SIR ALEX FERGUSON PENGURUS BOLA SEPAK TERHEBAT  SEPANJANG ZAMAN

SIR ALEX FERGUSON PENGURUS BOLA SEPAK TERHEBAT SEPANJANG ZAMAN

Kegemilangan bola sepak England tidak dapat dipisahkan dengan nama seorang bekas pengurus pasukan Manchester United iaitu Sir Alex Ferguson. Bekas pemain dan pengurus ini dilahirkan di Glasgow, Scotland dan beliau kini mencecah usia 80 tahun pada 31 Disember 2021. Sepanjang 27 tahun menjadi pengurus pasukan Machester United dari 1986 hingga ke tahun 2013 beliau telah memenangi banyak trofi berbanding pengurus-pengurus pasukan lain di England. Sebelum berkhidmat di England, beliau pernah menjadi pengurus bagi pasukan tempatan Scotland seperti East Stirlingshire, St Mirren dan pasukan Aberdeen. Selain itu, beliau juga pernah menjadi pengurus pasukan bola sepak Scotland pada tahun 1985.

Perjalanan bermula

Karier Sir Alex Ferguson sebagai seorang pengurus pasukan bola sepak bermula pada tahun 1974 apabila beliau dilantik untuk menjadi pengurus sambilan pasukan East Stirlingshire. Selepas hanya beberapa bulan bersama East Stirlingshire, kemudian beliau mengurus pula pasukan St. Mirren hingga pasukan itu menjulang gelaran juara Divisyen Satu Scotland pada tahun 1977. St. Mirren menjadi satu-satunya pasukan yang telah memecat Sir Alex Ferguson sebagai pengurus. Kemudian, beliau meneruskan karier sebagai pengurus bersama pasukan Aberdeen dan pernah melatih pasukan kebangsaan Scotland sebelum menyertai pasukan berpangkalan di England iaitu Manchester United.

1986 merupakan tahun bermulanya khidmat bakti Sir Alex Ferguson bersama pasukan Manchester United setelah pemecatan pengurus pasukan ketika itu, Ron Atkinson. Walaupun pada awalnya beliau telah dipinang untuk menguruskan pasukan lain di Liga Inggeris seperti Wolverhampton dan Tottenham Hotspurs tetapi beliau tetap memilih Old Trafford sebagai destinasinya di England. Dengan menggunakan fahaman dan taktikal tersendiri serta disiplin yang tinggi kepada para pemain, beliau memulakan langkah yang kurang konsisten pada awalnya bersama pasukan itu. Segalanya berubah pada musim 1992-93. Pasukan Manchester United berjaya mengakhiri penantian selama 26 tahun apabila menjadi juara Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam sejarah.

Berjaya melahirkan bintang dunia

Ketika menjadi pengurus pasukan East Stirlingshire, St Mirren dan Aberdeen, Sir Alex Ferguson tidak berjaya melahirkan pemain bintang kepada pasukan tersebut. Sehinggalah beliau secara rasmi dilantik sebagai pengurus pasukan Manchester United. Sejak memulakan tugas di sana pada tahun 1986 hingga 2013, beliau telah melahirkan nama-nama pemain bintang pada setiap musim. Antaranya ialah Mark Hughes, Paul Ince, Eric Cantona, Roy Keane, David Backham, Ryan Giggs, Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo dan ramai lagi. Paling mencuri tumpuan pada tahun 2008 apabila Sir Alex Ferguson telah berjaya menjadikan pemainnya iaitu Cristiano Ronaldo sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA.

Kejayaan demi kejayaan

Sepanjang menjadi pengurus bola sepak secara profesional, banyak kejayaan yang telah dimenangi Sir Alex Ferguson. Pada awal karier beliau sebagai pengurus di kelab-kelab bola sepak negara Scotland, tidak banyak gelaran dan trofi yang dimenanginya. Semuanya berubah apabila beliau menandatangani kontrak sebagai pengurus pasukan Manchester United pada tahun 1986. Memenangi Piala FA pada musim 1989-90 diikuti dengan kejayaan merangkul gelaran Piala Pemenang UEFA pada tahun berikutnya. Musim 1992-93 pula akan menjadi saksi kegemilangan Sir Alex Ferguson di Liga Perdana Inggeris kerana pada musim itu beliau bersama pasukan Manchester United telah ditabal sebagai juara liga. Keseluruhannya, beliau telah menjuarai sebanyak 38 piala iaitu sebanyak 13 kali bergelar juara Liga Inggeris.

Walaupun kehebatan pasukan Manchester United tidak boleh disangkal lagi, misalnya kejayaan memenangi kejuaraan “trebble” pada musim 1998-99 yang meliputi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-juara Eropah, namun terdapat juga hasrat dan impian Sir Alex Ferguson yang belum tercapai sebagai seorang pengurus hingga ke hari ini. Antaranya ialah beliau tidak berjaya menjuarai piala Liga Eropah melebihi 3 kali sebaliknya hanya memenanginya sebanyak 2 kali pada musim 1998-99 dan 2007-08. Jumlah itu juga berbeza dengan ketara jika dibandingkan dengan jumlah gelaran tersebut yang diraih musuh tradisi iaitu Liverpool yang memenanginya sebanyak 6 kali. Hanya piala Liga Inggeris sahaja Manchester United dapat memecahkan rekod Liverpool yang ditabal sebagai juara sebanyak 18 kali manakala Manchester United berjaya menjuarainya sebanyak 19 kali.

Siapa pengganti beliau?

Sewaktu Sir Alex Ferguson menghampiri karier sebagai pengurus bola sepak, beliau sering diajukan soalan tentang penggantinya yang sesuai di lantik untuk meneruskan kegemilangan bersama pasukan Manchester United. Tanpa berselindung beliau telah menyatakan minatnya terhadap dua orang pengurus muda yang berpotensi untuk berjaya bersama pasukan Manchester United. Calon pengurus yang digemarinya ialah David Moyes pada ketika itu menguruskan pasukan Everton dan Jurgen Klopp yang melatih pasukan Borrusia Dortmund di German. Beliau menggemari kedua-dua pelatih ini kerana faktor kejayaan mereka menguruskan pasukan dengan falsafah tersendiri pada usia yang masih muda selain spiritual yang sangat mengagumkan ketika berhadapan dengan pihak lawan.

Pengurus yang penuh kontroversi

Walaupun Sir Alex Ferguson amat disenangi dan dihormati ramai tetapi beliau tidak terlepas daripada keterlanjuran sikap yang dianggap melampaui batas seperti mengeluarkan komen negatif kepada para pengadil secara terbuka. Sebagai catatan rekod, beliau pernah dihukum saman, digantung dan dilarang untuk berada di tepi kawasan padang perlawanan pada tahun 2003, 2007, 2008, 2009 dan 16 Mac 2011. Hukuman-hukuman ini dikenakan kerana beliau sering menghina, mencaci, bertelagah secara bersemuka dengan pengadil serta mempersoalkan keputusan pengadil. Perkara ini sedikit sebanyak telah merosakkan imej beliau sebagai pengurus bola sepak yang paling bersih di dunia.

Dari segi hubungan interpersonal antara Sir Alex Ferguson dengan pemainnya juga ada isu yang sering timbul. Hal ini disebabkan oleh masalah disiplin pemain itu sendiri di samping cara didikan beliau yang amat tegas. Antara nama pemain yang pernah berselisih faham dengan pengurus ini ialah Roy Keane, Jaap Stam, David Beckham, Paul McGrath, Paul Ince, Gordon Strachan, Ruud Van Nistelrooy, Gabriel Hienze, Carlos Tevez, Ryan Giggs, Peter Schmeichel, Paul Scholes dan Wayne Rooney. Sebagai contoh, Sir Alex Ferguson pernah menyepak but bola hingga mengenai dahi pemain David Beckham pada tahun 2003 kerana pemain itu gagal beraksi dengan baik. Ada dalam kalangan pemain lain yang mempunyai masalah peribadi dengan Sir Alex Ferguson mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab tersebut dan berhijrah ke kelab lain.

Rahsia tektikal

Para penganalisis bola sepak di seluruh dunia sering berbincang tentang rahsia dan teknik yang diterapkan oleh Sir Alex Ferguson kepada pasukannya. Terdapat sembilan formula yang menjadi pegangannya melatih para pemain seperti memulakan sesuatu dengan perkara asas, berani menukar sistem permainan, menetapkan sasaran yang tinggi, pemain dipaksa mengikut arahan yang diberi, pemain tidak boleh hilang kawalan, komunikasi antara pemain mestilah sesuai mengikut situasi, bersedia untuk menang, tidak gementar melepaskan tanggungjawab dan tidak takut untuk berubah. Mentaliti para pemain seharusnya jitu dan perlu sentiasa yakin kepada taktikal yang diguna pakai oleh beliau.

Persaraan beliau

Tanggal 8 Mei 2013, menjadi tarikh yang amat bersejarah buat pasukan Manchester United. Kebiasaannya pasukan ini akan disertai oleh pemain-pemain yang mempunyai reputasi bertaraf dunia dan pemain muda yang berpotensi untuk menjadi pemain bintang. Tetapi peristiwa sebaliknya berlaku apabila tarikh ini merupakan hari terakhir perjalanan karier Sir Alex Ferguson bersama pasukan Manchester United atau dalam erti kata lain beliau akan bersara daripada arena bola sepak. Pengakhiran kerjaya bola sepak Alex Ferguson sedikit sebanyak mempengaruhi banyak pihak seperti Presiden Union of European Football Association, Michel Platini dan Perdana Menteri British, David Cameron yang menyatakan bahawa Sir Alex Ferguson adalah seorang manusia yang mempunyai visi dan hebat dalam sejarah bola sepak British.

Pengurus bola sepak termasyhur sepanjang zaman

Akhirnya, perjalanan hidup Sir Alex Ferguson yang hebat dalam sukan bola sepak memang tidak dapat dinafikan lagi. Hal ini dibuktikan dengan darjah kebesaran British yang diterima oleh beliau kerana khidmat bakti memajukan bola sepak Inggeris mengungguli sukan itu di peringkat dunia. Sir Alex Ferguson juga berjaya mencipta rekod sebagai seorang pengurus yang mencapai jaringan lebih 2000 gol bersama satu pasukan sewaktu memenangi gelaran juara English Primier League bagi musim 2006/7. Tidak hairanlah anugerah-anugerah yang dimiliki beliau memadai untuk menggelarkan Sir Alex Ferguson sebagai seorang pengurus bola sepak termasyhur sepanjang zaman!

Ridhwan Che Amat - Pundit bola sepak EPL

Foto ihsan: reddevilarmada.com

Share this Post: