Sukan dan permainan tradisional Melayu yang semakin lenyap

Sukan dan permainan tradisional Melayu yang semakin lenyap

Negara Malaysia bukan sahaja kaya dengan keistimewaan bahasa, kepelbagaian jenis pakaian dan keindahan tempat pelancongan malah mempunyai keunikan dari segi sukan dan permainan. Ada beberapa jenis permainan yang menjadi identiti masyarakat di Malaysia antaranya Sepak Raga Tuju, Wau, Gasing, Teng Teng, Galah Panjang, Guli dan banyak lagi.

Sukan tradisional ini bukan sahaja dimainkan oleh kaum Melayu malah kaum India, Cina, Punjabi dan lain-lain kaum turut bermain kerana telah berasimilasi dengan komuniti Melayu.

Namun begitu, kebanyakannya hanya dimainkan oleh golongan yang lahir pada abad ke-20 sahaja. Generasi baharu tidak lagi menggemari atau memartabatkan permainan-permainan ini sebagai lambang kebudayaan Melayu.

Oleh itu, tidak mustahil suatu hari nanti permainan tradisional ini akan pupus ditelan zaman.

Sepak raga tuju

Sepak Raga Tuju adalah permainan yang sangat popular dalam kalangan anak muda sebelum dan selepas penjajahan tentera Jepun di Tanah Melayu. Permainan ini dianggap unik kerana memerlukan sikap tolong-menolong di samping kekuatan kaki menahan dan menendang bola yang disulam dengan kayu rotan.

Sepak Raga Tuju ini dimainkan dalam bulatan antara 6 hingga 8 orang pemain secara berkumpulan. Pemain akan menerima dan mengumpan bola kepada rakan di sebelah sebelum rakan tersebut menyepak laju ke arah bertentangan. Pemain boleh menggunakan kaki, lutut, dada dan kepala untuk melambungkan bola.

Masyarakat di Barat menganggap sukan ini menyakitkan diri sebaliknya masyarakat Asia mengatakan bahawa ini dapat membuktikan kejantanan seorang lelaki.

Permainan wau

Pernah dengar lagu Wau Bulan? Permainan wau atau layang-layang amat terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu terutamanya di negeri Pantai Timur.

Wan antara permainan yang semakin pupus. Corak dan reka bentuk wau yang unik dan menarik menunjukkan seni kreativiti anak tempatan menjadikan permainan ini semakin menarik untuk dimainkan kerana pemain mahu menerbangkan wau yang cantik di udara.

Antara nama wau yang popular ialah Wau Bulan, Wau Kapal, Wau Jala Budi, Wau Merak dan macam-macam lagi. Setiap Wau diperbuat daripada batang buluh yang diraut untuk mengimbangi berat.

Kemudian, bingkai wau akan ditampal dengan kertas atau kain bercorak mengikut cita rasa pemilik wau tersebut.

Arus pemodenan hari ini menyebabkan permainan wau sudah tidak lagi menjadi kegilaan orang Melayu terutamanya golongan muda.

Gasing

Bagi permainan gasing, hanya negeri di Pantai Timur sahaja yang masih aktif bermain. Permainan ini masih mengalami tautan antara generasi tua dan generasi muda.

Gasing diperbuat daripada batang kayu Kemuning, Rambai, Merbau, Bakau dan sebagainya. Para pemain akan memusingkan gasing menggunakan tali di atas tanah. Gasing yang paling lama berputar dikira sebagai pemenang.

Selain itu, pemain juga gemar bermain sistem ‘pangkah’ kerana dapat mengetuk gasing pemain lawan.

Permainan tradisional ini tidak lagi mendapat sambutan generasi muda kerana arus modenisisi dan kurangnya pendedahan dari orang dewasa. Faktor pembuatan dan pemasaran gasing yang tidak meluas juga antara penyebab permainan ini tidak lagi popular.

Teng Teng

Sukan dan permainan yang menjadi minat golongan wanita pula ialah Teng Teng. Meskipun ada sekumpulan anak kecil yang masih aktif dengan permainan ini tetapi hanyalah bermusim. Faktor kediaman pada masa ini lebih moden menyukarkan permainan ini dimainkan.

Hal ini kerana permainan ini biasanya dimainkan oleh beberapa orang pemain di atas tanah pasir berdekatan dengan kawasan perumahan. Pemain akan mengukir garisan berbentuk kotak di atas tanah. Pemain pula akan melompat secara berjengket memasuki satu kotak ke satu kotak yang lain.

Permainan ini sangat popular sekitar tahun 1990-an dan amat digemari kanak-kanak.

Galah Panjang

Selain itu, Galah Panjang juga mengalami nasib yang sama. Permainan ini memerlukan kawasan yang luas kerana para pemain akan berlari memasuki kotak ke kotak yang dilukis di atas tanah sebelum permainan bermula.

Terdapat dua kumpulan yang terdiri daripada 3 hingga 6 orang bagi setiap kumpulan. Pasukan pemain yang bertahan perlu mengawasi pemain lawan supaya tidak melepasi kotak dan perlu menyentuh badan pemain lawan untuk menghentikan permainan tersebut.

Hakikatnya, sukan ini banyak dimainkan di kawasan kampung. Rata-rata kanak-kanak yang lahir pada abad ke-21 mungkin tidak lagi mengetahui cara permainan ini dimainkan.

Kesimpulan

Terdapat banyak lagi sukan dan permainan tradisional yang sudah ketinggalan zaman seperti Polis Sentri, Guli, Congkak, Batu Serembam, Baling Selipar dan lain-lain.

Faktor persekitaran dan kemajuan globalisasi mempengaruhi minat generasi kini. Golongan muda kini lebih gemar mencari hiburan di media sosial seperti Instagram, TikTok atau bermain game seperti PUBG, Mobile Legends, Clash of Clans, Pokemon Go dan sebagainya.

Demi memastikan sukan dan permainan tradisional tidak hanyut ditelan zaman, kita tidak boleh mengharapkan pihak kerajaan semata-mata sebaliknya komuniti setempat berusaha menganjurkan pelbagai karnival, pesta atau pertandingan sukan tradisional di setiap sekolah, daerah atau negeri secara berkala dalam mempromosikan sukan tradisional ini.

Mohd Syazlan Aliff peminat tegar bola sepak yang bernafas dalam lagu You’ll Never Walk Alone.

Kredit foto: steemit.com

Share this Post: