Sukan Hooligan Untuk Lelaki Budiman

Sukan Hooligan Untuk Lelaki Budiman

Jika ada sukan berpasukan yang boleh dianggap sebagai paling kasar, bahaya, lasak, dan berisiko mendatangkan pelbagai kecederaan; namun sentiasa mempunyai peminat tersendiri terutama dari kalangan lelaki-lelaki sado, tentulah ianya tidak lain melainkan sukan ragbi. Sukan ini memang nampak kasar, tetapi ia antara sukan yang paling tinggi disiplin dan budi; jauh bertentangan dengan imej kasar permainannya.

Sejarahnya, ilham sukan ragbi bermula secara spontan pada tahun 1823 di sebuah sekolah di England. Ketika berlangsungnya perlawanan bola sepak, seorang pemain bernama William Webb Ellis telah mengambil dan mengendong bola dengan menggunakan tangannya sambil berlari. Tindakan beliau mencetuskan ilham untuk memulakan sebuah permainan yang seakan sama seperti bola sepak, namun menggunakan tangan dan seluruh anggota tubuh yang lain berbanding hanya kaki.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Badan Induk Ragbi Dunia, terdapat lebih 80 buah negara yang kini terlibat secara profesional dalam sukan ini. Ragbi mula diperkenal di Malaysia selepas Perang Dunia Pertama dan sejarah menyatakan bahawa sukan ini bermula di Negeri Sembilan. Pasukan ragbi Malaysia kini berada di ranking ke 49 dunia setakat November 2020. Walaupun pasukan kebangsaan ragbi Malaysia tidak pernah layak ke pentas kejohanan Piala Dunia Ragbi, tetapi mereka pernah mengikuti antara lainnya aksi kelayakan Piala Dunia Ragbi 1995 yang berlangsung di Afrika Selatan – Piala Dunia Ragbi yang paling dikenang dalam sejarah moden sukan ini.

Di Malaysia, kita akan menemui banyak kelab-kelab ragbi terutama yang ditubuhkan di sekolah-sekolah lama bekas aliran Inggeris. Bukan hanya pasukan kebangsaan sahaja tetapi terdapat banyak pasukan kelab ditubuhkan seperti The Edwardians Taiping, The Birch Rompers, The Penang Asians, Kelab Selangor dan tentu sekali COBRA iaitu kelab alumni Kolej Melayu Kuala Kangsar yang mempunyai padang latihan dan club house sendiri di beberapa lokasi dalam Malaysia.

Permainan ragbi melibatkan seramai 15 pemain bagi setiap pasukan dan akan dimainkan di atas padang berkeluasan 100 meter panjang dan 70 meter lebar. Pemain akan cuba mendapatkan bola berbentuk bujur lalu membawanya melepasi garisan gol lawan dan menyentuhnya ke tanah. Perkara ini dipanggil the try-line yang akan memberi sebanyak 5 mata. Pasukan yang berjaya berbuat sedemikian akan dihadiahkan conversion, di mana seorang pemain yang dilantik oleh pasukan akan menendang bola melepasi palang gol berbentuk H untuk mengumpul mata.

Tidak sama seperti bola sepak, persaingan ragbi lebih tertumpu kepada kejohanan antarabangsa yang melibatkan pasukan negara. Antara negara Asia yang menguasai dunia ragbi dirantau ini ialah Hong Kong, Jepun, dan Korea Selatan. Begitu juga pada peringkat dunia, negara seperti England, Australia, Afrika Selatan, New Zealand, Wales dan Ireland merupakan pasukan gergasi dalam sukan ini.

 Rekod kejohanan Piala Dunia Ragbi yang lepas iaitu tahun 2019 telah dimenangi oleh pasukan Afrika Selatan. Pasukan New Zealand atau dikenali sebagai All Blacks dan wakil tunggal Afrika iaitu pasukan Afrika Selatan merupakan kuasa besar dunia dalam sukan ragbi. Kedua-dua negara tersebut telah menjadi pemenang terbanyak di kejohanan Piala Dunia Ragbi, dengan masing-masing memenangi sebanyak 3 kali acara tersebut. Richie McCaw dan Dan Carter daripada pasukan New Zealand merupakan pemain terbanyak memenangi anugerah pemain terbaik dunia.

 Ranking dunia disenaraikan berdasarkan jumlah mata yang dikumpul oleh setiap pasukan melalui kemenangan dan kejuaraan yang dimenangi dalam kejohanan yang diiktiraf oleh badan persatuan ragbi dunia. Setakat masa ini, pasukan Afrika Selatan menduduki di tangga pertama dengan jumlah pungutan mata sebanyak 94.20 selepas menjuarai Piala Dunia Ragbi 2019. Ranking kedua pula menjadi milik pasukan England dengan jumlah mata yang terkumpul sebanyak 88.73. Pasukan All Blacks New Zealand yang paling terkenal pula sekadar di tangga ketiga dengan 88.17 mata.

Lazimnya, permainan ragbi membawa risiko kecederaan buat pemain akibat gaya permainannya yang agresif. Antara kecederaan paling lazim berlaku adalah koyak otot hamstring, kecederaan muka dan kepala, sendi terseliuh pada anggota buku lali, patah tulang selangka, sendi bahu terkeluar, dan banyak lagi.

Berdasarkan laporan perubatan setiap pasukan ragbi, kecederaan kecil seperti ligamen dan sendi sentiasa berlaku kepada pemain. Meskipun begitu, kecederaan besar turut kerap dialami pemain sehingga perlu berehat dalam tempoh masa yang amat panjang. Sebagai contoh, Cheslin Kolbe pemain pasukan Afrika Selatan yang pernah mengalami kecederaan buku lali di samping Sonny Bill Williams, seorang pemain pasukan New Zealand yang pernah mengalami kecederaan serius pada bahagian sendi lutut dan kecederaan pada tulang bahunya pada tahun 2018.

Walaupun Malaysia masih belum pernah membuat penampilan dalam Piala Dunia Ragbi, skuad kebangsaan kita sentiasa mencuba untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu. Skuad kebangsaan pernah muncul juara pada Kejohanan Ragbi Asia Divisyen Satu pada tahun 2016. Pelbagai pendekatan telah digunakan oleh Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dalam usaha untuk memajukan sukan ragbi di Malaysia seperti mewujudkan sebuah unit prestasi tinggi dan melantik penasihat teknikal dari negara New Zealand.

Pasukan kebangsaan menyasarkan untuk layak ke kejohanan Piala Dunia Ragbi pada tahun 2031. Matlamat utama pasukan ragbi Malaysia ialah memperbaiki kedudukan ranking dunia daripada di kedudukan ke-49 menjadi antara 30 pasukan terbaik dunia. Projek pembangunan akar umbi sukan ini di Malaysia juga tidak diabaikan. Sekolah, kolej, dan universiti memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha melahirkan pemain ragbi yang hebat. Pasukan-pasukan kelab yang bermain dalam Malaysia Rugby League Premier juga semakin mempamerkan aksi yang mantap dan berkelas dunia.

Sukan ragbi sememangnya mempunyai identiti tersendiri. Di samping melatih pemain untuk lebih berdisiplin, berkeyakinan tinggi serta dapat membentuk sahsiah diri, sukan ini juga menerapkan nilai hormat-menghormati antara pemain. Tidak hairanlah, ada pepatah terkenal yang kononnya disebut oleh Winston Churchill; ragbi adalah sukan hooligan yang dimainkan oleh lelaki budiman, manakala bola sepak adalah sukan lelaki budiman yang dimainkan oleh hooligan.

Mohd Syazlan Aliff adalah seorang peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You'll Never Walk Alone

Foto ihsan The Rugby Company

Share this Post: