Malaysia merekodkan kes Covid-19 yang pertama pada Februari 2020 melibatkan seorang lelaki berumur 41 tahun yang berasal dari Selangor. Lelaki terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura, malahan turut hadir ke sebuah mesyuarat bersama delegasi antarabangsa termasuk dari China. Semenjak dari kes pertama tersebut, jumlah kumulatif kes Covid-19 meningkat hari demi hari.
Gusar dengan lonjakan kes tempatan, kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020 sehingga kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 10 Jun 2020. Dek kerana Perintah Kawalan ini, ekonomi negara terjejas teruk dengan kerugian sebanyak RM2.4 bilion setiap hari. Namun demi kebaikan dan kemaslahatan rakyat Malaysia, kerugian tersebut terpaksa diketepikan.
Namun sepanjang PKP ini, kita dapat perhatikan bahawa rakyat Malaysia sememangnya kreatif. Ramai rakyat Malaysia, lelaki dan perempuan menonjolkan bakat terpendam mereka terutama dengan aktiviti memasak dan mencuba pelbagai resepi baru. Contoh terdekat adalah Kopi Dalgona dimana ia juga menjadi carian popular di Internet dengan ramai yang telah mencuba dan berkongsi kejayaan mereka menghasilkan minuman berasaskan kopi tersebut di media sosial.
Sugu Pavitra juga antara figura yang secara tiba-tiba melonjak popularitinya sepanjang PKP kerana menghasilkan kandungan masakan di YouTube dan berjaya meraih perhatian minat seluruh warganegara Malaysia kerana kefasihannya bertutur Bahasa Melayu dengan baik sekali walaupun berketurunan India.
Kerana PKP juga, apabila kerajaan hanya membenarkan seorang sahaja wakil isi rumah untuk keluar membeli keperluan, kaum lelaki kini lebih mahir berbelanja barang dapur, tanggungjawab yang sebelum ini selalunya dikaitkan sebagai tugas kaum wanita. Sudah menjadi norma baru di mana kaum lelaki mula mempelajari perkara-perkara asas keperluan dapur dan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban yang selama ini ditanggung oleh kebanyakan kaum wanita.
Tapi di sebalik sisi terang tersebut, PKP juga telah menonjolkan wajah kedua rakyat Malaysia yang mungkin sebelum ini ditutupi dek kekangan kerja dan masa, terlindung dari terutamanya pasangan hidup sendiri.
Selama ini, kesibukan kerja menyebabkan pasangan suami isteri kurang masa untuk berkomunikasi dan mengenal sisi sebenar masing-masing. PKP pada tahun 2020 ini secara tidak langsung membuka peluang kepada pasangan suami isteri untuk lebih mengenali pasangan, sementelah dipaksa untuk berada di bawah satu bumbung hampir setiap masa. Fenomena ini merungkai sisi kedua pasangan masing-masing yang mana mungkin sebenarnya kurang disenangi dan menjurus kepada perselihan faham dan pertengkaran. Secara tidak langsung ia menggugat keharmonian rumah tangga dan seterusnya mendorong kepada perceraian. Kes perceraian yang dilaporkan meningkat sepanjang PKP menjadi antara bukti kenyataan di atas.
Tahap mental rakyat Malaysia juga berada di tahap membimbangkan di mana Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata masalah emosi merupakan antara isu utama kesihatan mental rakyat pada masa ini semenjak PKP dilaksanakan. Menurutnya lagi, pihaknya menerima ribuan panggilan telefon untuk perkhidmatan kaunseling dalam talian dimana sebahagian daripada pemanggil mengatakan kebimbangan mereka terhadap wabak Covid-19.
Kebimbangan yang melampau terhadap wabak ini akan mengakibatkan seseorang merasa gelisah (anxiety) dan mengakibatkan mereka mula hilang kawalan terhadap diri sendiri dan seterusnya mengambil langkah yang memudaratkan diri termasuklah membunuh diri.
Hal ini terbukti dengan statistik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), di mana 266 kes bunuh diri telah dilaporkan sejak PKP, iaitu secara purata lebih 30 kes dalam tiap bulan, atau lebih tepat lagi seorang setiap hari dalam tempoh PKP. Faktor sosial lain seperti bebanan hutang, masalah kewangan dan juga masalah keluarga juga menjadi pendorong kepada punca membunuh diri.
Namun begitu, perspektif PKP adalah berbeza kerana ia bergantung kepada seseorang individu terbabit. Bagi pemilik perniagaan, mereka akan terkesan teruk dan melihat PKP sebagai titik permulaan kepada kerugian di dalam perniagaan mereka. Dan ini akan memberi kesan buruk kepada emosi dan mental mereka.
Berbeza pula bagi yang makan gaji dan masih mempunyai pekerjaan tetap sepanjang PKP, di mana mereka akan memanfaatkan PKP ini dengan berehat secukupnya dan meluangkan masa dengan keluarga masing-masing. Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia dari berbilang bangsa kita seharusnya menyokong dan membimbing antara satu sama lain kerana setiap orang mempunyai perjalanan hidup yang berbeza dan terkesan dengan cara yang berbeza sepanjang PKP dilaksanakan.
Hazlina Halik adalah seorang ambivert yang mempunyai lulusan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dan kini bekerja dalam industri pembuatan.
Foto hiasan ihsan Bernama
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.