Ayunan langkah kaki semakin laju seusai menjangkah (melangkah) keluar dari pintu bas sekolah, fikiran ligat berombak kencang belari sekuat hati menuju ke rumah ayahanda. Melemparkan beg sarat di bahu ke hujung ruang tamu di rumah kayu usang tidak berpelapik, hitam dan kekokoran warna lantainya. Rakus menyenjah (menarik) tudung di raut wajah dibaling ke lantai mencari ayahanda tercinta.
“Ayoh…ayoh dok mano”, ayahanda menjawab “ada ni dok belake rumoh” sambil belari anak melulu ke kawasan laman belakang rumah. Seraya “ayoh ore nok main wau jugok, ayoh buatlah wau ko ore etek…boleh deh ayoh...boleh deh?” sambil tangan ayahanda merauk batang-batang buluh. Itulah dialog pujukan yang masih segar dalam benak fikiran saya bila setiap kali terpandang orang yang melayarkan wau-wau ke langit.
Sungguh indah dan damai perasaan di saat menerbangkan wau ke muka langit bersama-sama puluhan penduduk kampung yang lain di sebuah padang di Bukit Ros, Kelantan.
Pelbagai tingkah laku dapat diperhatikan, ada yang menguji arah tiupan angin menggunakan teknik membalingkan helaian daun ke udara dan memerhatikan dari mana arah daun tersebut terbang mengikut untuk mengetahui arah tiupan angin. Itulah asas dan konsep dalam menerbangkan wau. Indahnya perasaan yang tidak dapat digambarkan saat mendengar gesekan busur wau yang menyanyi dilegar langit menyapa angin nyaring dan merdu yang seolah membicarakan tentang alam dalam bahasa falsafah waunya. Begitulah Indahnya keunikan kebudayaan Kelantan.
Falsafah dan konsep kesenian tradisi ini tidak asing dalam genap lapis masyarakat Kelantan pada awal tahun 90-an. Malahan keistimewaan dan keagongan Negeri Cik Siti Wan Kembang pada soal kesenian dan kebudayaan tidak dapat diungguli oleh mana-mana kebudayaan negeri lain di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Kehakikian ini, sememangnya tidak dapat di sangkal, kerana jelas ketabjuban masyarakatnya yang menjunjungi tinggi kebudayaan dan adat Melayu Kelantan dengan menjadikan kebudayaan sebagai falsafah dalam kehidupan masyarakat mereka.
Wau merupakan sebuah khazanah tradisi yang berzaman selain daripada permainan Mak Yong, Dikir Barat, Gasing, Main Puteri, dan Wayang Kulit. Kini menyedihkan, kerana khazanah tradisi ini semakin dilupakan oleh masyarakat Melayu yang dahulu menjadi asas kepada identiti ketamadunan masyarakat Melayu.
Salasilah perkataan wau atau layang-layang berasal daripada perkataan Melayu Patani (Thailand) iaitu “Wau”.Tetapi penggunaan perkataan ini telah dilazimkan oleh dua masyarakat Siam dan Melayu yang tinggal di Semenanjung Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu. Serta, perkataan wau ini turut digunakan secara meluas oleh masyarakat utara negeri Kedah dan Perlis. Malahan, terdapat cerita versi lain yang turut mencari salasilah nama kepada permainan tradisi. Dengan mengaitkan peristiwa permainan wau dengan pelancong eropah yang berkunjung ke Pantai Timur yang terkejut dan terpukau mendengar kemerduan bunyi busur wau dilangit dengan berkata ‘wow’.
Antara nama-nama wau yang menjadi lambang kepada kesenian Melayu Kelantan adalah seperti Wau Bulan, Wau Kekek, Wau Puyuh, Wau Kucing, dan Wau Jala Budi. Perincian ciri-ciri wau dapat dibahagikan kepada beberapa unsur utama yang menjadi asas dalam pertukangan kesenian pembuatan wau iaitu batang, busur, corak, sayap dan ekor.
Wau Bulan, ciri-cirinya dapat dilihat menyerupai bulan kerana pada tengah wau ia berbentuk bulat seperti bulan purnama. Manakala, di hadapan dan belakang Wau Bulan turut berbentuk seperti bulan yang di namakan Bulan Sabit. Kesenian pemainan Wau Bulan terhasil daripada kesenian pertukangan logam yang disebut sebagai ‘filigree’. Di mana kesenian ini terkenal dalam kesenian orang-orang Melayu di negeri Kelantan. Kesenian ini terbentuk hasil daripada pengaruh tamadun Hindu dan Islam terdahulu. Dalam tradisi pembuatan wau, si tukang pembuat wau harus menguasai empat teknik asas pembuatan iaitu seperti melukis, memotong, menampal dan merauk buluh.
Di sebalik rasional rekacipta wau, tertanam nilai falsafah masyarakat Melayu yang tinggi dalam falsafah tersebut. Dizahirkannya bergantung kepada imaginasi pembuat wau. Jika memahami falsafah wau secara mendalam, ia merujuk kepada perlambangan sebuah penceritaan penghidupan manusia yang disifatkan lazimnya hidup berpasangan dan beranak-pinak dan melahirkan sebuah keturunan anak, cucu dan cicit. Perlambangan ini dapat dilihat di dalam sebuah wau. Induknya adalah batang, batangnya akan mengeluarkan daun, dan seterusnya daun akan mengeluarkan bunga yang diwakili oleh corak-corak dalam rekakarya sesuatu wau. Keindahan dan keunikan seni pertukangan halus ini bukan sekadar bermaksud kehalusan kesenian semata-mata tetapi turut melambangkan kehalusan nilai budi masyarakat Melayu yang lembut dan penuh sopan satun.
Hal ini dapat dilihat dalam setiap penghasilan rangka wau yang dibuat. Setiap batang wau yang dihasilkan, hujungnya tidak akan bertembung di antara satu sama lain yang diibaratkan sebagai penghormatan anak kepada ibu. Perlambangan ini, di falsafahkan sebagai ketinggian nilai budi dan adat masyarakat Melayu dalam sebuah kekeluargaan yang dipenuhi dengan kelembutan dan kesatunan terutama menghormati ibu-bapa yang terdapat pada budaya dan tatacara kehidupan orang Melayu.
Malahan, dalam kesenian pertukangan seni halus Wau Bulan ini juga cuba memamparkan kelembutan dan kehalusan nilai budi wanita. Di zahirkan melalui reka bentuk dan corak pembuatan wau yang penuh dengan ciri-ciri halus dan kelembutan seorang wanita. Falsafah ini cukup sinonim dengan jolokan nama negeri Kelantan sebagai negeri Cik Siti Wan Kembang kerana adat dan keseniannya mengangkat nilai kelembutan wanita.
Umumnya, falsafah pembuatan wau ini cuba memaparkan sebuah kehidupan kekeluargaan masyarakat Melayu yang penuh dengan adat dan kesopanan yang tinggi. Tetapi sayang, keunikan dan kekayaan kebudayaan ini kian hari kian suram cahayanya bak pelita ketandusan gasolin. Hilang cahaya untuk terus menyinarkan neon kebudayaan pada masa hadapan.
Kebudayaan dan kesenian ini semakin hari semakin terpinggir daripada masyarakatnya yang memperlihatkan keadaan nilai dan identiti masyarakat Melayu yang semakin rapuh dibawa oleh arus perubahan zaman. Budaya material dan xenocentrism dalam kalangan generasi sekarang semakin menebal dengan beranggapan bahawa budaya ketimuran sesuatu yang jumud dan konvensional.
Ironi, keunikan dan kebudayaan yang dahulu menjadi ketabjuban kepada identiti orang Melayu Kelantan kini dipersiakan oleh orang Melayu sendiri. Kesalahan ini tidak harus dilontaran sepenuhnya kepada generasi muda pada hari. Kerana sistem yang menjadikan mereka tidak memahami dan mengenali nilai sejarah dan identiti sendiri. Lihat sahaja sistem pendidikan arus perdana pada hari ini. Tidak langsung cuba memperlihatkan, mengangkat dan menerapkan nilai kebudayaan identiti masyarakat Melayu dalam kurikulum. Jelas dan bercanggah dengan fungsi asas pendidikan sebagai alat penyampaian dan penyambung kepada ilmu warisan.
Tetapi sebaliknya, sistem pendidikan hari ini hanya sebuah sistem pendidikan yang bersifatkan ilmu kemodenan yang berkiblatkan kepada modenisasi semata-mata. Malahan, kehakisan dan kehilangan kesenian Ketamadunan Melayu Kelantan turut ditambah dengan kejumudan pemikiran tingkat pemerintah tempatan yang konservatif agama dalam mentafsir nilai-nilai kebudayaan sebagai bertentangan dengan akidah Islam. Tanpa memahami dari konteks yang lebih luas telah membunuh identiti sendiri. Pertukaran tampuk pemerintahan 30 tahun yang lalu, menyaksikan penguatkuasaan polisi dan pengharaman terhadap aktiviti kebudayaan di Kelantan dilakukan secara radikal untuk membersihkan kotoran dosa amalan rakyat yang kononnya dianggap tahyul dan khurafat.
Sesungguhnya tanpa kita sedari, kita telah menghapuskan sebuah ketamadunan identiti bangsa kita sendiri. Kesal.
Nurfarhana Che Awang merupakan seorang pensyarah dan penyelidik yang berjiwa besar dalam dunia penyelidikan Sains Sosial yang berhasrat untuk menyumbang perubahan kepada sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat.
Foto hiasan ihsan Facebook Tourism Malaysia
Waadat, Daulat, dan Keramat Rakyat
Di dalam konsep monarki Melayu, Raja itu pemegang dan pewaris Kedaulatan. Raja akan mangkat tetapi tidak bagi Daulat. ‘The Sovereign never dies’.