersoalkan ketidakmampuan kerajaan sekarang; seolah-olah yang ada pada hari ini adalah sebuah pertentangan antara kelas dan darjat, antara penguasa dengan rakyat, antara yang kaya dengan yang miskin, antara pemodal dengan pekerja.

Kondisi sebegini tidak keterlaluan sekiranya sampai pada titik persamaan seperti yang disebut oleh Machiavelli sebagai citta corrotisma (kota kerosakan) atau seperti nukilan Al-Farabi sebagai al-mudun al-jahilliyyah. Kerana hal ini seperti dinyatakan oleh Hannah Arendt bahawa para politikus adalah animal laborans yang kebutuhan hidup dan obsesinya adalah keserakahan mereka.

Sepatutnya dalam keadaan getir sebegini perlu adanya pembaharuan yang komprehensif dan lebih berani. Namun, nampaknya ia tidak memberikan satu perubahan yang positif.

Kembalikan Landasan Demokrasi

Satu hal yang peri mustahaknya ialah soal defisit demokrasi negara di ini, ia perlu dilunaskan mengikut prinsip-prinsip demokratik. Sistem Raja Berpelembangan dan Demokrasi Berparlimen harus menjadi keutuhan dalam sistem semak dan imbang.

Melihat situasi sekarang, demokrasi kian menghadapi tantangan dari dalam, misalnya apa yang berlaku ketika para pemimpin politik tidak mahu menghormati mandat rakyat dengan berlakunya seri-seri tindakan politik yang menggilakan.

Perlaksanaan Ordinan Darurat ini telah memberikan satu kekuasaan meluas (sweeping powers) kepada penguasa, tanpa adanya keutuhan sistem semak dan imbang yang sewajarnya.

Ini merupakan satu bentuk kemunduran terhadap prinsip-prinsip demokratik, kerana hal ini meliputi perluasan kekuasaan keputusan eksekutif, pengurangan pengawasan legislatif, sekaligus adalah menyalahgunakan keadaan darurat untuk jangka hayat politik.

Akhir sekali, sebagai rakyat biasa di negara ini, bukanlah kerana suara ini paling didengari atau tidak. Terpenting sekali adalah kepada para politikus yang mempunyai kejujuran, kejituan dan keiltizaman; yang datang dari mana-mana pihak sekalipun - kembalikan maruah rakyat dan kembalikan negara ini kepada landasan demokrasi yang sewajarnya dalam apa bentuk cara sekalipun.

Nur Arif Isa seorang penulis asal Melaka. Berkelulusan dalam Pengajian Islam dan Sumber Manusia dari Kolej Universiti Islam Melaka. Beliau juga merupakan Felo Lestari Hikmah dan salah seorang penulis dalam Intelegensia Penyuluh Nusantara

Foto: Agenda Daily

Share this Post: