Anda minat dengan aktiviti sukan seni mempertahankan diri? Dulu pernah bercita-cita ingin menjadi seperti Jackie Chan, Jet Li, Bruce Lee atau Tony Jaa?
Jom kita mengenal sukan seni mempertahankan diri yang ada di dunia ini.
Seni mempertahankan diri semakin berkembang walaupun dunia mengalami modenisasi. Meskipun ada sedikit perubahan bentuk, gaya dan seni tarian namun kaedah yang diguna pakai masih kekal sama. Pergi sahaja ke mana-mana pelosok dunia pasti sahaja terlihat seni mempertahankan diri masing-masing yang kebanyakannya terdedah dan terdorong kepada faktor budaya, sejarah lampau dan adat.
Orang Asia kaya dengan seni mempertahankan diri
Benua Asia merupakan antara benua yang mempunyai paling banyak seni mempertahankan diri seperti Silat, Tomoi, Kung-Fu, Wushu, Wing Chun, Silambam, Kuntao, Judo, Kendo, Aikido dan banyak lagi. Rata-ratanya cuba mempertahankan dan memperjuangkan seni mempertahankan diri mereka. Perkara ini dibuktikan oleh beberapa tokoh dan ikon seni bela diri di Asia seperti Jet Li, Ip Man, Jackie Chan, Bruce Lee, Tony Jaa dan ramai lagi. Kehebatan mereka juga kerap diceritakan di dalam buku, wayang gambar dan filem.
Negara Malaysia juga tidak ketinggalan dalam seni berbentuk kekuatan fizikal ini. Silat merupakan ilmu pertahanan diri yang paling popular dalam kalangan masyarakat Melayu yang masyhur hingga kini. Bagi masyarakat India pula, mereka terkenal dengan seni bela diri tradisional mereka iaitu Silambam manakala masyarakat Cina pula tertumpu kepada seni bela diri yang lebih moden seperti Taekwando, Karate dan Tang So Doo.
Aneka sukan seni pertahanan diri di dunia
Suka saya senaraikan sukan seni pertahanan diri pada zaman purba seperti Pankration, Shuai Jiao, Malla-yuddha, Tinju dan Gusti meskipun dunia mengalami perubahan zaman modenasasi. Teknik yang digunakan dalam seni bela diri kebiasaannya tidak berubah, masih mengaplikasikan bentuk yang serupa iaitu pertarungan tangan kosong tanpa bantuan objek dan senjata seperti menendang, memegang, mengunci, mencekik dan menanduk.
Di benua Amerika Selatan, negara Brazil terkenal dengan seni bela diri Capoeira yang menggabungkan tiga elemen iaitu tarian, gerakan akrobatik dan muzik. Capoeira bukan hanya persaingan sukan semata-mata sebaliknya sukan ini merupakan seni bela diri yang melambangkan budaya klasik masyarakat negara tersebut. Seni bela diri Capoeira menjadi sangat menarik kerana melakukan beberapa langkah yang mengelirukan, juga dikenali sebagai ginga iaitu satu tarian sambil melakukan serangan libasan atau tendangan dari arah sisi.
Di benua Amerika Utara pula, seni bela diri lebih tertumpu kepada tinju atau kick boxing walaupun terdapat banyak sukan ketahanan lain seperti Cambat, Karate, Shootfighting dan banyak lagi.
Sebut sahaja Muhammad Ali, pasti anda teringat atlet sukan tinju yang terkenal di seluruh dunia kerana ketangkasannya. Banyak anugerah peribadi yang beliau peroleh sejak tahun 1964 sehingga tahun 1979. Selama lebih satu dekad Muhammad Ali melibatkan diri secara profesional dalam sukan bela diri ini hingga beliau berjaya menewaskan ramai petinju handalan dunia dan mendapat gelaran The Greatest.
Benua Eropah tidak kurang hebatnya. Mereka juga mempunyai banyak seni bela diri sama ada diamalkan secara turun temurun atau direka berinspirasikan budaya atau minat kelompok masyarakat. Namun begitu, kebanyakannya tidak diiktiraf dan tidak dipertandingkan di pentas antarabangsa. Hanya sukan Boxing dianggap sebagai kemahiran bela diri yang digemari dan dihormati di benua Eropah. Biarpun kelihatan mudah dengan hanya menggunakan serangan tumbukan ke bahagian kepala, tetapi sukan ini memerlukan stamina dan kekuatan fizikal yang tinggi.
Artis pengamal seni mempertahankan diri
Nama artis seni mempertahankan diri yang paling popular hingga kini tidak lain tidak bukan ialah Bruce Lee yang mempunyai dua taraf kewarganegaraan iaitu Amerika Syarikat dan Hong Kong. Bruce Lee terkenal dengan kecergasan fizikal dan semangatnya yang sentiasa ingin bertarung kesan daripada dedikasi regimen senaman yang diamalkannya. Beliau menggabungkan beberapa seni mempertahankan diri seperti Wing Chun, Kung Fu, Jiu Jitsu, boxing dan Fencing dengan mengutamakan kekuatan otot, ketahanan kardiovaskular dan fleksibiliti.
Jenis kejohanan sukan seni bela diri
Seni bela diri campuran atau lebih dikenali sebagai Mixed Martial Arts (MMA) merupakan pertarungan tanpa senjata dan bebas daripada sebarang sekatan dengan menggunakan pelbagai teknik untuk mengalahkan musuh. Setiap petarung perlu menyesuaikan berat badan terlebih dahulu mengikut beberapa kelas sebelum bertarung. Terdapat beberapa kaedah untuk mengakiri sesuatu pertarungan seperti keputusan juri, diskualifikasi, doktor mengesahkan petarung mengalami cedera yang teruk, petarung hilang kesedaran atau menyerah kalah dan petarung gagal hadir ke gelanggang.
Kejohanan sukan The Ultimate Fighting Championship (UFC) telah direka oleh Rorion Gracie, Art Davie dan Bob Meyrowitz di Amerika Syarikat. Sehingga kini, kejohanan ini menjadi acara yang paling brutal di dunia dengan penglibatan beberapa nama atlet seperti Khabib Nurmagomedov, Conor Mcgregor, Dustin Poirier dan ramai lagi. UFC mendapat sambutan yang luar biasa kerana sukan ini lebih bersifat semula jadi dan tiada undang-undang ketika bertempur kecuali pihak lawan sudah tidak mampu meneruskan aksi. Publisiti sukan ini sangat meluas dengan bilangan penonton puluhan juta dari seluruh dunia. Kalau di Asia, kita mungkin popular dengan kejohanan seni bela diri One Championship (ONE) yang melibatkan disiplin MMA, Kickboxing, Muay Thai dan submission grappling yang semakin diminati ramai dalam kalangan anak muda. Kejohanan ini melibatkan peserta dari kalangan negara-negara Asia untuk berentap mendapatkan gelaran tertinggi.
Rating tontonan tinggi
Antara keistimewaan seni bela diri ialah sukan yang diterjemahkan dalam bentuk wayang dan perfileman. Hal ini disebabkan oleh faktor seni sesuatu kaum, budaya dan demografi. Filem-filem yang dihasilkan juga mendapat tontotan yang sangat ramai dari seluruh dunia. Antara filem yang pernah mendapat sambutan masyarakat moden kini ialah Rush Hour, The Karate Kid, Undisputed, Lethal Weapon, Drunker Master, Birth of the Dragon, Ong-Bak dan banyak lagi. Filem-filem ini juga mempromosikan beberapa nama petarung yang mempunyai seni bela diri yang asli seperti Bruce Lee, Jackie Chan, Tony Jaa dan lain-lain.
Sukan aksi mempertahankan diri sentiasa bersifat kekal malah semakin berkembang walaupun dihambat modenisasi. Penulis berharap semoga negara tercinta ini terus mengangkat kemahiran seni bela diri yang ada untuk diwarisi generasi yang akan datang.
Syazwan Che Noor seorang pemerhati dan pengkritik sukan yang aktif
Foto kredit: Expat Life in Thailand
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.