Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa bermula pada 14 Mei 2022 akan bermulanya monsun barat daya yang akan berterusan hingga pertengahan September 2022. Maknanya, inilah permulaan musim panas dan kemarau yang akan melanda di seluruh negara.
Pastinya para pekebun komersial atau individu yang menjadikan kegiatan berkebun sebagai hobi akan berasa risau memandangkan pelbagai jenis masalah tanaman akan terjadi pada musim ini.
Jangan risau! Jangan kecewa! Mari kita mula menyusun strategi berkebun pada musim panas ini.
Apakah strateginya?
Nah, pilih tanaman yang mesra musim panas!
Tanaman yang toleran panas gemar dan perlukan cuaca panas untuk hidup subur. Oleh sebab itu, sepanjang 4 ke 5 bulan ini, kita fokuskan kepada tanaman berikut sahaja. Sedia?
Oleh sebab permukaan daun yang luas, kebanyakan sayuran berdaun tidak mampu bertahan pada musim panas. Di ladang, biasanya sayuran daun ditanam di bawah jaring perlindungan terutama sekali pada waktu panas. Namun begitu, tidak bagi pokok Sawi, bayam Brazil dan bayam Malabar. Inilah antara jenis sayuran berdaun yang sangat suka akan keadaan yang panas. Tanam pun senang.
Sawi boleh ditanam di dalam pasu dengan hanya taburkan biji benih. Sangat mudah, baling-baling pun tumbuh. Hanya ambil masa 2 ke 3 hari sahaja. Siram pagi sekali, petang sekali. Tidak perlu baja pun, dalam 21 ke 25 hari sudah boleh kutip hasil.
Bayam Brazil dan bayam Malabar lagi senang. Cucuk sahaja dalam tanah, hidup. Siram pagi dan petang. Juga tidak memerlukan baja. Apa yang lebih menarik, kedua-dua spesies bayam ini boleh dipetik daunnya berulang-ulang kali dan bayam ini akan tumbuh kembali. Tanam sekali tapi boleh bertahan hingga setahun.
Peminat sayuran berbuah? Ada banyak pilihan untuk anda sepanjang musim panas ini.
Bendi yang paling mudah kerana memang bendi sangat suka akan keadaan yang panas, hampir mustahil untuk gagal dalam penanaman bendi. Ini diikuti dengan semua jenis terung, cili besar dan tomato. Namun begitu, pada musim panas ini, terung, cili dan tomato ini sebenarnya memang agak mencabar. Hal ini adalah kerana pada musim panas, serangga perosak juga tidak senang duduk dan keluar beramai-ramai mencari makanan.
Oleh itu, buatlah persediaan sepatutnya untuk serangan yang bakal berlaku.
Dari kategori sayuran menjalar dan memanjat pula, ada juga beberapa spesies yang tahan panas.
Labu manis salah satu tanaman yang paling saya sarankan terutama sekali jika anda baru bermula berjinak-jinak bercucuk tanam. Siram sekali sehari pun sudah memadai.
Seterusnya, kekacang buncis dan kacang panjang. Asalkan ada tempat memanjat sudah memadai. Andainya anda masih teringin tetapi tiada tempat atau ruang yang mencukupi, kini terdapat juga spesies kacang panjang dan buncis yang renek. Hasilnya sama sahaja tetapi saiz pokoknya agak kerdil, 4 ke 5 kaki sahaja dan sangat sesuai untuk ditanam di dalam pasu.
Akhir sekali dari kumpulan menjalar ialah keluarga timun. Timun agak sedikit rumit namun begitu sangat menyeronokkan sekiranya berjaya ditanam. Belum ada lagi pokok timun yang bersaiz kecil. Oleh itu, ruang memanjat itu adalah satu keperluan.
Saya tamatkan senarai tanaman musim panas dengan kategori buah-buahan. Saya cadangkan jagung dan tembikai.
Kedua-dua jenis tanaman ini sangat sesuai untuk musim panas, lagi panas lagi galak tumbuh. Biasanya, di bahagian negeri-negeri utara, jagung atau tembikai akan ditanam di antara batas-batas bendang terutamanya pada musim panas sebagai tanaman selingan.
Tiada sebarang pantang larang untuk kedua-dua tanaman ini kecuali ada satu keistimewaan tembikai. Apabila tembikai sudah berbuah dan menghampiri saiz optimum, siraman air perlu dikurangkan. Jika sebelum ini buah tembikai disiram dua kali sehari, kurangkan kepada sekali sehari dengan kuantiti air separuh. Inilah rahsia untuk menjadikan buah tembikai lebih manis dan berjus.
Tamatlah sudah senarai tanaman musim panas yang sangat sesuai untuk home garden. Insya-Allah, dengan hanya mengubah tanaman anda pada musim panas ini, laman anda akan kekal hijau dan produktif sekali gus memberikan hasil yang lumayan untuk keluarga anda.
Selamat berjaya!
Nazrul Azam berasal dari Ipoh dan telah lebih 20 tahun menetap di Nibong Tebal, Penang. Seorang petani organik 'old school' yang baru bertukar status ke OKU. Ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan rakan-rakan marhaen.
Foto: Impiana
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.