Ada satu keunikan pada sepak takraw – ianya adalah sukan tradisional, ianya juga adalah sukan moden yang sudah diiktaraf dunia. Sepak takraw pada asasnya adalah permainan tradisional yang bersusur galur dari zaman Kesultanan Melayu Melaka, dengan mula dimainkan sejak kurun ke—15. Sukan yang pernah menjadi kegemaran Hang Tuah lima bersaudara ini asalnya dipanggil sepak raga.
Sedikit berbeza dengan sepak takraw moden, sepak raga dimainkan dengan cara menimang bola dalam bulatan antara beberapa orang pemain menggunakan kaki atau kepala. Ia lebih berbentuk permainan berkumpulan yang menguji kecekapan antara individu – bersaing untuk menimang paling lama, bukan untuk mengalahkan satu-satu pasukan lain. Biarpun saling bersaing, menuntut harmoni dan kefahaman bersama untuk memastikan permainan terus berlangsung. Sesuai dengan semangat masyarakat zaman tersebut.
Versi modennya sepak takraw pula dimainkan oleh dua regu yang dianggotai tiga orang pemain bagi setiap pasukan di atas gelanggang ala badminton dengan dua pemain di bangku simpanan. Dalam bentuk asalnya iaitu sepak raga, permainan ini menggunakan bola yang diperbuat daripada kayu rotan. Ia kini digantikan dengan bola yang diperbuat dari bahan berasaskan fiber sintetik.
Hamid Mydin diiktiraf sebagai individu pengasas dan pencipta sukan sepak takraw yang dimainkan hari ini. Pada tahun 1946, beliau berusaha mencipta suatu permainan berasaskan sepak raga dengan menggunakan jaring bagi memisahkan dua pasukan di dalam satu gelanggang yang sama ukurnya dengan gelanggang badminton. Hasratnya untuk memodenkan permainan ini berjaya setelah beberapa hari mencubanya dengan pelbagai cara. Logik juga kalua dianggap bahawa sepak takraw adalah jawapan dari masyarakat Melayu kepada badminton yang dibawa oleh penjajah Inggeris.
Selepas terciptanya sepak takraw, sepak raga hanya menjadi permainan santai berbanding sepak takraw yang bersifat sukan kejohanan. Sukan ini mula mendapat perhatian anak muda daripada negara-negara jiran seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja dan lain-lain. Sehingga ke hari ini, permainan ini menjadi salah sebuah sukan yang diiktiraf dan mempunyai badan induk Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) yang menguruskan hal berkaitan permainan ini.
Pada edisi kejohanan paling terkini iaitu Sukan Asia 2018 yang berlangsung di Jakarta Indonesia, skuad kebangsaan telah dinobatkan sebagai juara apabila regu pilihan negara berjaya menewaskan pasukan tuan rumah dalam set penentuan. Kenangan manis itu juga menjadikan pasukan kebangsaan menamatkan kemarau emas sepak takraw selama 28 tahun bagi acara itu di sukan Asia. Walaupun anak buah Abdul Talib Ahmad bermula lesu apabila ditewaskan pada set pertama; gandingan Syahir Rosdi, Zulkifli Abd Razak, Norhafizi Abd Razak, Farhan Adam dan Azlan Alias berjaya memenangi set kedua dan ketiga.
Sebagai rekod, gelaran juara sepak takraw untuk pasukan kebangsaan kita di pentas sukan Asia pernah dimenangi pada tahun 1990 di Beijing, China dan 2018 di Jakarta, Indonesia. Apa yang membezakan kedua kemenangan tersebut adalah pertarungan pentas akhir berdepan pasukan lawan yang berbeza. Pingat emas pada tahun 1990 membanggakan Malaysia selepas gandingan Nordin Sabarudin, Rehan Mohd Zin dan Malek Shamsudin menjadi regu yang menewaskan seteru utama iaitu Thailand untuk bergelar juara.
Apabila penggiat sepak takraw membincangkan hal berkenaan sukan ini, mereka tidak dapat melupakan beberapa nama pemain yang dianggap sebagai lagenda pasukan kebangsaan. Faktor kemenangan, teknik permainan, dan lain-lain keunikan yang dimiliki terus meniti di bibir penggiat sepak takraw. Antara yang banyak dikenang adalah tekong kebangsaan, Normanizam Ahmad dan Kamarudin Salleh; pemain pelibas Futra Ghani dan Abd Jalil Aziz, serta pengumpan terkenal Zulkarnain Arif dan ramai lagi.
Selain turut diperdebatkan sebagai salah satu budaya yang mencipta sepak raga atau takraw, Thailand adalah antara pasukan paling digeruni dalam sukan ini, dan sentiasa dianggap sebagai musuh tradisi Malaysia. Setiap acara sepak takraw yang dipertandingkan di Sukan SEA atau Sukan Asia, Thailand akan menjadi pencabar dan halangan utama kepada pasukan kebangsaan. Walaupun pasukan kebangsaan pernah menewaskan pasukan Thailand pada kejohanan Super Series ISTAF 2015, barisan skuad Thailand masih menjadi musuh tradisi yang sukar dihadapi – seperti Lin Dan bertemu Chong Wei.
Sukan ini umumnya akan menggunakan tiga pemain di atas gelanggang bagi acara regu melibatkan tukang servis atau tekong yang diapit oleh dua orang pemain, pengumpan dan pelibas. Lazimnya tekong mempunyai beberapa gaya tersendiri seperti sepak kuda, sepak telapak kaki, sepak cangkuk dan sepak sila manakala pelibas atau killer hanya mempunyai dua teknik libasan iaitu lipat gulung dan lipat pari. Pengumpan pula perlu mahir bagi teknik menanduk, badek, melutut dan melambungkan bola di udara supaya dapat memudahkan pelibas melakukan libasan atau rejaman.
Biarpun sepak takraw sinonim dengan dengan rantau Asia Tenggara, pada era moden kini, sepak takraw mula mendapat perhatian negara-negara di luar benua Asia yang turut memberi saingan dalam kejohanan-kejohanan yang dipertandingkan. Antaranya ialah pasukan dari Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Australia, Kanada, Switzerland dan banyak lagi terutama dari Eropah. Sepak takraw, seperti sukan-sukan dunia yang lain berkembang ke luar negara atas faktor liputan media yang meluas, kejurulatihan, migrasi, dan sebagainya.
Banyak kaedah yang digunakan oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk memajukan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi. Mengadakan kejohanan tahunan bagi pelajar sekolah adalah langkah awal untuk mengasah bakat pemain pelapis muda. Usaha PSM ini termasuk sehingga wujudnya pertandingan Sepak Takraw League (STL) yang akan disertai pasukan-pasukan negeri dan kelab-kelab tempatan. Pada waktu sekarang, pasukan Kuala Lumpur Thunders dan Penang Black Panthers sedang mengungguli puncak liga dengan mempamerkan aksi yang memberangsangkan.
Kejohanan STL ini merupakan suatu kaedah yang baik untuk pembangunan masa hadapan sukan warisan kita ini. Adalah baik juga buat PSM untuk terus mengadakan jelajah ke setiap ceruk dan desa di setiap negeri dalam negara, dengan terus menerus menganjurkan pertandingan sepak takraw untuk mengenalpasti lebih ramai bakat-bakat yang sekian lama terpendam.
Sepak takraw adalah warisan kita. Legasi sukan sepak takraw kebangsaan perlu diteruskan oleh pemain-pemain baharu masa kini. Bakat-bakat muda harus digilap seterusnya diberi peluang beraksi dalam peringkat yangg lebih tinggi dan mencabar. Rata-rata penggiat sukan sepak takraw berharap negara Malaysia akan terus mengungguli sukan ini di persada anatarabangsa dan sukan ini juga menjadi antara sukan yang digemari oleh rakyat Malaysia.
Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone.
Foto: Freepik
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.